Sabtu, 11 Mac 2017

Dr. Wan Chik Rahmah pengarah wanita pertama IAB

ARKIB : 12/09/2000
Dr. Wan Chik Rahmah, 53, menggantikan Dr. Ab. Rahim Selamat yang bersara wajib mulai 6 Ogos lalu.

Tokoh wanita itu merupakan Pengarah IAB ke-6 sejak ditubuhkan 21 tahun yang lalu iaitu pada 17 Mac 1979.

Semasa menyampaikan amanat sulungnya di Dewan Besar IAB, Genting Highlands baru-baru ini, beliau mahu amalan-amalan kerja terbaik yang sedia ada di IAB diteruskan.

Menurut beliau, banyak kajian yang berkaitan dengan kepemimpinan guru besar dan pengetua, menganggap golongan itu berupaya membawa kemajuan kepada sesebuah sekolah yang diterajui.

"Sangatlah penting bagi guru besar dan pengetua sekiranya berpeluang mengetahui hasil kajian mengenai pengurusan sekolah yang boleh dicontohi daripada kajian-kajian dalam dan luar negara supaya ada nilai tambah dalam pengurusan dan kepemimpinan mereka,'' tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada kakitangan dan peserta kursus Diploma Kelayakan Profesional Kepengetuaan Kebangsaan Ambilan 3/2000.

Mengenai pelantikannya itu, Dr. Wan Chik Rahmah mengakui, beliau tidak pernah menyangka suatu hari kelak akan diamanahkan menerajui institusi seperti IAB.

"Tetapi, pengalaman saya yang lalu akan dimanfaatkan untuk terus membangunkan IAB bersama-sama dengan kakitangan dan peserta-peserta kursus,'' jelasnya.

Dr. Wan Chik Rahmah dikenali sebagai seorang ketua yang tekun dan teliti menjalankan tugas. Selain menerima laporan-laporan daripada pegawai-pegawainya, beliau akan turun padang melihat sendiri keadaan sebenar.

Jawatan Pengarah IAB sebelum ini diterajui oleh Dr. Chew Tow Yow (2.4. 1979 - 1.2.1986), Dr. Mohd. Yaacob Mat Nong (1.5.1987 - 8.2.1988), Dr. Hussein Ahmad (16.11.1988 - 30.11. 1992), Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid (sekarang Datuk Profesor) pada 1.12.1992 - 28.7. 1999 dan Dr. Ab. Rahim Selamat (1.9. 1999 - 5.8.2000).

Dr. Wan Chik Rahmah dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 10 Mei 1947.

Beliau lulus dari Universiti Malaya pada tahun 1970. Seterusnya pada 1982, Dr. Wan Chik Rahmah memperoleh ijazah sarjana dalam bidang Pengajian Dasar Pendidikan dari Universiti Wisconsin, Madison, Amerika Syarikat. Pada tahun 1993 pula beliau memperolehi ijazah kedoktoran, juga dari Universiti Wisconsin.

Kerjayanya dalam pendidikan bermula pada 1971 apabila bertugas sebagai guru siswazah di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar.

Pada tahun 1976 - 1979 beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Jalan Raja Muda/Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Dr. Wan Chik Rahmah mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan kepemimpinan sekolah dan Maktab Perguruan. Beliau dilantik menjadi Pengetua SM Tuanku Ampuan Najihah, Seremban (November 1984 - Februari 1986); SM Datuk Taha, Gemencheh, Negeri Sembilan (1986), SM Bukit Merchu, Kuala Kangsar, Perak (1986 - 1987), Pengetua Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban (Februari 1987 - Januari 1988) dan Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Kuala Terengganu (September 1993 - Jun 1994).

Kerjayanya di EPRD bermula sebagai Ketua Penolong Pengarah (Penyelidikan dan Dasar) sehinggalah menjadi Pengarah IAB pada 1 September 2000. - GHULAM SARVER MOBARAK ALI
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_04.htm#ixzz4b0oAIBtG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan