ARKIB : 11/01/2003
Oleh AKMAR HISHAM MOKHLES
Anak jati Batu Pahat ini pernah
menempuh pengalaman cemas serta mendebarkan sebelum menjadi jurulatih tentera.
Malah insiden pertempuran dengan
musuh itu berlaku ketika baru tiga bulan beliau menamatkan latihan asas rekrut.
Bagaimanapun beliau bersyukur
kerana terselamat dalam kejadian tersebut. Selain itu, pengalaman tersebut
jugalah yang menjadi `gurunya' dalam usaha mendidik para rekrut di Pusat
Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson.
Menceritakan semula detik-detik
pertempuran tersebut, Sarjan Haris Hassan berkata, peristiwa itu berlaku pada
tahun 1988 di Sungai Ruan, Raub, Pahang.
Ketika itu beliau berkhidmat di
Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di
Bentong, Pahang.
Suatu hari, seksyen yang
disertainya telah berhenti rehat di satu kawasan dalam hutan Sungai Ruan
selepas penat meronda. Waktu itu jam menunjukkan tepat pukul 12.45 tengah hari.
Seperti biasa, sebaik berhenti
beliau bersama rakan-rakan sepasukan akan memasak bekalan untuk makan tengah
hari dan malam sebelum meneruskan tugas-tugas rondaan.
Beberapa anggota yang lain pula
ditugaskan untuk membuat pertahanan keliling sebagai langkah keselamatan
memandangkan kawasan itu diketahui terdapat ramai pengganas komunis yang
bergerak aktif.
Selesai makan dan berkemas,
seksyen tersebut meneruskan tugas rondaan dalam kawasan tanggungjawab mereka.
Pada kali ini Haris yang ketika
itu berpangkat prebet memilih untuk berada di barisan belakang dengan membawa
senjata mesingan ringan (LMG).
Baru beberapa langkah rakannya
yang di hadapan sekali bergerak, tiba-tiba pasukan mereka dihujani peluru
musuh.
Tembakan pertama dilepaskan oleh
seorang pengganas komunis wanita yang kebetulan berada di lorong yang hendak
dilalui oleh pasukannya.
Disebabkan terkejut dengan
kehadiran pasukan keselamatan, pengganas wanita itu lantas melepaskan sedas
tembakan ke arah rakan Haris yang berada di depan, tetapi nasib baik tidak
kena.
Tersentak dengan bunyi tembakan
tersebut, beliau dan sembilan rakan yang lain terus mencari perlindungan.
Pada masa yang sama, empat lagi
pengganas komunis yang bersama dengan wanita tersebut turut melepaskan tembakan
masing-masing.
Beberapa das tembakan juga
dihalakan ke arah Haris dan hampir-hampir mengenainya.
Dalam keadaan kelam-kabut
tersebut, beliau yang berada di bahagian belakang sempat melihat kedudukan
musuh-musuh berkenaan sambil mengatur rancangan untuk menggempur mereka
menggunakan senjata yang dibawanya.
Selepas bertempur selama 20
minit, Haris nekad untuk menyerbu ke arah musuh. Dengan berani beliau mara ke
bahagian depan dan memuntah sebanyak mungkin peluru mesingan tersebut.
``Saya lepaskan tembakan semburan
dan ia sedikit sebanyak menakutkan musuh,'' katanya sambil memberitahu
perasaannya waktu itu turut bercampur-baur antara berani dan takut memandangkan
itulah kali pertama dirinya terbabit dalam pertempuran.
Musuh yang nyata terkejut dengan
serangan balas tersebut, kemudian mengambil keputusan untuk melarikan diri.
Bagaimanapun, pasukan keselamatan
sempat menembak mati pengganas wanita yang berada di bahagian hadapan sekali
manakala dua rakannya yang lain turut cedera terkena tembakan.
``Kedua-dua pengganas lelaki itu
kemudiannya berjaya kami tangkap. Namun dua yang lain berjaya melarikan diri
dengan membawa bersama tiga laras senjata rakan mereka yang tewas,'' ujarnya.
Menurut Haris kejayaan tersebut
adalah yang terbesar dicapai oleh seksyennya.
Ia juga merupakan pengalaman yang
amat berharga dalam hidupnya serta menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan
sehingga ke akhir hayat.
Selepas peristiwa tersebut, bapa
kepada tiga cahaya mata ini tidak pernah terbabit dalam mana-mana pertempuran
lagi dengan musuh walaupun menyertai beberapa operasi lain termasuk operasi
statik.
Bagaimanapun, selepas Parti
Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata pada tahun 1989, beliau terbabit pula
dalam beberapa operasi membongkar kawasan simpanan makanan musuh di Pahang.
``Turut serta dalam operasi
tersebut ialah beberapa orang bekas pengganas komunis yang telah menyerah diri.
``Lebih kurang setahun saya
terbabit dalam tugas tersebut,'' kata anak kelahiran Kampung Peserai, Batu
Pahat ini.
Selepas 14 tahun berkhidmat,
Haris kini tidak lagi dikerah untuk melaksanakan apa-apa operasi ketenteraan.
Sebaliknya beliau perlu
menumpukan sepenuh perhatiannya sebagai jurulatih di Cawangan Rekrut Pusasda
sejak enam tahun lalu.
``Walaupun begitu, jika tenaga
saya diperlukan untuk apa-apa operasi pada masa depan, saya bersedia tanpa
ragu,'' katanya mengakhiri perbualan dengan penulis.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_03.htm#ixzz4cUjygxNh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan