Sabtu, 11 Mac 2017

Johor FC melakar sejarah


 

ARKIB : 17/09/2000
PEMAIN Melaka, Mohd. Ayop Alias (kanan) cuba dihalang oleh Shahrin Majid dari Pahang pada perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras, semalam. Melaka menang 2-1.

JOHOR FC mencipta sejarah apabila mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia, mengiringi Perak dan Melaka sebagai tiga pasukan terakhir layak ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia semalam.

Kelab dari selatan semenanjung itu mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan juara kumpulan C, Sarawak di Stadium Pasir Gudang hasil gol pendahuluan penyerang, Azni Ariffin pada minit ke-27.

Sarawak mendapat gol penyamaan melalui Zulkarnaen Poasa pada minit ke-32.

Sementara itu, di Stadium Perak, gol K. Nanthakumar pada minit ke-45 membawa tuan rumah ke suku akhir sekali gus menyingkirkan Johor dengan kemenangan 1-0.

Dua pesaing Johor FC dalam kumpulan C, Terengganu dan Sabah, masing-masing terpaksa berputih mata selepas hanya mencapai keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Perak menduduki tempat kedua dalam kumpulan B, di belakang Negeri Sembilan yang menewaskan Kedah 3-1 di Stadium Darulaman pada satu lagi perlawanan.

Melaka pula mengejutkan Pahang dengan kemenangan 2-1 di Stadium KLFA, Cheras untuk mengiringi Selangor dari kumpulan A.

Selangor, juara kumpulan A bagaimanapun menyaksikan rekod mereka dirosakkan oleh juara tahun lepas, Brunei yang membuat kejutan dengan kemenangan 3-1 di Bandar Seri Begawan.

Brunei bagaimanapun sudah tersingkir lebih awal dari saingan ke suku akhir.

Naib juara Perdana Satu, Pulau Pinang pula menyingkirkan Kelantan ke tangga kedua kumpulan B apabila menumpaskan Perlis 3-1 di Stadium Bandaraya.

Kelantan yang menduduki tangga teratas kumpulan sejak awal saingan, terpaksa melepaskan kedudukan itu setelah hanya mampu seri dengan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohd. ke-IV, Kota Bharu.

Johor FC akan bertemu juara kumpulan A, Selangor pada suku akhir, Pulau Pinang menentang Perak, Sarawak bertemu Melaka manakala Negeri Sembilan berdepan cabaran juara Perdana Dua, Kelantan pada 23 September ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b17JPGuc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan