ARKIB : 02/09/2000
Oleh: NOOR AZAM SHAIRI
SUASANA bulan merdeka
merangsang kita untuk kembali mengenang sebaris nama tokoh-tokoh yang pernah
mencurah jasa kepada tanah air tercinta ini.
Tetapi dalam mengingat semula tokoh-tokoh
penting itu, kita cenderung bercakap tentang segelintir tokoh, khususnya
pejuang kemerdekaan.
Tanpa sekali-kali mahu
menidakkan bakti mereka, tentu ada yang bersetuju bahawa kemerdekaan adalah
satu episod kecil dalam sejarah sesebuah negara, kalau hendak dibandingkan
dengan cabaran mengisi makna kebebasan itu sendiri.
Kerana mengisi dan seterusnya
mengekalkan kemerdekaan itu lebih payah lagi perit, bermakna tokoh-tokoh yang
muncul sepanjang sejarah 43 tahun kita merdeka tidak boleh dikesampingkan
begitu saja. Tetapi soalnya, dalam kita merayakan sambutan bulan merdeka, amat
jarang sekali perhatian diberikan kepada tokoh-tokoh yang memberi makna kepada
kemerdekaan itu.
Hal ini lebih menarik untuk
direnung kalau kita melihat kepada usaha yang dibuat oleh majalah India Today
mencari dan menyenaraikan 100 tokoh penting sejarah India.
Kerja yang sulit itu dibuat
sebagai tanda memperingati alaf baru. Sempena alaf baru, India Today
menerbitkan 25 siri keluaran khas tentang sejarah dan pencapaian India.
Keluaran pertamanya yang diberi
tajuk 100 People Who Shaped India memberi fokus kepada tokoh-tokoh yang telah
mengubah cara rakyat India hidup, berfikir dan bekerja, tidak kira sama ada
lebih baik atau menjadi lebih buruk.
Meneliti majalah itu, kita dihadapkan
dengan tokoh-tokoh penting dari pelbagai bidang yang telah mencorakkan negara
itu -- Mahatma Gandhi, Jawaharlal Nehru, Subhas Chandra Bose, penyair
Rabindranath Tagore, malah pelakon Raj Kapoor dan atlet P.T. Usha.
Pengkaji sejarah, Prof. Dr. Ramlah
Adam ketika ditunjukkan majalah tersebut dan ditanya keperluan Malaysia
mempunyai senarai tokoh-tokoh pentingnya, mengakui usaha itu harus dilakukan.
Katanya, tokoh-tokoh yang
muncul sepanjang sejarah adalah pembina negara yang wajar dikenang, dicontohi
dan dipelajari riwayat hidupnya.
''Sebagai pembina negara,
mereka bertanggungjawab kepada kemajuan dan pencapaian yang kita kecapi hari
ini. Mereka adalah asas pencapaian itu,'' katanya.
Kajian mengenai tokoh bukan
satu bidang baru di sini. Dalam bidang penulisan, ada penulis yang berani
mencuba genre biografi sungguhpun sedar ia tidak mendatangkan untung yang
lumayan. Ramlah seorang daripadanya. Malah, tidak berapa lama dulu ada
dianjurkan pertandingan menulis biografi.
Bagaimanapun, kalau diteliti secara
halus, usaha itu jarang memberi tumpuan kepada tokoh-tokoh di luar bidang
politik. Jauh daripada itu, adakalanya usaha itu menolak pemimpin politik yang
duduk di luar jalur pemikiran politik semasa.
Tokoh-tokoh dalam bidang yang
dianggap bukan aliran utama seperti kesihatan, pendidikan, sukan, alam sekitar,
pembangunan bandar dan luar bandar, pentadbiran atau dasar sosial terasa
semacam dipinggirkan. Hanya tokoh politik saja yang diketengahkan.
Sehingga hari ini masih belum
dapat dipastikan siapa sebenarnya perintis yang mencorak pencapaian negara
dalam bidang-bidang itu. Tidak dinafikan ada bidang-bidang yang telah dikenal
pasti tokoh perintisnya, tetapi tidak semua.
Misalnya, siapa tokoh unggul
dalam bidang sains, perubatan atau seni bina? Siapa yang mencetuskan kesedaran
alam sekitar atau perjuangan hak pengguna di kalangan masyarakat? Siapa
usahawan yang boleh dijadikan wira? Siapa pula tokoh perpaduan, kemasyarakatan
atau kesukarelaan?
Kata Ramlah, kecenderungan
meminggirkan tokoh-tokoh di luar bidang politik dan hanya melihat tokoh haluan
kanan sebenarnya berlaku di seluruh dunia.
Isu itu pernah beliau sentuh
dalam satu rencana bertajuk Tokoh yang dilupai. Tulisan itu disiarkan dalam
Utusan Malaysia sempena bulan merdeka dua tahun lalu.
Tetapi kata beliau, hal-hal
yang bukan perdana itu juga sebenarnya sebahagian daripada politik itu sendiri.
Maknanya, kecenderungan orang politik akan memberi kesan kepada bidang-bidang
lain.
''Idea datang bersama politik.
Kalau orang politik itu minat, maka bidang itu dengan sendirinya akan
berkembang,'' kata Ramlah.
Pendek kata, kerana politik itu
yang menjadi penentu kepada pembangunan, maka politik itulah yang tampak
ditonjolkan. Dalam erti kata lain, kuasa politik yang menentukan dasar negara.
Tetapi apa faedahnya kalau kita
ada senarai 100 tokoh penting itu? Senarai 100 tokoh tentulah bukan sekadar
menulis sebaris nama tetapi dicatatkan juga riwayat ringkasnya dan dianalisis
sumbangan tokoh itu yang menjadi cerminan sikap dan tanggapan kita hari ini.
Ramlah melihat kepada tiga
kebaikan utama yang katanya, begitu mendesak dan sangat diperlukan oleh
generasi hari ini.
''Mereka ini boleh jadi role
model untuk kita pelajari kekuatan dan kelemahannya,'' katanya.
Ya, siapa sebenarnya tokoh
contoh generasi hari ini? Tidak keterlaluan kalau dikatakan, setelah sejauh ini
kita bernafas dalam merdeka, masih ada yang menjadikan tokoh-tokoh asing
sebagai idola mereka.
Sekadar misalan, John F.
Kennedy, Nelson Mandela, Stephen Hawking, Wiston Churchill, Martin Luther King,
Che Guevera dan Helen Keller adalah antara tokoh yang diteroka peta sejarahnya,
dikaji peribadi perjuangannya dan dipinjam semangat zamannya.
Itu semua tidak salah, kerana
apa yang mereka perjuangkan itu umumnya merentas zaman, relevan sepanjang masa
dan tidak tertakluk oleh sempadan fikiran.
Tetapi apa salahnya kalau kita
berbangga dengan sebaris tokoh tempatan yang boleh dijadikan panduan. Seperti
kata Ramlah: ''Daripada melihat ke luar lebih baik dicari yang di dalam.''
Selain tokoh contoh, nama-nama
itu boleh juga dijadikan wira. Dalam mencari wira katanya, kita tidak harus
terpengaruh dengan tafsiran yang dibuat oleh para pengkaji asing yang cenderung
meletakkan label penderhaka, penyamun dan lanun kepada tokoh-tokoh itu.
Ramlah juga mengingatkan betapa
lingkup pencarian itu tidak harus disempitkan kepada tokoh moden. Maknanya,
diintai-intai juga tokoh dari zaman silam.
''Kenapa tidak Tun Perak
misalnya. Dia sudah global pada zamannya, seorang yang sudah antarabangsa.
Tetapi mana ada usaha menggambarkan Tun Perak yang sebenar,'' kata beliau
serius.
Tokoh-tokoh itu juga, katanya,
boleh dijadikan tempat generasi hari ini merujuk apabila berlaku apa-apa
masalah.
''Kita lihat bagaimana mereka
mengendalikan masalah. Mereka dulu bukan tidak ada masalah macam kita hari
ini,'' katanya.
Apa yang beliau maksudkan ialah
tentang perlunya generasi hari ini belajar daripada sejarah dan ''bukan dibaca
hanya sebagai sebuah cerita''.
Belajar sejarah bermakna
merenung ke depan dengan menoleh ke belakang. Apabila menoleh semula ke
belakang, adakalanya kita akan menemui perkara-perkara baru yang membawa kepada
tafsiran dan persepsi baru. Usaha itu boleh meruntuhkan kepercayaan
konvensional.
''Itu perkara biasa kerana yang
disemak dan dicari ialah kebenaran,'' kata Ramlah, dan menambah: ''Hanya dengan
mengkaji kebenaran, sejarah dapat ditulis sebagai catatan peristiwa yang
benar-benar berlaku.''
Ini dapat mengelak catatan
sejarah yang berbau propaganda di samping membetulkan tafsiran yang salah tentang
sesuatu peristiwa atau tokoh, katanya.
''Tetapi apa yang lebih penting
ialah memulangkan sanjungan kepada mereka yang berhak,'' katanya.
Ramlah juga mengingatkan bahawa
dalam usaha mencatatkan sumbangan tokoh-tokoh berjasa itu, sentimen politik
adalah perkara utama yang perlu diketepikan.
Beliau berpendapat pembangkang
juga mempunyai asas yang sama dengan pemimpin haluan kanan iaitu mahu melihat
negara ini sejahtera.
Beliau percaya komen-komen
pembangkang adalah sebahagian daripada proses mengawas dan menyaring (check and
balance), memberi panduan dan input kepada pemimpin haluan kanan.
''Input itu boleh kita lihat
sebagai kritikal tetapi pada dasarnya ia akan difikirkan oleh pembuat dasar
untuk kepentingan negara,'' katanya.
Ramlah seterusnya merujuk
kepada beberapa pejuang kemerdekaan seperti Ibrahim Yaacob, Dr. Burhanuddin
al-Helmy dan Ahmad Boestamam yang cuba beliau angkat melalui beberapa
tulisannya.
Tujuh tahun dari sekarang,
negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50. Tujuh tahun tidak
lama.
Barangkali sekarang sudah boleh
difikirkan kemungkinan ditubuh satu jawatankuasa khas yang diberi tanggungjawab
mencari, menyaring dan memilih 100 tokoh perintis yang telah memberikan
sumbangan bermakna kepada tanah air dalam bidang mereka masing-masing.
Seperti kata Ramlah: ''Kita
tidak boleh pakai andaian saja, mesti ada kajian, penyelidikan meluas dan guna
banyak sumber.''
Sejarawan sekali gus ahli
politik, Alexis de Tocqueville pernah menulis: ''Sejarah itu satu galeri yang
dipenuhi gambar; hanya sedikit yang asli tetapi banyak tiruan.''
Usaha menyenarai tokoh pencorak
negara sebenarnya adalah kerja mencari potret yang asli.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4awKKyV3O
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan