Jumaat, 10 Mac 2017

Hari Kebangsaan disambut meriah


 

ARKIB : 01/09/2000
CEMERLANG... Pelajar-pelajar mempersembahkan pertunjukan padang yang turut membabitkan pembentukan logo Hari Kebangsaan ke-43 di Dataran Shah Alam semalam. Logo kali ini menggambarkan rasa kesyukuran dan terhutang budi rakyat Malaysia berbilang kaum, budaya dan fahaman politik di atas nikmat keamanan, kemakmuran dan pencapaian cemerlang negara.

SHAH ALAM 31 Ogos - Sambutan Hari Kebangsaan ke-43 pada alaf baru dirayakan dengan gilang-gemilang dan penuh bermakna dengan disaksikan oleh lebih 50,000 penonton di Dataran Shah Alam di sini hari ini.

Keranamu Malaysia yang merupakan tema sambutan kali ini, jelas menggabungkan penyertaan semua kaum dengan mengetepikan perbezaan fahaman politik serta agama.

Pada sambutan hari ini, orang ramai sejak seawal pukul 6 pagi lagi sudah berpusu-pusu memenuhi Dataran Shah Alam tempat perarakan berlangsung.

Keadaan persekitaran Dataran Kemerdekaan lebih ceria dengan kibaran beratus-ratus Jalur Gemilang dan bendera negeri Selangor serta sebuah pentas khas yang dibina di tengah-tengah laluan penting di ibu negeri Selangor itu.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Pusat itu bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kira- kira pukul 8 pagi.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad serta isteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Endon Mahmood, Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo serta isteri, menteri- menteri kabinet, timbalan menteri, duta-duta asing dan orang-orang kenamaan.

Pada sambutan yang penuh bermakna ini, buat pertama kali dalam sejarah, beberapa para pemimpin pembangkang turut hadir antaranya Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor dan Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan, Azmin Ali.

Seramai 11,926 orang mengambil bahagian dalam perarakan terbesar itu di samping penyertaan 166 jentera dan kenderaan, 15 kereta berhias mewakili pelbagai sektor kerajaan dan swasta serta penggunaan 31 buah pesawat pejuang tentera jenis Hawk, MIG-29 dan FA-18D dan beberapa pesawat ringan.

Sejurus selepas ketibaan Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berkenan memeriksa barisan kehormat terdiri daripada 102 anggota serta pegawai unit kawalan kehormat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai oleh Mejar Roslan Shah Jamaluddin.

Sambutan disusuli dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serta nyanyian lagu Negaraku oleh kumpulan koir Institut Bahasa Melayu Malaysia, Kuala Lumpur dengan diiringi pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lima buah helikopter yang membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bendera TUDM kemudian membuat lintas hormat di udara.

Ia diikuti bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai lima pelajar dari sekolah-sekolah sekitar Shah Alam serta disusuli dengan laungan ''Merdeka'' sebanyak tujuh kali.

Sajak khas Keranamu Malaysia karya Ahmad Sarju kemudian dideklamasikan oleh lima orang yang secara simbolik mewakili seluruh rakyat negara ini.

Ketika sajak itu dibacakan, ia diseling-seli dengan tembakan meriam sebanyak 14 das.

Sambutan kemudian diteruskan dengan persembahan padang membabitkan 2,300 pelajar yang berpakaian berwarna-warni sambil membentuk logo Hari Kebangsaan 2000.

Para pelajar dari 21 buah sekolah sekitar Selangor itu juga membentuk enam formasi lain antaranya kapal layar yang melambangkan bahtera merdeka bagi menunjukkan perjuangan rakyat Malaysia di alaf baru ini.

Di samping itu, lagu-lagu tradisional rakyat negara ini dipersembahkan dan diikuti pula nyanyian lagu tema Hari Kebangsaan 2000 dan 1999 iaitu Tanah Pusaka, Keranamu Malaysia dan Jalur Gemilang oleh koir Institut Bahasa Melayu Malaysia.

Perarakan dan perbarisan dimulakan dengan mempamerkan pembabitan negara dalam sektor pertanian sebelum negara merdeka serta pemodenan yang dicapai pada masa ini.

Ini diikuti dengan perbarisan sektor pendidikan yang menggabungkan pelajar-pelajar sekolah, universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta.

Turut diberi penghormatan menyertai perbarisan ialah 77 ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) dan 77 dari Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

Acara perarakan kali ini berbeza dari tahun-tahun lalu kerana ia menampilkan kemajuan yang dicapai oleh negara dalam pelbagai bidang.

Ini termasuk dari segi infrastruktur, kemudahan asas, sektor kewangan, industri minyak dan gas, sektor pengeluaran kenderaan, pengangkutan, industri teknologi, perkhidmatan awam, pelancongan, perhotelan dan keselamatan dan ketenteraman awam.

Buat pertama kalinya, sambutan di Dataran Kemerdekaan itu menyaksikan penampilan empat kereta Proton Waja yang sekali gus mendapat tepukan gemuruh daripada ribuan penonton.

Sebanyak 17 buah kereta berhias daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta turut menarik perhatian melambangkan kejayaan organisasi masing-masing yang turut memeriahkan sambutan.

Perarakan diakhiri oleh kontinjen pasukan keselamatan terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Rela, Polis, Jabatan Penjara dan ATM.

Buat pertama kalinya Jabatan Penjara menampilkan pakaian seragam baru berwarna coklat tua.

Di samping itu, semasa perarakan pasukan beruniform, TUDM telah mempamerkan formasi pesawat ''Tanker KC-130H'' mengisi minyak di udara membabitkan pesawat MIG-29 dan FA-18D.

Sebelum perarakan berakhir, walaupun hujan, ia tidak menghalang perbarisan 2,100 peserta citra warna Malaysia yang menggabungkan semua etnik termasuk Orang Asli.

Kumpulan citra warna Malaysia dengan pakaian tradisional masing-masing serta memegang bendera kemudian beramai-ramai menyanyikan lagu Keranamu Malaysia dan Jalur Gemilang.

Upacara di akhiri dengan laungan Merdeka secara beramai-ramai oleh seluruh hadirin sebanyak tujuh kali diikuti laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4awHxjTuF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan