ARKIB : 02/06/2003
Oleh YUSRI SAHAT (Wartawan
Utusan)
MATLAMAT Wawasan 2020 yang
diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad antara lain
ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun
tersebut.
Sebagai persediaan ke arah itu,
negara memerlukan puluhan ribu tenaga jurutera yang mahir dalam bidang-bidang
yang berkaitan dengan kejuruteraan bagi menjanakan sektor perindustrian ke arah
yang lebih dinamik.
Namun, negara kini berdepan
dengan cabaran getir apabila menghadapi kekurangan saintis dan jurutera bagi
mempelopori penerokaan ciptaan baru terutama untuk menyaingi kuasa-kuasa
ekonomi baru dunia seperti China, India, Vietnam dan Thailand.
Malah, kebangkitan China telah
meninggalkan sedikit Malaysia di belakang dari aspek kemahiran teknologi untuk
menguasai pasaran dunia.
Mengikut kajian Majlis Tindakan
Ekonomi Negara (MTEN), negara memerlukan sekurang-kurangnya 210,000 jurutera
pada tahun 2010 dan seramai hampir setengah juta jurutera pula diperlukan bagi
merealisasikan hasrat itu pada tahun 2020.
Dengan pelbagai institusi
pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta yang menawarkan bermacam-macam program
kejuruteraan, sehingga kini negara hanya mempunyai 64,000 jurutera.
Angka tersebut dianggap terlalu
kecil dan masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan negara dalam memasuki
saingan di bidang perindustrian.
Menurut Penasihat Khas MTEN,
Datuk Rahmah Abu Kassim sektor perindustrian terutama dalam kejuruteraan kimia
ketandusan tenaga pakar memandangkan negara hanya mempunyai 2,888 jurutera
dalam bidang berkenaan.
Jumlah itu terlalu jauh
berbanding yang diperlukan oleh negara iaitu seramai 26,000 jurutera dalam
bidang kejuruteraan tersebut, ujarnya.
Ketandusan tenaga pakar juga
dialami dalam industri kejuruteraan elektrik apabila negara hanya memiliki
19,000 jurutera yang berkemahiran dalam bidang tersebut.
Sehubungan itu, tegas beliau,
negara perlu mencari jalan untuk menambah seramai 45,000 lagi jurutera bagi
menjadikan jumlahnya seramai 64,000 sebagaimana yang diperlukan pada tahun
2020.
Profesional
Dalam usaha menjadikan Malaysia
mempelopori bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula, kata beliau,
seramai 26,000 tenaga profesional diperlukan dalam bidang pembangunan perisian
komputer selain 37,000 lagi dalam sistem perkakasan komputer bagi memenuhi
tujuan tersebut.
Rahmah menyifatkan tugas untuk
melahirkan puluhan ribu jurutera dalam tempoh 17 tahun dari sekarang bukan
tugas mudah dan tidak ada jalan singkat untuk memenuhi impian tersebut.
Pendekatan terbaik ialah dengan
menggalakkan generasi muda untuk menjuruskan pembelajaran mereka ke arah bidang-bidang
tersebut bermula dari sekarang.
``Para pelajar terutama yang
masih menduduki bangku sekolah disaran menjuruskan pembelajaran mereka ke
bidang berkenaan untuk memenuhi kekosongan serta cita rasa pasaran pekerjaan,''
katanya baru-baru ini.
Ketika negara sedang dahagakan
tenaga jurutera mahir dalam memenuhi impian Dr. Mahathir dan rakyat untuk
merealisasikan Wawasan 2020, penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan Utara
Malaysia (KUKUM) di Arau, Perlis dianggap tepat pada masanya.
Sejarah bakal tercipta apabila
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan upacara
pecah tanah kampus tetap universiti itu di Ulu Pauh, Arau, hari ini.
Dengan upacara tersebut bermakna
negara mempunyai lima kolej universiti yang menawarkan pelbagai program ijazah
dalam bidang kejuruteraan.
Empat lagi ialah Kolej Universiti
Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) di Melaka dan Kolej Universiti Sains dan
Teknologi Malaysia (Kustem) di Terengganu, Kolej Universiti Kejuruteraan dan
Teknologi Malaysia (Kuktem) di Pahang dan Kolej Universiti Teknologi Tun
Hussein Onn (KUiTTHO) di Johor.
Kampus tetap KUKUM yang
berkeluasan 543.2 hektar itu merangkumi dua tapak berasingan iaitu di Ulu Pauh
yang berkeluasan 423.2 hektar dan Sungai Chuchuh seluas 120 hektar.
Kampus di Ulu Pauh merangkumi
tujuh pusat pengajian, tiga pusat bahasa, dua pusat kecemerlangan dan kolej
kediaman manakala kampus di Sungai Chuchuh bakal menempatkan Pusat Pengajian
Kejuruteraan Bio bersama zon guna sama dan kolej kediaman.
Kampus tetap KUKUM yang dijangka
siap sepenuhnya pada tahun 2006, kini beroperasi secara berselerak di Kangar,
Arau dan Kuala Perlis.
Jabatan Canselori, Jabatan
Pendaftar, Jabatan Bendahari dan perpustakaan ditempatkan di Bangunan Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja di Jalan Bukit Lagi, Kangar manakala pusat- pusat
pengajian, bilik kuliah, makmal dan bahagian hal ehwal pelajar berada di Kubang
Gajah, Arau.
Kolej kediaman pelajar pula
bertempat di Kampung Wai, Kuala Perlis.
KUKUM ditubuhkan sebagai sebuah
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ke-17 pada 25 Julai 2001 dengan
misi untuk melahirkan jurutera berkemahiran tinggi bagi menyokong Pelan
Perindustrian Negara.
Universiti yang kini mempunyai
hampir 800 pelajar itu menawarkan 10 kursus ijazah pertama dalam bidang
kejuruteraan.
Kursus-kursus kejuruteraan yang
ditawarkan itu ialah komputer, mikroelektronik, pembuatan, mekatronik, bahan,
perhubungan, sistem elektrik, elektronik industri, elektronik dan metalurgi.
Berkebolehan
Pembelajaran yang cenderung
kepada konsep praktis di universiti itu bertujuan menghasilkan jurutera yang
berkebolehan dalam mereka bentuk, membuat peralatan, menguji dan menyelenggara
serta mengaplikasi sebarang konsep teori.
Program akademik di KUKUM adalah
60 peratus berasaskan pengajaran dalam bentuk praktikal manakala selebihnya
dalam bentuk teori.
Rektor KUKUM, Prof. Dr.
Kamaruddin Hussin berkata, penubuhan universiti itu adalah atas kesedaran
bahawa negara mengalami kekurangan tenaga pakar dalam bidang kejuruteraan.
Berikutan itu, jelas beliau,
KUKUM memperkenalkan konsep pembelajaran yang menitikberatkan kepada amali
berbanding teori bagi keperluan industri.
``Kaedah itu untuk melahirkan
tenaga pakar di peringkat iktisas yang mahir serta mempunyai pengetahuan kukuh
dalam bidang kejuruteraan selain mampu berdikari sebagai usahawan
profesional,'' katanya.
Menerusi pendekatan itu, beliau
percaya KUKUM mampu melahirkan lebih 10,000 jurutera mahir dalam pelbagai
bidang kejuruteraan menjelang tahun 2010.
Dalam menghadapi era globalisasi
yang semakin mencabar pada masa hadapan, KUKUM merancang untuk memperkenalkan
kursus peringkat ijazah dalam bidang aeroangkasa bagi melahirkan lebih ramai
tenaga pakar dalam bidang teknologi angkasa.
Pada peringkat permulaan, KUKUM
menawarkan kursus yang berkaitan pembuatan peralatan aeroangkasa menerusi
program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan, Bahan dan Mekatronik sebagai
pendedahan awal kepada pelajar.
``Dalam bidang-bidang ini, para
pelajar menjalani latihan praktikal di syarikat-syarikat pembuatan komposit
seperti milik Boeing di Bukit Kayu Hitam dan Taman Teknologi Tinggi Kulim
(KHTP),'' katanya.
Menurut Kamaruddin, usaha untuk
mengadakan program aeroangkasa memerlukan kajian mendalam memandangkan negara
masih kekurangan tenaga pakar dalam bidang tersebut.
``Setakat ini, Universiti Sains
Malaysia (USM) telah memperkenalkan kursus ini di Pusat Pengajian
Aeroangkasa,'' katanya sambil menambah pada masa ini, para pelajar telah
didedahkan kepada bidang aeroangkasa dalam kegiatan ko-kurikulum yang akan
diperkenalkan di universiti itu.
Kamaruddin yakin KUKUM mampu
menjadi `kilang' yang bakal melahirkan jurutera mahir yang amat diperlukan
untuk memacu ekonomi negara seterusnya merealisasikan hasrat rakyat untuk
muncul sebagai negara maju pada tahun 2020.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz4cxpQAEPs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan