Ahad, 19 Mac 2017

Sabree terima anugerah tertinggi


 

ARKIB : 03/01/2002
Dr. Sabree Salleh (kiri) menerima anugerah tertinggi Grand Master Persekutuan Global Taekwondo (GTF) daripada Pengasas dan Presiden GTF, Park Jung Tae ketika Kejohanan Taekwondo Kebangsaan di Pulau Pinang, minggu lalu.

Oleh YURI AZHAR MAZLAN
MALAYSIA terus melakar sejarah antarabangsa pada awal tahun baru 2002 ini apabila seorang lagi rakyatnya mengharumkan nama negara selepas dilantik menjadi Grand Master pertama di sini oleh Persekutuan Global Taekwondo (GTF) yang beribu pejabat di Mississauga, Kanada.

Datuk Dr. Sabree Salleh yang juga Presiden Persekutuan Taekwondo Global Malaysia (MGTF) berkata, pelantikan beliau sebagai Grand Master dan Naib Presiden Kanan GTF itu merupakan satu penghormatan kepadanya serta pengiktirafan tertinggi untuk Malaysia.

``Saya tidak menyangka untuk menerima pangkat Grand Master (peringkat kesembilan tali pinggang hitam) yang merupakan peringkat tertinggi dalam sukan ini serta menerima jawatan Naib Presiden Kanan terlalu awal,'' katanya ketika ditemui di Hotel Cititel, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menerima anugerah tertinggi itu daripada Pengasas dan Presiden GTF, Park Jung Tae pada Kejohanan Taekwondo Kebangsaan yang berlangsung minggu lalu di Pulau Pinang.

Jawatan barunya sebagai Naib Presiden Kanan GTF pula berkuatkuasa pada 1 Januari yang lalu.

Dr. Sabree yang ditemui Sukan Utusan semalam berkata, dia menghormati Park Jung Tae yang kini menerajui jawatan Presiden dan tidak berhasrat untuk mengambil alih.

Bagaimanapun dia yakin, suatu hari nanti akan ada anak Malaysia memegang kerusi utama itu.

``GTF juga telah memberikan kepercayaan penuh kepada saya dengan melantik saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan GTF,'' ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang berkaitan juga, Dr. Sabree menjelaskan dia merancang untuk mengembangkan sukan taekwondo ke peringkat sekolah untuk menarik lebih ramai ahli menyertai sukan seni mempertahankan diri.

``Saya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melahirkan ramai atlet Malaysia berjaya dalam sukan ini,'' jelasnya lagi.

Presiden GTF, Park Jung Tae yang ditemui di Kuala Lumpur semalam berkata, dia mengucapkan tahniah di atas kejayaan Dr. Sabree menerima anugerah Grand Master dalam sukan ini.

``Dia mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam sukan ini dan percaya Dr. Sabree mampu mentadbir sukan seni mempertahankan diri ini dengan berjaya, khususnya di Malaysia dan dunia amnya,'' tegasnya.

Park yang berada di Malaysia untuk melawat beberapa pusat latihan MGTF, berharap negara ini dapat menjadi tuan rumah pada kejohanan taekwondo peringkat dunia tahun ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bqKa7jiv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan