Sabtu, 18 Mac 2017

Fairuz harumkan nama negara

ARKIB : 07/08/2001
FAIRUZ Fauzy melakar sejarah sebagai pemandu Malaysia pertama menaiki podium kemenangan dalam Kejohanan Formula Renault Sport British Siri Kelapan di Snetterton, United Kingdom semalam.

Fairuz yang bermula daripada baris ketujuh memintas James Andanson dan Danny Watts pada permulaan perlumbaan.

Permukaan litar yang basah menyaksikan tujuh pelumba terkeluar daripada persaingan, bagaimanapun Fairuz berjaya mengawal pemanduan menggunakan tayar licik.

Dia berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ketiga, 1.28 saat di belakang pemandu tempat kedua, Carl Breeze, dari Britain.

Pemandu Ireland, Keith Dempsey menjuarai perlumbaan dengan masa 36:08.714s selepas mencatat pusingan terpantas 1:11.247s.

Fairuz, 18, yang kini berada di ranking keenam kedudukan keseluruhan menunjukkan kematangan dalam pemanduannya selepas membuat penampilan sulung Kejohanan Formula Ford Britain 2000 dan Siri Formula Renault Sports Winter 2000/2001.

``Sukar untuk menggambarkan perlumbaan kerana hujan yang turut menyebabkan keadaan menjadi sukar,'' kata Fairuz.

``Sejurus selepas perlumbaan bermula saya berjaya memintas dua pelumba, kecuali seorang pemandu...semua pemandu lain menggunakan tayar licik termasuk Danny Watts dan Richard Antinucci.''

Fairuz yang merupakan pelumba tunggal Asia dalam siri berkenaan kini meletakkan sasaran untuk menduduki tangga ketiga keseluruhan pada kejohanan 2001.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bi0BD3B5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan