ARKIB : 22/01/2003
Sejarah
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
DUA puluh empat ribu tentera di
bawah pimpinan Abu Sufyan dan Uyainah menghampiri kota Madinah.
Mereka berhasrat mengepung dan
menghancurkan Nabi Muhammad s.a.w. yang membawa agama baru, bersama para
sahabatnya.
Pasukan tentera ini bukan
sahaja terdiri daripada orang-orang Quraisy, bahkan daripada pelbagai kabilah
atau suku kaum yang menggangap Islam sebagai lawan yang membahayakan mereka.
Kaum Muslimin menginsafi
keadaan mereka yang genting ini, lalu Rasulullah s.a.w. pun mengumpulkan para
sahabat mengajak bermusyawarah.
Mereka membincangkan cara
sebaiknya untuk mempertahankan diri dan mengangkat senjata.
Ketika itulah seorang lelaki
tinggi lampai dan berambut lebat tampil mengemukakan pendapatnya.
Itulah Salman Al-Farisi yang
berasal dari Parsi. Beliau mempunyai pengalaman luas mengenai teknik-teknik
peperangan dan lekuk likunya semasa berada di negaranya dulu.
Salman mengajukan satu cadangan
yang belum pernah dikenali oleh orang-orang Arab dalam peperangan mereka
sebelum ini.
Khandak atau parit harus digali
sepanjang daerah yang terbuka di keliling kota.
Cadangan ini dikemukakan Salman
setelah beliau meneliti kedudukan kota Madinah.
Walaupun Madinah dikelilingi
gunung ganang dan bukit bukau yang sebenarnya menjadi benteng kepada
penduduknya, tetapi ada sebahagian daerah yang terbuka luas dan terbentang
panjang.
Keadaan ini akan memudahkan
musuh-musuhnya menyerbu dan memasuki benteng pertahanan mereka.
Sewaktu Salman ikut serta
menggali parit, cangkulnya terbentur sebuah batu besar.
Dengan tenaganya yang kuat
beliau dan rakan-rakannya berusaha memecahnya menjadi pecahan-pecahan kecil,
tapi tidak berjaya.
Salman menemui Rasulullah
s.a.w. meminta izinnya mengalihkan jalur parit dari garis semulanya untuk menghindari
batu besar yang tidak terusik itu.
Baginda pergi ke tempat yang
diceritakan untuk melihat sendiri keadaannya.
Kemudian Baginda meminta alat
untuk memecahkan batu dan menasihatkan para sahabat menghindari pecahan
batu-batu kecil itu nanti.
Dengan basmalah Baginda sekuat
tenaga menghunjamkannya ke batu besar itu.
Batu itu terbelah, dan dari
celah-celah belahannya yang besar, keluar percikan api yang tinggi dan
menerangi sekitarnya.
Kata Salman, ``Saya melihat
semburan api itu menerangi pinggiran kota Madinah.''
Sementara itu Rasulullah s.a.w.
mengucapkan takbir dan bersabda: ``Allahu akbar, aku telah dikurniakan
kunci-kunci istana negeri Parsi.
``Dan daripada cahaya api itu
tadi aku nampak dengan nyata istana-istana kerajaan Hirah, kota-kota maharaja
Parsi. Dan umatku akan menguasai semuanya.''
Setelah itu Baginda lakukan hal
yang sama kali kedua. Sekali lagi pecahan batu besar tadi menyemburkan api yang
tinggi dan menerangi sekitarnya.
Rasulullah s.a.w. bertakbir,
sabdanya: ``Allah Maha Besar. Aku telah dikurniakan kunci-kunci negeri Rom.
Dari cahayanya, nampak nyata olehku istana-istana merahnya. Sesungguhnya umatku
akan menguasainya.''
Buat kali ketiga Baginda
memecahkan batu tadi hingga pecah berderai. Sinar cahayanya terpancar terang.
Baginda mengucapkan ``la ilaha illallah'' diikuti dengan suara gemuruh kaum
Muslimin.
Rasulullah s.a.w. bercerita
bahawa sekarang baginda melihat istana-istana dan mahligai-mahligai di Syria,
Shan'a dan beberapa daerah lain yang satu ketika nanti akan berkibar di bawah
bendera Allah.
Maka dengan penuh keimanan,
kaum Muslimin serentak berseru : ``Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.
Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya.''
Salman adalah orang yang
mencadangkan penggalian parit. Beliau juga yang menemui batu besar yang telah
memancarkan rahsia-rahsia dan ramalan-ramalan ghaib Nabi Muhammad s.a.w.
Salman melihat kejadian
tersebut dari dekat dan mendengar sendiri berita gembira itu. Dan Salman juga
masih hidup ketika ramalan-ramalan tersebut menjadi kenyataan.
- Bersambung esok
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cW74hRgH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan