ARKIB : 18/02/2001
MR. UNIVERSE, Sazali Abdul Samad
(kiri) menunjukkan trofi Atlet Terbaik Bina Badan Asia Abad ke-20 kepada
isterinya, Hashrine Hashim selepas menerimanya dalam satu majlis khas di Kuala
Lumpur, semalam. - Gambar YUSMAN YUNUS.
SAZALI Abdul Samad sekali lagi
mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai Atlet Bina Badan Terbaik
Asia Abad ke-20 pada majlis anugerah di Kuala Lumpur, semalam.
Sazali, 34, menewaskan sembilan
lagi calon Asia untuk merangkul anugerah itu yang julung kali diadakan termasuk
pencabar terdekat, Le Duc dari Vietnam dan atlet Korea Selatan, Han Dong Ki.
Setiausaha Agung Persekutuan Bina
Badan Asia (ABBF), Paul Chua berkata, pemilihan Sazali dibuat pada mesyuarat
persekutuan itu di Pusan, Korea Selatan, 27 Disember lalu, berdasarkan
pencapaian gemilang dan penuh konsisten atlet dari Malaysia itu.
``Pada penilaian kami sejak sukan
bina badan bermula di peringkat dunia pada 1945, tiada seorang pun atlet yang
setanding Sazali untuk menerima anugerah itu.
``Dia memang layak menerimanya
dengan mengumpul rekod kejayaan yang cukup cemerlang. Merangkul gelaran Mr.
Universe dengan disaingi atlet dari lebih 50 negara bukan sesuatu yang mudah.
``Dia telah mencetus kebanggaan
di seluruh Asia hasil kerja kerasnya dalam sukan ini,'' kata Paul yang
menyampaikan sendiri anugerah itu kepada Sazali.
Atlet cemerlang negara itu turut
menerima RM10,000 daripada ABBF sebagai tanda penghargaan, termasuk kejayaan
terbaru memenangi gelaran Mr. Universe pada Kejohanan Bina Badan Dunia di
Melaka, hujung tahun lalu.
Dari segi pencapaian, Sazali
memulakan karier pada 1991 penuh cemerlang apabila muncul juara flyweight
kebangsaan tahun yang sama, diikuti tujuh lagi gelaran kebangsaan iaitu dalam
kategori bantamweight pada 1992, 1993, 1995, 1996 dan 1998, serta juara
lightweight 1999 dan tahun lalu.
Dia juga adalah juara bantam
weight Asean 1992, selain memenangi pingat emas pada Kejohanan Asia Tenggara
1995, 1999 dan 2000, serta Sukan SEA 1997.
Sebelum mencatat sejarah sebagai
pemenang Mr. Universe, Sazali sudah empat kali menjuarai Kejohanan Asia pada
1996, 1998, 1999 dan 2000 dan menceriakan Malaysia apabila meraih pingat emas
bantamweight pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.
Di peringkat dunia, dia
dimahkotakan sebagai Atlet Bina Badan Paling Meningkat Sepanjang Tahun 2000
hasil peningkatan mendadak sejak hanya menduduki tempat ke-18 kategori
bantamweight pada 1993.
Pada 1997 dia menduduki tempat
ketujuh, 1998 (keenam), 1999 (keempat) dan tahun lalu muncul juara kategori
itu, sekali gus dinobatkan Mr. Universe.
Pengerusi Persekutuan Bina Badan
Malaysia (PBBM), Datuk Gan Boong Leong berkata, kejayaan itu menjadi kebanggaan
buat seluruh rakyat negara ini kerana Sazali adalah penerima pertama anugerah
tersebut.
``Kita juga bangga kerana tahun
lalu sahaja, Sazali telah menyumbang tiga pingat emas untuk negara. Cuma kita
agak kecewa apabila sukan ini yang pastinya menjanjikan pingat emas tidak
dipertandingkan pada Sukan SEA di Kuala Lumpur, September ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bP9tJlXw©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan