ARKIB : 23/09/2002
PEMAIN golf nombor satu negara,
Danny Chia mencipta kejayaan bersejarah dengan menjuarai Kejohanan Golf Acer
Terbuka Taiwan bernilai AS$300,000 (RM1.14 juta) dan sekali gus menjadi pemain
pertama Malaysia memenangi pertandingan dalam Jelajah Davidoff.
Chia, 29, bermain di bawah tiket
undangan penaja mencatat empat bawah par 68 pada pusingan akhir di Sunrise Golf
and Country Club untuk meraih wang kemenangan berjumlah AS$50,000 (RM190,000).
Dia berjaya mengatasi pemain tuan
rumah, Lin Chie-hsiang yang mencatat 66 pukulan dan pendahulu hari ketiga Hsieh
Yu-shu yang mencatat 77 pukulan.
Hsieh telah menjadi pendahulu
dengan kelebihan empat pukulan ketika memasuki hari terakhir tetapi tekanan
untuk memenangi kejohanan pertama dalam Jelajah Davidoff menyebabkan dia
terpaksa melepaskan kedudukan itu setelah mencatat empat bogey pada lima lubang
terakhir.
Chia memulakan hari terakhir
dengan perbezaan tujuh pukulan di belakang pendahulu tetapi mencipta pusingan
terbaik pernah dilakukan sepanjang kerjayanya untuk mencipta kejayaan itu.
Dia tidak melakukan sebarang
bogey tetapi birdie pada lubang keenam, sembilan, 12 dan 18 untuk menamatkan
kejohanan dengan tiga atas par 291.
``Saya biasanya menghadapi
masalah mengekalkan emosi apabila beraksi tetapi saya lebih tenang sekarang.
Jurulatih saya, Kel Lywellyn banyak membantu hayunan saya sejak tiga bulan
lepas dan meluangkan masa berbincang mengenai aspek psikologi dalam permainan
ini.
``Pengalaman bermain dalam Piala
Dunia di Jepun dan Argentina juga banyak membantu. Saya sungguh gembira menjadi
pemain Malaysia pertama memenangi pertandingan dalam Jelajah ini,'' kata Chia
yang pencapaian terbaiknya sebelum ini menduduki tempat keenam di Terbuka
Filipina awal tahun ini.
Chia berharap kejayaan ini
menjadi permulaan untuk dia lebih berjaya.
``Saya berharap lebih banyak
kejayaan akan menyusul,'' katanya.
Hsieh mampu memaksa permainan
diteruskan hingga play-off sekiranya melakukan birdie di lubang terakhir tetapi
sebaliknya dia memperoleh bogey.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4cKuBH1VK©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan