Sabtu, 4 Mac 2017

Malaysia Hall wajar dikekalkan

ARKIB : 02/07/2000
ISU politik dan ekonomi biasa yang melanda negara, kecuali berita bertaraf dunia, jarang menjadi sesuatu yang polemik dan hangat dibincangkan oleh masyarakat Malaysia di London. Kalau adapun hanyalah isu-isu tertentu di mana percikan butirannya sengaja diperpanjangkan oleh mereka yang tiba di London sehingga menarik minat golongan tertentu. Itu pun masih tidak menyeluruh.

Kalau pelajar, mereka lebih meminati isu ekonomi dan bagi mereka yang terlibat dengan kelab-kelab politik parti-parti tertentu, isu politik menjadi fokus perbahasan mereka.

Bagi orang Melayu yang telah lama menetap di negara penjajah itu, isu politik dan ekonomi tidak menarik minat mereka kecuali berita-berita yang menggemparkan dan bertaraf dunia. Mereka mungkin bercakap atau bersembang juga tetapi bukan agenda utama atau menjadi fokus perbincangan.

Bagaimanapun, satu kelainan terasa apabila penulis singgah di London selama beberapa hari minggu lalu sekembali dari menghadiri Persidangan Editor Sedunia di Rio de Janeiro, Brazil.

Apa yang boleh dirumuskan ialah isu Malaysia Hall yang akan tamat tempoh pajakannya pada September 2001 menjadi perbualan hangat pelajar, rakyat Malaysia yang baru tiba di London dan juga orang Melayu yang lama bermastautin di negara itu.

Ringkasnya, terasa wujud penyatuan pendapat, suara dan rasa hati yang bimbang terhadap kemungkinan Malaysia Hall yang terletak di Bryanston Square, hanya sejauh suara pekikan dari Marble Arch dan Hyde Park akan hilang dari menjadi tempat tumpuan, perjumpaan dan penginapan pelajar dan orang-orang Melayu yang baru tiba kalau kerajaan tidak menampilkan kesungguhan untuk memperbaharui pajakan.

Paling merisaukan ialah golongan pelajar kerana Malaysia Hall bukan hanya menyediakan tempat penginapan yang murah untuk mereka tetapi juga kantin yang dikendalikan oleh Tok Din menghidangkan makanan selera Malaysia dengan harga paling murah di London iaitu £2.50 seorang.

Seluruh perbualan warga Malaysia menjurus ke arah menzahirkan rasa sedih berbaur marah kerana sehingga kini kerajaan didakwa tidak menunjukkan minat walaupun tuan punya bangunan telah bersetuju menyambung selama 14 tahun lagi.

Datuk Yunus Raiss, orang Melayu yang telah 40 tahun menetap di England dan pemilik Sels College di Long Acre, Covent Garden, London bertungkus-lumus selama 10 bulan dengan bantuan rakan-rakan peguam hartanah dan pakar penilaian harta untuk mendapat persetujuan pemilik bangunan Malaysia Hall.

Hasilnya, pemilik bukan hanya bersetuju menyambung pajakan selama 14 tahun, terdapat tanda-tanda untuk menimbang lanjutan pajakan kepada 25 tahun lagi.

Maka ketidaksungguhan Malaysia menyambut kesediaan pemilik bangunan Malaysia Hall menjadi tanda tanya dan amat mengecewakan pelajar dan orang Melayu London.

Inilah punca polemik dan inilah juga topik perbincangan penuh emosi hingga ada setengahnya yang menzahirkan rasa marah sanggup menyelitkan unsur-unsur tuduhan yang mereka percaya dan rasa wajar.

Bagaimanapun, semua rasa hati dan cemuhan perasaan ini adalah cerminan dan manifestasi rasa sayang kerana Malaysia Hall bukan sebuah bangunan biasa tetapi menyembunyikan banyak sejarah hati dan perasaan, sedih dan kegembiraan, cinta dan penderitaan sama ada pelajar dahulu atau sekarang dan pemimpin dahulu atau sekarang.

Sentuhan rasa ini bukan hanya tertanam di hati mereka, tetapi juga sebahagian pemimpin dan bekas pemimpin negara yang pernah belajar di negara penjajah itu.

Kedudukan Malaysia Hall amat strategik dan memberi banyak kemudahan kepada pelajar dan rakyat Malaysia yang baru tiba di London.

Ia dikelilingi oleh beberapa buah restoran Melayu milik rakyat Malaysia dan memberi banyak kemudahan untuk bertukar selera dan peluang berkenalan. Restoran Selasih milik Ani dan Ad di Seymour Place di kirinya dan Restoran Mawar masih ada di belakangnya iaitu simpang Edgeware Road menghala ke Paddington.

Mara House di Spring Street, Paddington yang pernah menempatkan ratusan pelajar Mara termasuk putera-puteri popular seperti Sharifah dari Kuching, Sarawak, Kathy dari Tangkak, Johor, Leman dari Sarawak dan Ida dari Kedai Lalat, Kelantan dengan Naha Cafe pula di bawahnya, tempat makanan popular selera Malaysia dan Kedah akan dibuka semula tidak lama lagi. Ia hanya 10 minit berjalan kaki dari Malaysia Hall dan Satay House yang sememangnya sudah terkenal juga terletak di kawasan berdekatan.

Semua ini menjadi faktor tambahan kenapa Malaysia Hall wajar dikekalkan selain pelajar dan bekas pelajar, orang Melayu London dan rakyat Malaysia yang melancong ke London begitu senang dengan Malaysia Hall.

Bangunan itu bukan hanya menyimpan banyak khazanah hati mereka yang pernah mengunjungi dan belajar di England malah menjadi centre point bagi individu yang tidak pernah kenal untuk bertemu, berkenalan dan memberi salam kerana di sekelilingnya juga terdapat apartmen milik rakyat negara ini seperti rumah milik Kumpulan The New Straits Times di kirinya dan apartmen Kumpulan Utusan pula di kawasan berdekatan iaitu Maida Valle, Edgeware Road.

Ringkasnya, pelajar dan rakyat Malaysia di London mahu kerajaan menyambung pajakan tetapi persoalan yang mereka polemikkan ialah: Adakah kerajaan akan menyambungnya?

Lantaran itu, maka terdengar lagu puisi cerminan rasa hati yang pilu disiul dan dinyanyi oleh anak-anak orang Melayu London sambil memetik gitar:

''Kalau nak lihat, lihatlah sekarang, tidak lama tiada lagi;

Kalau nak duduk, duduklah sekarang, tak lama tidak berpeluang lagi;

Kalau nak datang, datanglah sekarang, tak lama, Malaysia Hall bukan milik kita lagi.''

Kesungguhan rakyat Malaysia mahu mengekalkan Malaysia Hall memberi semangat kepada Datuk Yunus Raiss berusaha memujuk Kerajaan Malaysia menyambung pajakannya.

Dalam surat edarannya untuk diambil baca oleh semua pengunjung yang diletakkan di kantin Malaysia Hall seminggu selepas persoalan pajakan dikemukakan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Abdul Aziz Shamsuddin yang menemui pelajar di Malaysia Hall pada 9 Jun (ketika itu penulis singgah di London dalam perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil), beliau antara lain menyebut:

''Saya telah menulis surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Menteri Pendidikan ketika itu tetapi memandang jawapannya terlalu lama ditunggu saya membawa perkara itu ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa melawat Malaysia Hall Januari lalu.''

Menurutnya, Perdana Menteri setuju Malaysia Hall kekal di tempat yang sama sekiranya pajakan boleh disambung dan Pesuruhjaya Tinggi, Datuk Amir Jaafar diminta menjemputnya (Datuk Yunus) dalam rundingan kerana kemampuannya menyediakan fakta undang-undang dan penilaian yang memihak kepada Malaysia.''

Persoalannya, Perdana Menteri telah bersetuju mengekalkan Malaysia Hall di tempatnya sekarang dan tuan punya bangunan juga bersetuju menyambung pajakan 14 tahun lagi dan kemungkinannya diteruskan sehingga 25 tahun, kenapakah tiada usaha merealisasikannya sedangkan masa terlalu suntuk dan hanya ada sehingga September 2001 sahaja.

Semua orang tahu pemilikan harta bertaraf kekal adalah pelaburan yang lebih baik tetapi tidak ada hartanah di mana pun di London yang setanding kawasan Malaysia Hall di Bryanston Square.

Ia bukan hanya kerana lokasinya yang strategik dan mudah dikunjungi tetapi nilai sejarah yang ada pada bangunan itu sejak sebelum merdeka tahun 1957 yang terlekat pada hati orang Melayu dan pelajar.

Sekiranya Malaysia melabur £10 juta untuk membeli hartanah bertaraf pemilikan kekal, ramai merasakan kerajaan boleh mendapat jumlah pulangan yang sama dari Malaysia Hall sekiranya membuat sedikit pelaburan untuk membaik pulih bangunan dan bilik, dan mengenakan sewa bilik yang setimpal dengan status dan taraf kawasan Bryanston Square.

Walaupun sewa bilik sekarang amat murah, 15.28 pound sehari kerana ia diasaskan kepada perkhidmatan dan bukan keuntungan dan dibayar secara harian, kadarnya boleh dinaikkan lagi. Taraf dan mutu bilik tidur juga mesti ditingkatkan, tandas dan tempat mandi tidak dipisahkan seperti sekarang kerana di waktu pagi, mereka yang menginap di Malaysia Hall akan terasa seperti hidup di zaman filem Bujang Lapok.

Kelengkapan di Malaysia Hall juga perlu dipulihkan seperti dahulu. Bilik muzik dan perpustakaan perlu diadakan semula untuk kemudahan pelajar selain ruang bersembahyang berjemaah dan Jumaat yang masih terpelihara dengan rapi hingga sekarang.

Memandang populariti Malaysia Hall melebihi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi di Berkeley Square yang juga tidak jauh dari Harrods di Knightsbridge, penulis merasakan bagi melengkapkan imej berkhidmat untuk rakyat, pejabat imigresen juga wajar dipindahkan ke Malaysia Hall kerana ia menjadi tumpuan seluruh warga Malaysia di England.

Ringkasnya, Malaysia Hall wajar dikekalkan di tempatnya sekarang di Bryanston Square sebagaimana yang didakwa telah dipersetujui oleh Perdana Menteri.

Terlalu banyak alasan daripada kemudahan hingga kepada perasaan hati yang boleh diberikan untuk mengekalkan Malaysia Hall tetapi jarang yang ingat bahawa Malaysia Hall ialah Little Malaysia in Great Britain.

Oleh: ABDULLAH HASSAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4aNu3oGGM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan