Sabtu, 11 Mac 2017

Jalur Gemilang...menawan Tembok Besar China

ARKIB : 26/10/2000
Berat bendera ialah 1 tan.

Kejayaan para pelajar Kolej Ibrahim Yaacob itu telah dicatat dalam Buku Rekod Malaysia, dan mungkin juga akan dicatatkan dalam Buku Rekod Dunia sebagai bendera terpanjang di dunia.

Menurut Pengarah Projek Beijing 2000, Mohd Khir Al-Amin Abd Latif, projek tersebut adalah bagi menyahut cabaran 'Malaysia Boleh' dan membuktikan kepada masyarakat bahawa mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) sebenarnya mempunyai semangat patriotik yang tidak berbelah bahagi.

Katanya, usaha untuk merentangkan Jalur Gemilang itu menghadapi pelbagai kesukaran.

"Bermula dengan pemeriksaan kastam hinggalah sewaktu membawa Jalur Gemilang ke atas Tembok Besar, kami terpaksa menyembunyikan identiti gulungan kain yang kami bawa,'' ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, bukan senang untuk merentangkan bendera negara asing di atas Tembok Besar China terutama sekali pada tarikh 1 Oktober iaitu serentak dengan Hari Kebangsaan negara China.

Namun begitu katanya, semangat waja 43 peserta projek itu untuk membuktikan bahawa Malaysia mampu mencipta satu lagi kejayaan di luar dugaan itu menjadi pendorong untuk meneruskan cita-cita mereka walaupun menghadapi pelbagai halangan.

Ujarnya, gulungan kain seberat satu tan yang dipotong kepada lima bahagian itu terpaksa dipikul menaiki tembok.

Jalur Gemilang kemudian dijahit tangan untuk menyambungkannya.

Akhirnya Tembok Besar yang menjadi kebanggaan rakyat China berjaya ditawan oleh Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Keseluruhan Jalur Gemilang berjaya direntangkan tepat sepuluh pagi (waktu tempatan) dan segala kepenatan hampir setahun hilang sekelip mata.

"Apa yang menarik ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Tun Hussein turut sama bertungkus-lumus merentangkan bendera itu,'' jelasnya.

Ujarnya, Penyelaras Pengajian Bahasa Melayu di Beijing Foreign Language Studies (BFLS), Profesor Wu semasa interaksi bersama Kedutaan Besar Malaysia di China menganggap apa yang mereka lakukan berjaya mencatatkan satu lagi kejayaan dalam sejarah peradaban manusia.

Menyentuh tentang perbelanjaan bagi menyiapkan Jalur Gemilang itu, Mohd. Khir berkata, kos bagi menyiapkan bendera tersebut ialah RM20,000 dan masa yang diambil bagi menyiapkannya ialah empat bulan dengan menggunakan tenaga hampir 900 pelajar.

Ujarnya, kain kapas bermutu tinggi yang digunakan adalah penajaan daripada syarikat Hualon Corporation (M) Sdn. Bhd. dan warnanya pula adalah tajaan CSC Corporation Sdn. Bhd.

Antara penaja-penaja lain yang terlibat ialah Rakan Muda, Kerajaan Negeri Sembilan, SP Setia Berhad Group, UKM 30 Tahun, Kuok Brothers Sdn. Bhd., Sri Tenaga Corporation Sdn. Bhd., Ong Printing Sdn. Bhd., Kerajaan Negeri Selangor, Yayasan Melaka dan Sapura Holding.

Pakaian ditaja oleh Adidas manakala penerbangan rasmi ialah Penerbangan Malaysia (MAS) dengan kerjasama Triways Holidays (M) Sdn. Bhd.

Tambahnya, Projek Beijing 2000 itu juga merupakan projek rasmi sempena sambutan UKM 30 Tahun.

Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk menjayakan projek tersebut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4b5hUdcma © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan