Sabtu, 18 Mac 2017

Patriotisme dalam generasi pascamerdeka

ARKIB : 23/08/2001
Oleh: MAZRI MUHAMMAD
PADA tiap-tiap 31 Ogos setiap tahun semenjak 1957 rakyat Malaysia tanpa gagal meraikan sambutan tercapainya kemerdekaan negara. Setelah empat puluh empat kali kita meraikannya ternampak ia telah berubah menjadi satu acara keraiaan yang biasa kita lakukan saban tahun secara automatik pada tarikh tersebut tanpa wujud sebarang keghairahan lagi terhadapnya.

Setiap tahun pada tarikh tersebut kita akan mengadakan acara dengan menu yang lebih kurang sama isinya walaupun mungkin berbeza variasi.

Mungkinkah signifikan hari keramat negara ini sudah pudar kepada rakyat Malaysia sebagaimana pudarnya patriotisme kita?

Tidak dinafikan jika kita melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kali kita mungkin akan menjadi bertambah cekap di dalam melakukannya tetapi mungkin keghairahan kita terhadap perkara tersebut akan semakin pudar dan menurun.

Berlatarbelakangkan hakikat ini di samping dengan pertumbuhan rancak ekonomi negara sebelum kita dijangkiti krisis ekonomi Asia pada pertengahan tahun 1997 yang telah melahirkan kemakmuran dan kemewahan mungkinkah kita telah alpa atau mengambil mudah tentang kesuburan semangat patriotisme kita ini.

Lebih empat dekad yang lalu para patriot negara yang dipimpin oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah menjadi bidan kepada kelahiran Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Sebelum Perang Dunia Kedua tiada entiti bersatu yang dinamakan Malaya, yang wujud adalah sebelas buah negeri dengan corak pemerintahan mereka masing-masing iaitu Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Selepas perang, Britian telah cuba memperkenalkan Malayan Union yang cuba mengukuhkan penjajahan Britian. Ia telah mendapat tentangan hebat orang Melayu. Orang Melayu yang sebelum ini tidak pernah bersatu secara kebangsaan telah pun bersatu di bawah UMNO. Hasil perpaduan orang Melayu ini maka Malayan Union telah digantikan dengan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Apabila Almarhum Tunku mengambil alih kepemimpinan UMNO daripada Datuk Onn pada tahun 1951 beliau bersama timbalannya Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengadakan kerjasama dengan parti orang Cina MCA dan parti orang India MIC dengan penubuhan Parti Perikatan.

Pada tahun 1955 apabila pilihan raya pertama diadakan bagi memilih majoriti ahli Majlis Perundangan Persekutuan, Perikatan telah berjaya memenangi 51 dari 52 kerusi. Britian yang mengadakan pilihan raya ini dalam rangka kempen memenangi hati dan fikiran rakyat bagi menghadapi pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dihadapi sejak tahun 1948 telah tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk melambat atau menafikan kemerdekaan kepada Malaya.

Generasi Tunku dan Tun Razak merupakan generasi pramerdeka yang meneraju negara kita semenjak merdeka. Ini dapat dilihat apabila kesemua kepemimpinan negara setakat ini lahir dari generasi ini. Almarhum Tunku dilahirkan pada tahun 1903, Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1922, Allahyarham Tun Hussein pada tahun 1922 manakala Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad lahir pada tahun 1925.

Keempat-empat pemimpin negara ini merupakan mereka yang pernah merasai keperitan hidup di bawah penjajahan asing dan keperitan memperjuangkan kemerdekaan begitu juga dengan generasi mereka.

Hari ini generasi pramerdeka sedang diganti generasi pascamerdeka di dalam semua sektor kehidupan. Satu kesan dari proses tersebut ialah kepekaan terhadap keperitan hidup terjajah dan perjuangan mencapai kemerdekaan serta penghargaan terhadapnya semakin menurun.

Untuk melihat bagaimana fenomena ini berlangsung mari kita lihat contoh di dalam sektor awam yang umur bersaranya 56 tahun. Pada tahun 2001 ini misalnya kakitangan awam yang dilahirkan pada tahun 1946 dan memilih untuk tidak melanjutkan perkhidmatan mereka selama setahun lagi akan mencapai umur persaraan wajib lalu menamatkan perkhidmatan mereka.

Kenapakah fakta ini signifikan? Jawapannya adalah kerana pertama ia menandakan permulaan persaraan generasi pascaperang dunia kedua dari arena kepemimpinaan sektor awam. Mereka merupakan generasi terakhir yang pernah merasai berada di bawah penjajahan asing walaupun mereka tidak ikut menentangnya kerana masih anak-anak.

Kedua, kerana generasi pasca merdeka pada masa hadapan adalah mereka yang akan mempunyai tasawur yang berbeza dengan generasi pramerdeka. Mereka tidak lagi terhimbau dengan perjuangan mencapai kemerdekaan dari kolonialisasi asing.

Sudah tentu seseorang yang tidak pernah menyayikan lagu kebangsaan Great Britain, God Save the Queen dan berdiri tegak di hadapan bendera Union Jack akan merasa kurang terhimbau terhadap bahaya penjajahan kerana mereka tidak pernah merasainya.

Pengetahuan yang mereka peroleh adalah dari sekolah, buku-buku atau dengan mendengar cerita orang tua bukannya secara lansung. Hakikatnya mereka yang dilahirkan pada tahun 1951 tidak pernah menyanyikan lagu kebangsaan Inggeris atau memberi hormat kepada bendera Inggeris di sekolah kerana mereka memasuki tahun satu pada tahun 1958 selepas negara sudah merdeka.

Hari ini mereka sedang memegang jawatan kanan di dalam perkhidmatan awam termasuklah di dalam dunia akademik. Pada tahun 2013/2014 kelak jika tidak ada lagi peningkatan terhadap umur persaraan maka kumpulan pertama generasi kelahiran pascamerdeka akan mula bersara dari perkhidmatan awam.

Ia menandakan tidak ada lagi pelaksana dasar dan kemungkinan pembuat dasar yang terdiri dari generasi pramerdeka.

Adakah pada waktu itu rakyat Malaysia sudah tidak hiraukan lagi keperluan kepada menyuburkan semangat kemerdekaan mereka jika arah aliran yang berlaku hari ini berterusan tanpa usaha pembaikan.

Oleh itu amat penting diambang kita meraikan hari keramat ini untuk kali ke-44 kita memikirkan kaedah baru bagi menyemarakkan semangat patriotisme generasi pasca merdeka ini.

Kemungkinan cara melahirkan penghayatan patriotisme yang terdahulu tidak lagi dapat menghimbau patriotisme generasi pascamerdeka kerana generasi ini tidak tersentuh oleh faktor-faktor yang sama dengan generasi terdahulu.

Kita perlu merenung semula apakah signifikan hari kemerdekaan ini kepada kita dan negara serta kenapakah para patriot negara terdahulu sanggup mengorbankan jiwa raga, harta benda dan keselesaan hidup mereka bagi mencapai, mengisi dan memelihara kemerdekaan tersebut.

Kenapakah Tunku dan Tun Abdul Razak - kedua-duanya golongan bangsawan dan lulusan profesional - sanggup terjun ke kancah perjuangan politik yang mendedahkan mereka kepada bermacam-macam risiko. Mereka boleh hidup senang dan aman jika mereka tidak berjuang menentang Britian untuk kemerdekaan.

Kenapakah pula patriot negara yang memakai uniform pasukan keselamatan negara sanggup mengorbankan nyawa mereka menentang pemberontakan PKM dan lain-lain musuh negara dahulu. Mereka sanggup meninggalkan isteri mereka menjadi balu dan anak-anak mereka menjadi yatim. Adakah semata-mata kerana gaji tidak seberapa yang diterima?

Jawapannya ialah kerana cinta dan kasihnya mereka kepada tanah air; demi kerananya mereka sanggup berkorban apa sahaja dan tidak mengharapkan balasan kebendaan mahupun pengiktirafan sesiapa.

Tunku dan Tun Abdul Razak tidak meninggalkan harta benda dengan banyak kepada waris mereka berbanding jika mereka mengamalkan profesion undang-undang. Malah Tunku semasa berjuang mencapai kemerdekaan telah membelanjakan harta benda peribadinya pula untuk perjuangan manakala Tun Abdul Razak semasa kembali ke rahmatullah tidak mempunyai kediaman peribadi kecuali rumah rasminya Seri Taman. Patriotisme mereka ini perlu dicontohi, disemai dan disuburkan di dalam setiap dada putera-puteri merdeka.

Mungkin sudah tiba masanya kita lebih serius di dalam menanamkan semangat patriotisme kepada generasi muda. Dalam kehidupan kita bernegara tidak ada dokumen yang lebih penting daripada Perlembagaan Persekutuan kerana berasaskan kerangka yang terhasil dari perkara dan fasal di dalamnya negara ini telah terbentuk, berjalan dan berkembang. Ia merupakan satu dokumen yang menggariskan tanggungjawab dan hak negara serta rakyat malahan ia merupakan manifestasi kontrak sosial rakyat majmuk Malaysia.

Kegagalan memahami dan menghayati perlembagaan serta falsafah, semangat dan tolak ansur dibelakang penggubalannya telah menyebabkan masalah kepada negara seperti kewujudan ketegangan di dalam perhubungan kaum di Malaysia dan wujudnya cubaan untuk menggantikan perlembagaan yang sedia ada kepada satu perlembagaan yang bersifat teokratik. Kedua- dua gejala ini jika tidak dibanteras boleh membawa kepada kehancuran negara Malaysia yang tercinta.

Oleh itu cadangan supaya perlembagaan diajar di peringkat sekolah merupakan idea yang sepatutnya diterokai dan dikaji. Bagaimanapun tidak perlulah pengajaran perlembagaan di peringkat sekolah dijalankan seteliti seperti pengajian kursus undang-undang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz4bjbFhtLX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan