ARKIB : 31/08/2002
Oleh AZMAN ISMAIL
(Petikan kertas kerja Seminar
Sejarah Isu-Isu dalam Nasionalisme Dan Revolusi di Malaysia dan Indonesia yang
dibentangkan di USM, Pulau Pinang, baru-baru ini)
TIDAK banyak tulisan para sarjana
yan melihat sumbangan besar kesusasteraan Melayu dalam gerakan kemerdekaan.
Atau, peranan sastera membangkitkan semangat nasionalisme Melayu menentang
kolonialisme Inggeris.
Sejak munculnya para intelektual
Melayu berpendidikan agama Timur Tengah dan begitu kuat dipengaruhi oleh
gerakan reformis Islam yang dicetuskan oleh Jamaluddin Al-Afghan dan Muhammad
Abduh, bidang penulisan seperti sinonim dengan gerakan nasionalisme ini.
Para lulusan Timur Tengah seperti
Syed Sheikh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan sebagainya menggunakan bidang
penulisan dan karya kreatif dalam menyatakan idealisme mereka untuk
memperkasakan Islam. Sekaligus, membebaskannya dari fahaman kolot dalam Islam.
Kesinambungan bidang sastera
dalam memperjuangkan semangat nasionalisme Melayu lebih `terorganisasi' dengan
penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) pada 1920.
Bibit nasionalisme dan cita-cita
kemerdekaan berkembang kukuh dalam jiwa pelajar SITC. Hal ini bertambah menarik
dengan hubungan baik dengan tokoh-tokoh nasionalis Indonesia secara langsung
mahupun melalui karya sastera.
Sejak penubuhannya, di SITC
khususnya dekad 1930-an muncul tulisan berbentuk sastera dan bukan sastera oleh
sasterawan dan nasionalis Indonesia seperti Soekarno, Mohd. Hatta, Sanusi Pane,
Rustam Afendi, Chairil Anwar, Utuy Tatang Sontany dan Asmara Hadi.
Karya-karya sastera dalam
pelbagai genre ini dimuatkan dalam beberapa majalah Indonesia seperti Jong
Sumatera, Pedoman Masjarakat, Pandji Pustaka dan Pudjangga Baru dan lain-lain.
Suatu hal yang sangat menonjol
ialah komunikasi yang erat antara pelajar dan tenaga pengajar di SITC dengan
tokoh-tokoh Parti Komunis Indonesia (PKI) yang melarikan diri ke Tanah Melayu
dan Singapura setelah kegagalan pemberontakan bersenjata parti itu terhadap
Belanda pada 1925 hingga 1927.
Antara tokoh-tokoh yang mempunyai
hubungan erat dengan pelajar SITC ialah Jamaluddin Tamin, Nata Zainuddin,
Alimin, Tan Malaka dan Muchtar Lutfi. Ini diikuti dengan kedatangan Kasim Bakri
ke Singapura pada 1929 untuk meneruskan perjuangan luar negara Indonesia
setelah Soekarno dan Mohd. Hatta dibuang ke Bangka oleh Belanda.
Melalui perkembangan karya-karya
sastera, tulisan politik dan komunikasi langsung dengan tokoh nasionalisme
Indonesia adalah faktor penting kepada perkembangan nasionalisme moden dan
gerakan kemerdekaan di SITC.
Antaranya ia menjadi salah satu
asas kepada penubuhan Ikatan Pemuda Pelajar (IPP) dan Ikatan Semenanjung Borneo
(ISB) yang dipimpin oleh Abdul Hadi Hassan, Ibrahim Yaakob, Hassan Manan,
Mohamad Is Mahmud dan lain-lain.
Objektif utama penubuhan
organisasi pelajar ini ialah melahirkan sebuah negara kesatuan Tanah
Melayu-Indonesia atau Melayu Raya (juga dikenali sebagai Indonesia Raya). Ia
kemudiannya menjadi asas kepada penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang
dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Onan Siraj pada 1936.
Kegagalan KMM membawa Tanah
Melayu merdeka bersama Indonesia kerana Perang Dunia dan konflik politik dalam
negeri Indonesia membawa suasana baru dalam perkembangan politik dan bidang
kesusasteraan di Tanah Melayu selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Pada era Perang Dunia Kedua
(1942-45) dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu, bidang kesusasteraan menjadi
sarana propaganda utama untuk mengukuhkan kedudukan Jepun serta untuk
mendapatkan sokongan orang Melayu.
Setelah berakhirnya Perang Dunia
Kedua, Inggeris kembali menjejakkan kakinya di Tanah Melayu dengan perlaksanaan
Malayan Union (1946-1948) yang merugikan orang Melayu dari segi ekonomi,
politik dan sosial.
Dekad inilah bidang sastera
dianggap berada dikemuncaknya. Pelbagai genre sastera terutamanya puisi
meningkat dengan mendadak di akhbar dan majalah Melayu yang diterbitkan bagi
menyatakan penentangan terhadap gagasan tersebut.
Penerbitan yang terkenal waktu
itu ialah Utusan Melayu, Kenchana, Majlis dan Mastika. Namun, bidang puisi
lebih mendapat tempat kerana faktor ruangan dan `ringkasnya' dalam menyuarakan
semangat Melayu.
Hasilnya, muncul puisi-puisi
patriotik yang ditulis oleh para sasterawan, wartawan, guru-guru Melayu, ahli
politik dan para pembaca termasuk dari Sumatera serta Jawa yang bersimpati
dengan nasib orang-orang Melayu.
Tempoh tiga tahun pengenalan
Malayan Union memperlihatkan fenomena menarik dalam bidang puisi. Peningkatan
mendadak dari segi penghasilan karya memperlihatkan kesedaran orang Melayu
tentang perlunya Malayan Union dihapuskan.
Tema-tema yang sering
diketengahkan ialah seruan menyokong penubuhan UMNO dan parti politik Melayu
seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), kesedaran tentang negara
bangsa dan kedamaian Tanah Melayu tanpa kolonialisme.
Memang sulit dibuktikan
sejauhmana kejayaan puisi dan sastera dalam menggagalkan rancangan Inggeris
melaksanakan Malayan Union serta mengukuhkan kekuasaan mereka di Tanah Melayu
selepas Perang Dunia Kedua.
Tetapi secara fizikalnya,
pertambahan jumlah puisi dan karya-karya sastera lain yang diterbitkan oleh
akhbar Melayu waktu itu, setidak-tidaknya memberi gambaran bahawa ia adalah
satu gerakan mental yang berjaya.
Akhirnya Malayan Union terpaksa
dibubarkan akibat tentangan orang Melayu pada 1948. Ia digantikan Persekutuan
Tanah Melayu yang masih terlihat beberapa aspek dari perlembagaan Malayan Union.
Berakhirnya Malayan Union
membangkitkan semangat orang Melayu. Maka, munculnya penulis seperti Keris Mas,
Usman Awang, Mahsuri S.N, Awam-il-Serkam dan sebagainya.
Pengisian idealisme ini diterajui
Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang memberi sumbangan besar kepada bidang
keilmuan, cita-cita politik, kebahasaan dan kemurnian budaya Melayu yang
berasaskan Islam.
Tanggal 31 Ogos 1957 adalah detik
bersejarah dalam perjalanan panjang negara. Sama seperti bidang politik, bidang
kesusasteraan turut memainkan peranan aktif mengisi kemerdekaan dengan cetusan
mental dalam membentuk jiwa bangsa yang seutuhnya. Maka, merdekalah negara -
menjadi negara Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm#ixzz4cGQToh3t
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan