ARKIB : 19/01/2003
Soal Jawab Agama Oleh Dr. Amran
Kasimin
SOALAN:
Saya masih tidak jelas apa yang
dimaksudkan dengan sihir. Dan adakah benar baginda Rasulullah pernah kena
sihir? - Ismail, Kuala Lipis
JAWAPAN:
Para ulama, termasuk ahli-ahli
tafsir banyak membicarakan tentang definisi sihir. Al-Baydawi dalam tafsirnya
menyatakan bahawa sihir ialah apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh manusia
untuk mencapai sesuatu tujuan, yang dilakukan dengan cara menghampirkan diri
kepada syaitan.
Tanpa bantuan makhluk ini,
manusia tidak berupaya melakukan perbuatan tersebut. Kerana itu amalan ini
hanya akan dilakukan oleh mereka yang jahat lagi kotor diri.
Al-Imam ar-Razi dalam bukunya
bertajuk Ahkamu `s-sihr wa `s-saharati fi `l-Quran wa `s-Sunnah menyatakan
bahawa sihir adalah perbuatan tersembunyi puncanya, bukan hakikat, terjadi
dengan tipu helah dan kepalsuan. Beliau mengajukan dalil daripada al-Quran
surah al-A'raf: 116 yang bermaksud: Maka tatkala mereka melemparkan, mereka
menyulap mata orang menyebabkan orang ramai takut. Mereka mendatangkan sihir
yang menakjubkan.
Ayat ini menjelaskan peristiwa
yang berlaku di antara Firaun dan Nabi Musa, di mana tukang-tukang sihir telah
menyihir mata orang ramai, memesongkan atau memalsukan pandangan mata mereka
yang memandang, menyebabkan mereka menyangka tali-tali dan tongkat-tongkat yang
dilemparkan itu berjalan (Taha: 66).
Menurut Ibn Qudamah
al-Muqaddas, seperti yang dicatat oleh Wahid Abdul Salam (1412H: 8), sihir
adalah tangkal azimat, jampi mantera atau rangkaian kata yang ditukarkan,
ditulis atau sesuatu yang dilakukan, yang memberi kesan, iaitu pada jasad
mangsa sihir, pada hati atau akalnya tanpa menyentuhnya langsung.
Termasuk dalam amalan sihir ini
ialah mereka yang menyediakan tangkal azimat dan menghembuskannya pada simpulan
tangkal azimat setelah menuturkan rangkaian kata jampi mantera atau serapah
seperti yang disebut dalam surah al-Falaq: 4 yang bermaksud: Dan dari kejahatan
wanita tukang sihir, yang menghembuskan pada simpulan-simpulan.
Dalam surah al-Falaq: 1-5,
Allah menyuruh agar setiap orang berlindung kepada-Nya, iaitu Allah yang
menguasai subuh dan kejahatan makhluk-Nya juga daripada kejahatan malam yang
gelap gelita, dari kejahatan tukang-tukang sihir, juga daripada mereka yang
dengki.
Perintah Allah agar manusia
memohon perlindungan kepada-Nya yang menjadikan waktu pagi (Rabbi `l-Falaq) ini
membuktikan bahawa amalan sihir itu adalah sesuatu yang benar-benar berlaku.
Disebut dalam ayat ini (al-Falaq: 4), tentang wanita-wanita yang menghembus
pada simpulan-simpulan, setelah menuturkan rangkaian kata sihir yang terdiri
dari jampi, mantera atau serapah kerana tukang-tukang sihir kebanyakannya
terdiri daripada kaum wanita (Muhammad bin Abdul Wahap, tt: 111).
Kalimah an-naffathat yang
diambil daripada surah al-Falaq di atas adalah jamak daripada perkataan
an-naffathat sighati-mublaghah. Menurut al-Munjid (1960: 823), an-nafath ialah
ism al-masdar daripada perkataan nafatha, yanfithu - atau yanfutuhu bererti apa
yang keluar dari mulut yang terdiri daripada air ludah yang pekat.
Menurut Ibn al-Qayyim (Ahmad
An-Nuhas, 1994: 70), an-nafath bererti hembusan, iaitu mengeluarkan angin dari
mulut yang disertai dengan sedikit ludah, ataupun perbuatan antara
kedua-duanya. Ia adalah perbuatan tukang sihir.
Apabila diri seseorang itu
kotor dan berhasrat agar berlakunya kecelakaan kepada orang lain sama ada untuk
dirinya sendiri atau atas permintaan seseorang, setelah meminta pertolongan
daripada iblis dan syaitan, melalui rangkaian kata jampi mantera atau serapah,
maka tukang sihir itu pun melakukan hembusan pada simpulan yang mengandungi
bahan sihir tadi.
Dari jasad yang kotor keluar
hembusan yang dibantu oleh kejahatan iblis dan syaitan. Dengan demikian, orang
yang berkenaan akan terkena sihir dengan izin Allah.
Menurut tafsir al-Azhar,
``apabila malam tiba, maka timbullah kesepian yang mencengkam. Pelbagai ragam
berbahaya boleh berlaku daripada binatang buas, manusia, iblis dan syaitan.
Dalam kehidupan moden, pelbagai maksiat berlaku, di meja judi, di sarang-sarang
pelacuran. Dalam surah ini (al-Falaq: 1) Allah menyuruh setiap orang memohon
perlindungan dan naungan-Nya di pagi hari, agar mereka terselamat daripada
segala bahaya yang tidak diketahui.
Allah juga memerintahkan agar
manusia berlindung daripada kejahatan sihir dengan merujuk perempuan-perempuan
sihir yang menghembus pada simpulan-simpulan bahan sihir selepas menyeru iblis
dan syaitan. Di dunia Barat, tukang-tukang sihir digambarkan sebagai
perempuan-perempuan tua yang sudah romping gigi dengan rupa yang menakutkan. Di
hadapannya diletakkan periuk berisi air menggelegak dipenuhi pelbagai ramuan
sihir dengan api yang menyala di bawahnya.
Dalam masyarakat Melayu,
sesetengah mereka yang terlibat menyediakan tangkal atau azimat turut meniup
atau menghembus simpulan berkenaan setelah rangkaian jampi mantera atau serapah
untuk memanggil makhluk-makhluk halus yang dibela atau dibuat sahabat, dibaca.
Selain melakukan hembusan pada
bahan berkenaan, hembusan dari mulut juga dilakukan untuk melakukan upacara
sihir yang dikenali sebagai ``tuju-tuju''. Dalam upacara ini, seperti yang
dijelaskan oleh tafsir al-Azhar, perempuan-perempuan tukang sihir akan
menghembuskan ramuan yang dibungkus, diikat dengan tali yang telah disimpulkan.
Isinya terdiri daripada
bahan-bahan kotor atau bahan yang mengandungi simbolik dalam upacara ini,
seperti jarum, kain kafan atau tanah yang diambil dari kubur, batu nisan dan
sebagainya. Dengan menggunakan bahan tadi, mangsa sihir akan menderita seumpama
ditusuk jarum.
Untuk menjadikan mangsa
gelisah, bingung dan tidak keruan, bahan-bahan seperti sampah, daun kayu atau
binatang kecil yang telah mati diambil dari air yang berpusar, atau apa-apa
objek seperti semut, labah-labah atau lipas mati yang terperangkap di sarang
labah-labah tergantung berpusing-pusing ke kanan ke kiri ditiup angin.
Mangsa sihir akan menjadi
bingung tidak karuan atau menjadi tidak siuman, terasa berpusing-pusing
kepalanya seperti keadaan bahan yang diambil di pusaran air atau
berpusing-pusing tergantung di sarang labah-labah menurut tiupan angin. Begitu
juga halnya dilakukan untuk menjadikan mangsa garang di mana misai harimau
digunakan ataupun tulang kokang untuk menjadikan mangsa malu, menyorok kepala
atau melarikan diri apabila melihat ada orang datang. Bahan-bahan yang
digunakan hanya simbolik semata-mata, di mana ia tidak memberi kesan kecuali
dengan adanya penglibatan jin-jin yang diseru.
Pada tahun ketujuh Hijrah,
iaitu selepas balik daripada Hudaibiyah baginda Rasulullah terkena sihir.
Ketua-ketua Yahudi datang menemui Labid bin al-A'sam, seorang tukang sihir yang
handal daripada kalangan ahli-ahli sihir Yahudi. Mereka mengadu mengatakan
bahawa mereka begitu kagum dengan kehandalan Labid. Mereka mengaku berusaha
untuk menyihir Muhammad, tetapi tidak memberi kesan. Kerana itu mereka meminta
agar ia melakukan sihir ke atas Muhammad dengan memberi upah tiga dinar.
Peristiwa sihir ini disebut
oleh Saidina Aishah radiallahuanhu di mana ia berkata: Seorang lelaki dari kaum
Bani Zuraiq bernama Labid al-A'sam telah menyihir nabi menyebabkan Rasulullah
merasakan seolah-olah melakukan sesuatu pada hal ia tidak melakukannya, hingga
pada satu hari Rasulullah berdoa dan berdoa, kemudian baginda bersabda yang
bermaksud:
Wahai Aishah, apakah engkau
merasakan bahawa Allah telah mendatangkan fatwa ketika aku benar-benar
memerlukannya? Telah datang kepadaku dua orang lelaki, lalu salah seorang
daripadanya duduk berhampiran kepalaku dan yang seorang lagi berhampiran
kakiku.
Lelaki yang berhampiran kepala
berkata kepada temannya yang berada berhampiran kakinya:
``Apa sakit lelaki ini?''
Ia menjawab, ``terkena sihir.''
``Siapa menyihirnya?''
Ia menjawab, ``Labid bin
Al-A'sam.''
``Dengan bahan apa?''
``Pada sikat dan rambut
kemudian dibungkus dengan seludang tamar jantan muda.''
Temannya bertanya lagi, ``di
mana letaknya benda itu?''
``Di dalam telaga Zarwan.''
Lalu Rasulullah menemui salah
seorang sahabatnya agar ia pergi meninjau. Setelah kembali sahabat tadi
berkata:
``Wahai Aishah! Demi Allah, air
telaga itu berwarna kemerah-merahan, seolah-olah warna inai. Rupa pohon tamar
itu seperti kepala-kepala syaitan.
Aku (Aishah) bertanya: ``Ya
Rasulullah, kenapa tidak dibunuh sahaja tukang sihir itu?''
Baginda menjawab, ``jangan!
Allah telah menyembuhkan daku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini
ke atas orang lain.'' Lalu baginda menyuruh agar ditanam sahaja bahan-bahan
sihir itu tadi.
Banyak hadis membicarakan
tentang peristiwa sihir yang berlaku ke atas Rasulullah. Bahan yang digunakan
untuk menyihir ialah sikat yang digunakan untuk menyikat rambut dan janggut,
juga rambut yang gugur ketika disikat, juga pelepah tamar. Bahan-bahan tadi
ditanam dalam perigi zarwan, iaitu sebuah perigi kepunyaan kaum Bani Zuraiq.
Dalam riwayat lain disebutkan
bahawa Rasulullah menderita sihir selama enam bulan dan merasakan seolah-olah
dia menggauli isterinya padahal baginda tidak berbuat demikian. Kerana itulah
sesetengah ulama berhujah bahawa sihir tersebut menyebabkan Rasulullah tertahan
daripada bersatu dengan isterinya.
Setelah Jibril memberitahu apa
yang telah dilakukan oleh Labid, baginda pergi ke perigi bersama
sahabat-sahabatnya. Kemudian baginda balik menyuruh Ali dan Ammar datang ke
perigi berkenaan, lalu mereka mengeringkan airnya. Qays telah mengangkat batu
yang menindih bahan-bahan sihir di perut perigi. Sesetengah riwayat menyebut ia
mendapati satu patung yang diperbuat daripada lilin yang dicucuk dengan jarum,
dililit dengan sebelas ikatan.
Allah telah menurunkan surah
al-Mu'awwizataini. Setiap ayat dibacakan maka terhurailah satu ikatan sihir
menimpa, menyebabkan baginda rasulullah berasa lega dan akhirnya berupaya
berdiri, sebebas seperti unta yang terlepas daripada ikatan apabila keseluruhan
ayat-ayat itu habis dibaca.
Menurut keterangan hadis-hadis
lain, bahawa sihir yang dikenakan ke atas nabi ialah sihir ikatan (sihru I'aqd)
yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak berupaya bersatu dengan isterinya.
Rasulullah merasakan beliau telah mendatangi salah seorang daripada isterinya,
padahal baginda tidak berbuat demikian.
Ada pendapat menyatakan bahawa
baginda terkena sihir selama 40 hari, lalu baginda berdoa kepada Allah, lalu
Allah mengutus dua malaikat yang datang duduk berhampiran dengannya, satu
berhampiran kepalanya dan satu lagi berhampiran kedua-dua belah kakinya, lalu
berlaku dialog seperti yang dijelaskan.
Labid telah menyihir nabi
dengan sihir yang kuat, bertujuan untuk membunuhnya, tetapi Allah telah
memeliharanya, menyebabkannya terkena sihir ikatan, yang diistilahkan sebagai
sihru i'aqd atau sihru r'rabt seperti yang dijelaskan.
- Pembaca yang ada kemusykilan
alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia
46M, Jalan Chan Sow Lin
55200 Kuala Lumpur.
Faks: 03-92213752
E-mel: mingguan@utusan.com.my
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4cVrb9Ufn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan