Sabtu, 11 Mac 2017

Kemerdekaan merubah kaum wanita

ARKIB : 12/09/2000
KUALA LUMPUR 11 Sept. - Kemerdekaan negara telah membawa perubahan besar kepada golongan wanita apabila dasar-dasar yang dilaksanakan membantu mereka menembusi pelbagai bidang pekerjaan, kata tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani.

Katanya, sebelum merdeka golongan wanita jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang apabila kebanyakan daripada mereka buta huruf dan sekadar menjadi pembantu dalam keluarga.

''Dasar-dasar kerajaan selepas negara merdeka telah mengubah nasib wanita apabila mereka mendapat peluang bersekolah dan memasuki pusat pengajian tinggi, sama seperti yang diperoleh penuntut lelaki,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Pengertian Kemerdekaan pada Seminar dan Forum Perdana Penghayatan dan Pengukuhan Kemerdekaan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Aishah, pencapaian wanita selepas merdeka jauh lebih menyerlah terutamanya apabila kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi terdiri daripada wanita.

''Kemerdekaan jugalah yang memberi peluang kepada seorang wanita menjadi Gabenor Bank Negara,'' tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar sikap sesetengah generasi sekarang yang tidak menghargai kemerdekaan negara dan bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Golongan tersebut jelas beliau, sangat merbahaya dan merugikan negara kerana mereka menjadi masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.

Bagi menyedarkan golongan tersebut, menurut Aishah beberapa perkara perlu dilakukan termasuk memperkenalkan sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan semasa di bangku sekolah lagi.

Selain itu, para pemimpin juga katanya, perlu jujur dan memperakui sesuatu kebenaran supaya tidak ada pihak yang menganggap sesuatu yang berlaku dalam negara sebagai satu sandiwara.

Dalam perkembangan berkaitan seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Samad Idris berkata, selain perjuangan mencapai kemerdekaan melalui ketenteraan, bangsa Melayu juga melancarkan perjuangan melalui 'mata pena'.

Katanya, Kaum Muda pada masa itu telah menerbitkan majalah Al-Iman pada 1906 dan selepas itu diikuti dengan beberapa majalah serta akhbar seperti Neraca, Warta Malaya, Al-Ikhwan dan Saudara.

Perjuangan mereka ini menurut beliau telah berjaya menaikkan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan di kalangan rakyat pada masa itu.

''Bagi saya perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air sukar dilupakan kerana tempat jauh lagikan dikenang inikan pula tempat mengatur perjuangan yang panjang,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pengalaman dan Pengertian Kemerdekaan.

Oleh: ROSNI HASSAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4b0lFtII4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan