Ahad, 12 Mac 2017

Hassan jelajah dunia dengan menaiki basikal

ARKIB : 14/12/2000
PEGAWAI Daerah Port Dickson, Hasan Nawawi Abdul Rahman, 47, bakal mencatat sejarah apabila hasratnya untuk menjelajah dunia menaiki basikal, akhirnya menjadi kenyataan.

Ini bermakna beliau bakal menjadi anak Malaysia pertama berbuat demikian. Malah kejayaannya itu nanti layak dicatatkan dalam buku Malaysia Book of Records mahupun dunia.

Apa pun masih terlalu awal untuk memperkatakannya, tetapi yang nyata hasratnya itu akan bermula pada 4 Jan depan dan dijangka berakhir pada 23 Disember.

Perjalanan beliau yang akan bermula di Bukit Kayu Hitam akan meliputi 25 negara kesemuanya termasuk Asia dan Eropah.

''Saya telah merancang jelajah ini lima tahun lepas dan atas usaha serta keyakinan pada diri sendiri, akhirnya hasrat ini tercapai,'' kata Hasan yang akan mengambil cuti tanpa gaji selama setahun.

Laluan pertama yang akan dilalui beliau ialah Thailand dan seterusnya ke Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, Turki, Bulgaria, Romania, Hungary, Bosnia, Croatia dan Austria.

Laluan ini dijangka dapat ditamatkan sehingga 8 Jun depan sementara laluan Jerman, Belgium, Perancis, England, Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Korea Utara, China, Vietnam, Laos dan kembali semula ke Thailand, juga akan mengambil masa enam bulan. Hasan dijangka kembali ke tanah air pada 24 Disember.

''Ini adalah negara-negara yang akan menjadi persinggahan sementara. Yang lainnya cuma untuk dilintasi sahaja,'' katanya.

Menurut Hasan, perancangan laluan ini telah dibuat beberapa tahun lepas. Beliau juga turut meminta nasihat pejabat kedutaan Malaysia di negara terbabit mengenai laluan yang difikirkan selamat.

Turut terlibat dalam jelajah berkenaan ialah adiknya Ahmad Ridhwan Abdul Rahman, 37 tahun.

Menurut Hasan, mungkin ramai yang berpendapat aktiviti yang beliau rancangkan ini sukar untuk diterima, tetapi apa yang beliau mahu buktikan ialah semangat serta kegigihan ini mungkin boleh dicontohi generasi akan datang.

Beliau juga tidak menafikan sumber kewangan turut memainkan peranan, tetapi atas usaha gigihnya untuk mendapatkan tajaan, masalah tersebut dapat diatasi.

Hasan menerima pembiayaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM56,000, Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd (RM35,000), Kerajaan Negeri Sembilan (RM20,000), Shell Refinery Port Dickson (RM5,000), IPP Port Dickson (RM5,000) sementara RM33,000 lagi diperoleh daripada beberapa penaja tempatan. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4b7PzcWzw

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan