ARKIB : 04/02/2001
Teratak Za'ba tempat himpunan
sejarah
PENDETA Tan Sri Dr. Zainal Abidin
Ahmad bergambar bersama isteri keduanya Fatimah Md. Said.
Pembukaan Teratak Za'ba itu bukan
sahaja memberi peluang kepada generasi muda untuk menghayati perjuangan Za'ba
sebagai bapa persuratan bahasa Melayu bahkan mewujudkan sebuah lagi produk
bersejarah di negeri yang mengamalkan adat perpatih.
Tidak berapa lama dulu, Teratak
Za'ba pernah menimbulkan sedikit kekecohan apabila pembinaannya yang sepatutnya
dimulakan pada 16 September 1995 ditangguhkan.
Projek pembinaan yang dijangka
siap dibina pada 20 Mei 1996 itu terbengkalai selama empat tahun selepas
kerja-kerja pembinaannya dihentikan selepas Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa
Abdul Samad menyempurnakan upacara menegak tiang pada 1999.
Penangguhan itu dikatakan berlaku
apabila kontraktor yang dipertanggungjawabkan gagal mendapat bekalan kayu
cengal yang menjadi bahan utama dalam pembinaan Teratak Za'ba.
Bagaimanapun, menjelang Oktober
tahun lalu, Jabatan Kerja Raya yang dipertanggungjawabkan menyelia kerja-kerja
pembinaan mengumumkan Teratak Za'ba telah siap dibina.
Penubuhan memorial khas untuk
Pendeta Za'ba itu sebenarnya dicetuskan oleh Pengerusi Lembaga Muzium Negeri
Sembilan, Tan Sri Samad Idris selepas melawat ke rumah penyair Inggeris William
Shakespeare di Stratford-Upon-Avon, England.
Sejak lawatan itu, fikirannya
bagai digamit untuk mewujudkan rumah yang serupa untuk tokoh anak Negeri
Sembilan yang banyak menyumbangkan jasa.
Bagaimanapun, idea itu hanya
disampaikan kepada Menteri Besar pada tahun 1995 sempena satu abad kelahiran
Za'ba.
Bak kata pepatah, bagai `gayung
dihulur disambut baik,' hasrat Samad tidak mendapat tentangan.
Teratak yang kini mencecah usia
100 tahun, dibina di atas sebidang tanah seluas 0.4 hektar, di Kampung Bukit
Kerdas, Batu Kikir Timur, Jempol iaitu tempat tokoh itu dilahir dan dibesarkan.
Dengan terbinanya teratak ini,
orang ramai berpeluang melihat dan mengenali tokoh intelektual negara itu
dengan lebih dekat.
Seperti kata Kurator Muzium
Negeri, Drs. Shamsuddin Ahmad, Lembaga Muzium Negeri sedaya upaya cuba
mewujudkan suasana sebenar kehidupan Za'ba sejak tahun kelahirannya pada 16
September 1895 sehingga saat-saat akhir hidup beliau.
Kesemua barang dan khazanah
peribadi yang diabdikan dalam Teratak Za'ba itu adalah milik tokoh tersebut
yang diperoleh daripada waris, keluarga dan rakan-rakannya serta Arkib Negara,
Universiti Malaya, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Maktab Perguruan Kuala
Kangsar.
Malah, orang ramai dan peminat
yang mengagumi tokoh ini juga berpeluang untuk melihat 2,000 pucuk surat yang
ditulis tangan oleh tokoh itu kepada rakan-rakannya serta 30 buah buku ejaan
Bahasa Melayu.
Selain itu, sebahagian daripada
4,000 buah buku koleksi milik Za'ba yang didermakan kepada Universiti Malaya
turut dipamerkan.
Paling istimewa, Teratak Za'ba
ini juga akan mempamerkan songkok yang dipakai oleh Za'ba semasa hari
penganugerahan gelaran Pendeta pada 21 September 1956 iaitu semasa
berlangsungnya Kongres Bahasa dan Persuratan Bahasa Melayu Universiti Malaya
Ketiga.
Bahkan, orang ramai boleh melihat
destar (tengkolok) yang digunakan oleh tokoh itu ketika beliau menerima bintang
kebesaran Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri oleh
Yang Dipertuan Agong pada 23 Jun 1973.
Bangunan Teratak Za'ba yang
menelan belanja sebanyak RM630,000 itu mempunyai tiga anjung yang bakal
menempatkan sudut cetusan ilham, sudut pendidikan awal, sudut anugerah, ruang
tidur dan dapur serta perpustakaan kecil.
Sudut cetusan ilham mempamerkan
suasana bilik bacaan dan memperlihatkan ruang tokoh itu menghasilkan penulisan
serta karya-karya penting.
Di ruang itu juga diletakkan
patung seorang lelaki duduk di atas kerusi sedang menaip menggunakan sebuah
mesin taip lama dan di atas meja terdapat beberapa naskhah buku tersusun
bersama lembaran kertas, pen, botol dakwat, buku nota, pensil dan pemadam.
Majalah lama dan suratkhabar lama
diletakkan di atas lantai berhampiran buku sementara di satu sudut lain
buku-buku tersusun rapi di dalam sebuah almari kayu dan di atas almari itu
terdapat sebuah papan rehal dan senaskhah al- Quran.
Di anjung kiri bangunan ini
memperlihatkan ruang diorama mengaji al-Quran menggambarkan suasana pendidikan
awal yang diterima oleh Za'ba semasa zaman kanak-kanak.
Selain itu, di sudut anugerah dan
sumbangan pula mempamerkan replika anugerah yang diterima oleh Za'ba sepanjang
bekerja dan selepas bersara.
Anugerah itu seperti
pingat-pingat dan cenderamata berupa songkok dan tongkat dipamerkan di dalam
bekas kaca bertutup manakala sudut sumbangan pula mempamerkan hasil sumbangan
Za'ba seperti buku, rencana dan surat-surat.
Di ruang bilik tidur pula
menampilkan barang-barang milik Za'ba seperti sebuah katil besi, sebuah peti
pakaian kulit buatan luar negara dan sebuah cermin muka berukir yang dipadankan
dengan meja solek.
Sementara itu di ruang
perpustakaan pula menempatkan kiosk multimedia untuk orang ramai mendapatkan
maklumat yang lebih terperinci mengenai Za'ba, hasil karya dan buku-buku yang
dihasilkan oleh tokoh itu.
Di ruang belakang pula dijadikan
perpustakaan mini yang mengandungi salinan buku-buku karangan Za'ba untuk
murid-murid sekolah dan penuntut-penuntut pengajian tinggi.
Pekarangan luar Teratak Za'ba
dikelilingi dengan pokok-pokok jambu merah yang menjadi buah kegemaran tokoh
cendekiawan negara itu.
Persekitaran dalam dan luar
Teratak Za'ba sengaja digarap sedemikian rupa bagi mengembalikan nostalgia
kehidupan Za'ba dari tahun 1895 hingga 1973 untuk tatapan para pengunjung.
Oleh: AINUL ASNIERA AHSAN
Sumber-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4bNswQbkR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan