Selasa, 21 Mac 2017

Sultan Ahmad Shah berundur



ARKIB : 11/03/2002
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
SULTAN Ahmad Shah mengumumkan pengundurannya sebagai Presiden Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) yang dipegang sejak 1994, berkuat kuasa semalam untuk memberikan laluan kepada generasi muda mengambil alih pucuk pimpinannya.

Serentak dengan itu, beliau juga tidak akan bertanding atau mencalonkan diri sebagai presiden bagi penggal ketiga pimpinannya pada pemilihan Kongres AFC, Ogos depan.

Beliau berkata, pengundurannya itu akan diumumkan secara rasmi kepada AFC hari ini sebaik sahaja tarikh mengemukakan borang pencalonan menjelang Kongres ditutup semalam.

``Inilah hari terakhir saya sebagai Presiden AFC (semalam). Dengan kata lain, saya tidak akan bertanding dan tidak akan mencalonkan diri,'' katanya pada sidang akhbar khas di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat memandangkan AFC dirasakan perlu diterajui oleh tokoh yang lebih muda, berdedikasi dan berwibawa dalam menjulang gabungan tersebut ke tahap lebih membanggakan.

``Berteraskan kepada hakikat perubahan dan semangat amalan demokrasi dalam AFC, saya berasa gembira untuk memberi laluan kepada generasi muda mengambil alih pucuk pimpinan,'' jelas beliau.

Sultan Ahmad, 71, menambah, keputusan mengundur diri itu diambilnya setelah mendapati dua wawasan sepanjang kepimpinan beliau selama lapan tahun telah tercapai.

Beliau merujuk kepada kejayaan membawa pusingan akhir Piala Dunia kali pertama ke Asia yang akan berlangsung di Korea Selatan dan Jepun, Mei ini dan pembukaan ibu pejabat AFC di tanah seluas 1.8 hektar di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menganugerahkan hak tuan rumah Piala Dunia kepada Asia, dua tahun selepas Sultan Ahmad Shah menerajui AFC dan dan ibu pejabat gabungan itu yang dibuka pada 2000 turut mendapat pengiktirafan badan induk berkenaan.

``Ketika mula-mula menjadi presiden, saya tidak pernah terbayang bahawa kedua-dua wawasan ini mampu menjadi kenyataan. Sudah tentu saya berbangga apabila ia tercapai.

``Harapan saya yang terakhir adalah untuk melihat pusingan akhir Piala Dunia itu menjadi temasya terhebat pernah dianjurkan oleh Jepun dan Korea Selatan,'' jelasnya.

Sultan Ahmad bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) pada Khamis ini yang turut akan mengumumkan senarai calon pada pemilihan pucuk pimpinan AFC.

``Saya tidak akan bersama dalam mesyuarat itu. Tak perlu saya ke sana kerana saya tidak akan berada di sini (keluar negara),'' jelas beliau sambil mengakui tidak pernah dicabar sebagai presiden dalam tempoh dua penggal sebelum ini.

Mengenai siapakah bakal penggantinya, Sultan Ahmad memberitahu: ``Tidak adil untuk saya menamakannya kerana ia melanggar prinsip demokrasi yang saya pegang dalam hidup saya. Terpulanglah kepada budi bicara AFC sendiri.''

Ditanya harapan beliau terhadap bakal penggantinya dalam mencorakkan masa depan AFC, katanya: ``Sama ada terdapat dasar baru yang akan dirangka, ia satu perkara biasa apabila perubahan pimpinan berlaku.

``Saya tidak ingin menyentuh tentang ini. Ia tiada kena- mengena dengan saya. Saya berpuas hati dengan tugas dan kemampuan yang telah saya jalankan,'' jelas beliau.

Walaupun ada laporan akhbar menyebut, tokoh perniagaan Qatar, Mohammad Hammam Al Abdulla bakal merebut jawatan Presiden, Sultan Ahmad percaya ahli-ahli AFC akan memilih tokoh yang mampu menerajui mereka dengan bijak.

Hammam yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Qatar, dilaporkan pada 8 Februari lalu sebagai berkata, bersedia untuk bertanding dan hasratnya turut direstui oleh Sultan Ahmad sendiri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bxtqEzFx© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan