ARKIB : 15/03/2003
Oleh HAMDEN RAMLI
YAHYA Harun bersama rakan-rakan
dari Perancis, Rusia dan Indonesia semasa mengikuti rombongan melawat pangkalan
Tentera Laut Thailand di wilayah Satthip.
ANAK kelahiran Pekan Nenas,
Pontian ini pernah ditembak oleh pengganas komunis sebanyak tiga kali ketika
menyertai Operasi Selamat Sawadee di sempadan Malaysia-Thailand sekitar tahun
1977 sehingga 1980.
Beliau yang pada ketika itu
menjadi pembantu juruterbang helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM), bukan sahaja ditembak menggunakan mesingan tetapi pernah ditembak
dengan pelancar roket.
Menurut Leftenan Kolonel Yahya
Harun, 46, dalam ketiga-tiga kejadian itu, beliau terselamat dan berjaya
meneruskan penerbangan ke kawasan yang lebih selamat.
Itulah antara pengalaman getir
yang tidak akan dilupakan Yahya sepanjang khidmatnya demi menjamin keamanan
negara.
Bagaimanapun, nasib ternyata
tidak selalu menyebelahi bekas pelajar Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian
ini.
Beliau akhirnya `terkorban'
apabila helikopter yang dipandunya `terhempas' setelah ditembak dalam satu
operasi menyelamatkan pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS)
berpangkat Jeneral daripada tawanan musuh.
Bagaimanapun, beliau bersyukur
kerana peristiwa yang berlaku pada tahun 1986 di Tanjung Aru, Sabah bukan
berlaku dalam keadaan sebenar tetapi sekadar lakonan sebuah filem bertajuk
BAT21, yang dilakonkan oleh aktor terkenal Hollywood, Gene Hackman dan Danny
Glover.
``Jika mengikut skrip sudah
lama saya meninggal dunia tetapi Alhamdulillah situasi dalam filem itu tidak
berlaku dalam dunia yang sebenar,'' katanya yang kini merupakan Pegawai
Memerintah, 881 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang berpangkalan
di Kem Mahkota, Kluang, Johor.
Menurut Yahya, pengalaman
berlakon bersama Gene Hackman itu adalah secebis daripada kenangan manis
sepanjang 27 tahun berkhidmat bersama TUDM.
``Saya tidak tahu bagaimana
saya terpilih, tetapi apa yang saya tahu, pengarah filem tersebut mahu
juruterbang helikopter terbaik,'' katanya yang sehingga kini telah mengumpul
sebanyak 4,238 jam penerbangan.
Yahya memulakan perkhidmatan
bersama TUDM pada tahun 1975. Selepas menamatkan kursus asas juruterbang beliau
ditempatkan di 3 Skuadron yang berpangkalan di Butterworth.
Dalam pembabitan awalnya,
beliau menempuh pengalaman yang mencabar berikutan ancaman komunis yang masih
berleluasa.
Sepanjang tempoh itu juga
beliau berpeluang menyertai operasi ketenteraan termasuk Operasi Selamat
Sawadee.
Pada 1980, beliau dinaikkan
pangkat Kapten helikopter Alloutte. Selepas mengikuti kursus Jurulatih
Helikopter Bertauliah, beliau kemudiannya dilantik sebagai jurulatih pesawat
Alloutte, pada tahun 1984. Dua tahun kemudian beliau ditukar ke Kuching,
Sarawak untuk menjadi Pegawai Jurulatih.
Pada 1988, beliau dilantik
sebagai pemeriksa juruterbang selama lima tahun sebelum mengikuti kursus di Maktab
Turus di Bangkok, Thailand pada tahun 1993.
Sebelum ditugaskan sebagai
Pembantu Penasihat Pertahanan di Kedutaan Malaysia di Bangkok pada tahun 1997,
beliau pernah bertugas di Institut Latihan Instruktor Terbang di Pulau Pinang
(1994) dan Kolej Tentera Udara di Alor Star.
Sekembali dari Bangkok pada
tahun 2002 beliau ditugaskan sebagai Inspektorat General TUDM dan sejak 6 Jun
tahun lalu menjadi Pegawai Memerintah 881 Skuadon PUTD.
Menceritakan penglibatannya
dalam operasi Operasi Selamat Sawadee yang disifatkannya sebagai tempoh yang
paling mencabar dalam kerjayanya sebagai juruterbang helikopter, Yahya berkata,
pengalaman ditembak dengan pelancar roket sukar dilupakan.
Menurutnya, meskipun pada
ketika itu beliau hanya bertindak sebagai pembantu juruterbang, namun cabaran
dan risiko yang perlu ditanggung tidak ada banyak bezanya.
Katanya, peristiwa tersebut
berlaku di satu kawasan mendarat dekat Kroh ketika beliau bersama Kapten Nor
Zainal ditugaskan untuk membawa pulang anggota tentera selepas satu operasi.
``Saya telah diberi tugas oleh
Nor Zainal menurunkan pesawat. Belum pun sempat helikopter mencecah tanah
kedengaran bunyi tembakan dan terup meniarap mencari perlindungan.
``Saya memjerit ke arah Nor
Zainal yang pada ketika itu sedang meneliti peta dan tidak menyedari tembakan
itu.
``Nor Zainal terus mencampakkan
peta itu dan sepantas kilat menarik Cyclic Spick mengambil alih pengemudian
helikopter daripada saya dan menerbangkan semula helikopter berkenaan. Tembakan
terus kedengaran dari pelbagai arah.
``Pada ketika itu juga saya
terdengar bunyi pelancar roket dilepaskan dan melintasi sebelah kanan
helikopter. Nasib kami baik, ia sedikit tersasar,'' katanya.
Nor Zainal kemudiannya
meneruskan penerbangan dan mendarat di Teluk Intan untuk melihat keadaan
helikopter.
Menurut Yahya, itu bukan
pengalaman pertama kerana beliau pernah ditembak sebanyak dua kali ketika
menghantar terup dan bekalan kepada anggota bertugas.
``Apa yang menarik,
kebiasaannya terup medan akan memberi jaminan, keadaan sudah terkawal tetapi
bila kita mendarat masa itulah kena tembak.
``Mereka meniarap mencari
perlindungan, kita pula akan berlepas semula sambil mengharap tidak terkena
tembakan,'' katanya lagi.
Menurut Yahya, sepanjang
kerjayanya beliau juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan situasi
cemas.
Beliau masih ingat bagaimana,
tingkap yang menjadi pelindung utama dilitupi oleh minyak enjin yang rosak
secara tiba-tiba.
``Dalam keadaan cuaca buruk
kami akhirnya berjaya membuat pendaratan kecemasan di Yong Peng,'' katanya.
Selain itu, Yahya turut
mencatat pelbagai rekod seperti menjadi juruterbang pertama membuat pendaratan
di garisan Khatulistiwa.
``Rekod itu dibuat di Selat
Sumatera ketika dalam perjalanan mengadakan latihan bersama Tentera Indonesia
pada Mei 1984,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4cj7GIzf4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan