Jumaat, 10 Mac 2017

Dr. Khir MB Selangor -- Catat sejarah tokoh paling muda dilantik pemimpin negeri ini


 

ARKIB : 19/08/2000
Dr. Khir MB Selangor -- Catat sejarah tokoh paling muda dilantik pemimpin negeri ini
DR. MOHAMAD KHIR TOYO

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, Tanjung Karang, Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini mencatatkan sejarah apabila dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang paling muda iaitu dalam usia 35 tahun.

Beliau menggantikan Datuk Seri Abu Hassan Omar, 60, yang meletakkan jawatannya di atas sebab-sebab kesihatan dan keluarga, lapan hari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataannya petang ini berkata, pelantikan Dr. Khir, seorang doktor gigi, telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Sultan Selangor dan juga Pemangku Raja Selangor, Tengku Idris Shah.

Kenyataan akhbar Perdana Menteri itu dibacakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Khalil Yaakob yang juga Menteri Penerangan di Angkasapuri, di sini petang ini.

Menteri Besar yang termuda sebelum ini ialah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Beliau memegang jawatan itu pada usia 44 tahun.

Pelantikan Dr. Khir juga memperlihatkan beliau sebagai Exco Pemuda UMNO pertama dalam sejarah dilantik sebagai ketua eksekutif sebuah negeri.

Dalam kenyataan tiga perenggan itu juga, Dr. Mahathir mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Muhammad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor manakala Dr. Khir pula sebagai timbalannya.

Pemerhati menyifatkan percaturan ini sebagai satu strategi terbaik bagi membolehkan Muhammad menumpukan perhatian kepada politik dan Dr. Khir dalam bidang pentadbiran.

Kira-kira pukul 5 petang ini, Dr. Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Selangor, di sini bagi mempersembahkan nama baru Menteri Besar Selangor. Pertemuan itu berlangsung lebih sejam.

Sejak peletakan jawatan Abu Hassan, berbagai-bagai spekulasi timbul berhubung dengan penyandang jawatan Menteri Besar Selangor itu.

Bagaimanapun nama Dr. Khir tidak termasuk dalam senarai 11 pemimpin Selangor yang dikemukakan oleh UMNO Selangor kepada Perdana Menteri. Kriteria yang dikemukakan sebelum ini ialah calon itu mestilah ketua bahagian dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jika dilihat daripada kriteria tersebut, Dr. Khir bukan seorang ketua bahagian dan hanyalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Karang.

Nama-nama yang disebut-sebut akan menjawat jawatan Menteri Besar sebelum ini ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, tiga Exco Kerajaan negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Dahlan, Datuk Mohd. Shariff Jajang dan Datuk Raja Ideris Raja Ahmad.

Selain itu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga disebut-sebut pada saat-saat akhir ialah Datuk Mohamad Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) dan Ahmad Kuris Mohd. Nor (Beranang), Datuk Mohd. Satim Diman (Puchong) dan Datuk Salamon Selamat (Batu Tiga).

Dr. Khir ketika mengulas pelantikannya itu malam ini melahirkan rasa terkejutnya di atas kepercayaan Perdana Menteri terhadapnya untuk menerajui Selangor.

Katanya, beliau akan bekerja keras memastikan Wawasan Selangor Maju 2005 tercapai seperti yang diperjuangkan oleh pemimpin sebelumnya.

Dalam pilihan raya umum lalu, Dr. Khir menewaskan calon Pas, Mohd. Fadzin Taslimin dengan kemenangan tipis 165 undi. Dr. Khir mendapat 4,243 undi berbanding pencabarnya, 4,078 undi.

Sebagai latar belakangnya, kawasan Parlimen Tanjung Karang yang dipegang oleh Noh Omar (Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri), mengandungi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Panjang, Sekinchan (BN-MCA) dan Sungai Burung (Pas).

Dr. Khir Toyo dilahirkan pada 6 Ogos 1965 di Sekinchan, Selangor.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Zaharah Kecik dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fareezul Faiss, 9, dan Nurul Asiqin, 1.

Mengenai latar belakang akademiknya, Dr. Khir memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Berjaya Sekinchan (1983 - 1979), Sekolah Menengah Dato' Harun, Tanjong Karang (1979 - 1985).

Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya dalam asasi sains di Universiti Malaya pada 1982 sebelum meneruskan pengajian dalam bidang pergigian di universiti tersebut (1986 - 1989).

Selepas menamatkan pengajiannya, beliau memulakan kariernya sebagai pegawai pergigian 1989 - 1991.

Beliau kemudian membuka klinik pergigian pada 1991 hingga sekarang.

Dalam bidang politik, Dr. Khir ialah Ketua UMNO cawangan (1991 - 1993), ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian Tanjong Karang ( 1993 - 1996), Ketua Pemuda UMNO Bahagian (1996 - 1999) dan beliau kini Exco Pemuda UMNO Malaysia (2000-2003) dan dilantik sebagai Pengerusi Biro Agama Pemuda.

Oleh: AMIR SARIFUDDIN MANSOR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4aufpRIOH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan