Jumaat, 31 Mac 2017

Ismail - Hapus komunis bunuh bapanya



ARKIB : 26/04/2003

Oleh HAMDEN RAMLI
 
ISMAIL bersedia untuk menerbangkan pesawat Tebuan.

BIAR seribu tahun berlalu, tanggal 21 Julai 1971 akan terus dikenang oleh Kolonel Ismail Ibrahim sebagai titik hitam dalam sejarah hidupnya.

Pada hari itu, beliau berpisah buat selama-lamanya dengan ayah yang disayangi, Ibrahim Saad.

Masih segar dalam ingatannya bagaimana jenazah arwah ayahnya ketika dimandikan di surau kem Batalion Keempat, Pasukan Polis Hutan (PPH), Sungai Petani Kedah.

Apa yang lebih membuatkan Ismail mengingati tarikh itu adalah kerana kematian ayahnya itu berlaku dengan penuh tragis.

Ayah Ismail, yang merupakan seorang anggota PPH berpangkat Sarjan terbunuh selepas ditembak pengganas komunis dalam satu kejadian serang hendap ke atas Balai Polis Padang Terap.

Selain Allahyarham Ibrahim, serangan hendap pengganas komunis itu juga menyebabkan lima lagi anggota PPH terbunuh.

Mengimbas kembali detik hitam itu, Ismail yang kini merupakan Pegawai Memerintah Pangkalan Udara Kuantan berkata, kejadian tersebut berlaku ketika beliau di Tingkatan Tiga.

``Saya dalam perjalanan balik dari sekolah apabila diberitahu mengenai kejadian yang menimpa ayah saya.

``Saya sempat melihat jenazah dan jelas kelihatan kecederaan dan tompokan darah akibat peluru yang menembusi beberapa bahagian badan,'' katanya.

Peristiwa tersebut memberi kesan besar kepada dirinya.

Selain kehilangan ayah, peristiwa tersebut menjadi pendorong kepadanya untuk menjadi seorang anggota tentera dengan harapan untuk menghapuskan komunis.

Ismail tidak mengambil masa lama untuk meneruskan azamnya menjadi seorang anggota tentera sekali gus mengetepikan cita-cita awal untuk menjadi seorang doktor.

Setahun selepas kematian ayahnya, beliau memulakan pengajian di Maktab Tentera Diraja (MTD).

Selepas menamatkan pengajian di cawangan Putra MTD, Ismail memilih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan ditauliahkan pada Oktober 1974.

Beliau kemudiannya mengikuti latihan juruterbang di Pusat Latihan Terbang 1, Alor Star selama sembilan bulan.

Pada akhir 1975, beliau terpilih mengikuti latihan juruterbang pesawat pejuang selama setahun di 9 Skuadron, TUDM Kuantan.

Selepas menamatkan latihan, beliau ditempatkan di 6 Skuadron yang juga terletak di TUDM Kuantan sebagai juruterbang pesawat pejuang CL-41G atau lebih dikenali sebagai Tebuan sehingga tahun 1986.

Sepanjang 10 tahun menjadi juruterbang pesawat pejuang Tebuan, Ismail terlibat dalam operasi menggempur sasaran pengganas komunis.

``Meskipun sedar serangan dari udara bukanlah satu serangan yang berkesan menghapuskan pengganas komunis, saya tetap berpuas hati kerana telah melakukan sesuatu untuk negara,'' katanya yang kini masih mengikuti latihan menerbangkan pesawat MIG-29N.

Ismail menambah, kepuasan itu semakin bertambah apabila melihat pengganas komunis menyerah senjata pada tahun 1989.

Beliau berkata, bagi mengenang pemergian ayahnya, beliau sempat mengarang sebuah sajak yang ditujukan khas buat arwah ayahnya, bertajuk Dendam Seorang Anak.

Menurut Ismail, ketika menjadi juruterbang pesawat Tebuan, beliau turut berpeluang mengikuti kursus jurulatih di 9 Skuadron.

Pada tahun 1985, beliau ditukarkan ke Institut Latihan Bakal Jurulatih (ILIT) di Alor Star sebagai tenaga pengajar bagi melatih jurulatih juruterbang.

Ismail kemudiannya mengikuti kursus di Maktab Turus Angkatan Tentera pada tahun 1989. Selepas itu, beliau ditugaskan di bahagian Inspektorat TUDM sebagai pegawai staf penyiasat kemalangan.

Pada tahun 1991, beliau melanjutkan pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang strategi.

Sekembali dari UKM, beliau ditempatkan di Bahagian Perancangan dan Pembangunan TUDM sehingga 2001 sebelum ditugaskan ke Kuantan sebagai Pegawai Memerintah Pangkalan Udara Kuantan sehingga hari ini.

Ketika di Bahagian Perancangan dan Pembangunan TUDM, beliau sempat melanjutkan pendidikan di peringkat Sarjana Hubungan Antarabangsa di United Kingdom.

Menceritakan keistimewaan pesawat Tebuan, beliau selaku antara 20 juruterbang pertama pesawat itu berkata, sebagai pesawat serangan udara ke darat pertama, Tebuan mempunyai banyak kelebihan.

Dengan kelajuan sehingga 240 knot dan mempunyai keupayaan membawa bahan letupan yang mencukupi serta pergerakan lincah, ia amat sesuai untuk menyerang sasaran di bumi,

Cabaran juga cukup tinggi. Ini termasuklah terdedah kepada serangan balas musuh yang dilengkapi pelancar roket SE7.

Bagaimanapun, sama seperti kerjaya lain, adakalanya Ismail akan dihimpit pengalaman cemas dan sedih.

Paling sedih kehilangan tiga rakan yang juga merupakan juruterbang pesawat pejuang Tebuan.

Mengenai usahanya belajar semula menerbangkan pesawat MIG-29N beliau berkata, ia dilakukan atas inisiatif sendiri dan galakan daripada oleh Panglima 1 Divisyen Udara.

Katanya, langkah itu penting bagi membolehkannya memahami segala masalah dan keperluan anggota bawahan khususnya melibatkan pesawat MIG-29N.

``Apa yang saya lakukan adalah untuk mengetahui mengenai teknikal, prosedur-prosedur penting dan menerbangkan pesawat. Bukan sehingga ke tahap taktikal,'' katanya yang kini masih berada pada tahap akademik dan dijangka menerbangkan pesawat itu bulan depan.

``Sebagai komandan, memahani tugas dan bagaimana anak buah bertugas amat penting supaya apabila mereka menceritakan sesuatu sama ada melibatkan perkara baik atau tidak baik, kita akan cepat faham,'' katanya.

Ismail berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk belajar dan diajar oleh pegawai yang lebih muda dan lebih rendah dari segi pangkat.

``Saya tidak ada masalah menjadi pengikut walau dalam keadaan hari ini, malah itu adalah etika yang selalu dipegang oleh juru terbang.

``Kalau dia bagus, cekap, pengalaman banyak dan dipercayai skuad, dia wajar menjadi ketua pasukan itu,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4ctz5KuH2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan