Sabtu, 18 Mac 2017

Nicol lakar sejarah


 

ARKIB : 22/07/2001
NICOL Ann David megah menjulang dulang perak yang dimenanginya selepas menewaskan pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy untuk muncul juara kejohanan Skuasy Remaja Dunia ke-9 di Pusat Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Relau semalam. Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.

Oleh DALLIA DUNSTAN
NICOL David melakar sejarah sebagai atlet negara yang pertama untuk mencipta nama dalam World Guinness Book of Records berikutan kejayaannya mempertahankan gelaran juara skuasy remaja wanita dunia.

Pemain berusia 17 tahun yang memenangi kejuaraan di Antwerp, Belgium dua tahun lalu itu menewaskan Omneya Abdel Kawy dari Mesir 9-2, 9-4, 9-2 pada perlawanan akhir kejohanan Skuasy Remaja Dunia ke-9 di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di Relau semalam.

Berikutan kejayaan itu, Nicol menerima hadiah RM5,000 sumbangan Nestle dan dia berpeluang menerima ganjaran di bawah skim hadiah kemenangan Majlis Sukan Negara (MSN) bernilai RM40,000 kerana memenangi kejohanan bertaraf dunia.

Nicol nyata berada dalam kelasnya yang tersendiri ketika menewaskan Omneya di hadapan lebih 3,000 penonton dan hanya mengambil masa 19 minit untuk menguburkan impian pemain tinggi lampai dari Mesir itu.

Sebelum perlawanan bermula, kedua-dua pemain diarak masuk menggunakan kereta nasional, Proton Perdana V6.

Nicol memulakan permainan dengan cemerlang pada set pertama menerusi pukulan-pukulan tajam yang memberikan mata demi mata walaupun terikat 1-1 di awal permainan.

Omneya pula kelihatan gugup dan tidak dapat memberikan tumpuan. Satu ketika dia ketinggalan jauh 1-7 kepada juara remaja Asia itu.

Selepas itu, Omneya kelihatan berpeluang untuk mendapat mata selepas pertukaran servis.

Pada set kedua, Omneya cuba memperlahankan rentak permainan namun Nicol enggan memberi ruang kepada Omneya.

Bagaimanapun, ketika Nicol mendahului 5-1, Omneya mengubah corak permainan apabila dia lebih banyak melakukan pukulan ke hadapan gelanggang dan taktik itu mengelirukan Nicol.

Omney berjaya merapatkan jurang 5-4.

Begitupun ia tidak mengganggu tumpuan Nicol yang jauh lebih berpengalaman dengan penyertaan pada kejuaraan profesional untuk membaca muslihat Omneya.

Nicol menamatkan permainan dengan 9-4 dalam masa tujuh minit sahaja.

Pada set ketiga, kedua-dua pemain satu ketika terikat 2-2 tetapi Nicol kelihatan tenang dengan melakukan pukulan-pukulan tajam serta mengelirukan lawan. Nyata Omneya kelihatan letih dan kurang bersemangat untuk meneruskan cabaran menentang pemain negara itu dan akhirnya akur apabila Nicol mudah memenanginya dengan 9-2 dalam masa enam minit sahaja.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhWecYju

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan