Sabtu, 4 Mac 2017

Keberanian jeneral tundukkan ketua perompak

ARKIB : 07/07/2000
KUALA KANGSAR 6 Julai - Ketua kumpulan perompak senjata yang bersembunyi di Bukit Jenalek berjaya ditundukkan hanya dalam masa tujuh minit oleh Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zaini Mohd. Said.

Berbekalkan keberanian dan kebijaksanaan tanpa senjata di tangan, Zaini, turut menundukkan anggota-anggota lain kumpulan perompak itu yang kemudian menyerah diri bersama ketuanya, Amin Mohamad Razali, petang ini.

Detik-detik mencemaskan yang berlaku antara pukul 3.48 hingga 3.55 petang ini, bagaimanapun, hampir meragut nyawa pegawai tinggi tentera itu apabila Amin mengacukan hujung senjata tepat ke dadanya. Bagaimanapun Zaini berjaya menepis hujung senjata itu sebelum tembakan dilepaskan.

Tembakan tersebut mengenai seorang pengikut kumpulan itu.

Zaini, 54, ketika diminta menceritakan peristiwa itu pada sidang akhbar petang ini berkata, ketua kumpulan itu yang pada mulanya enggan menyerah diri dan cuba menembak beliau, telah ditundukkan setelah dia tidak mampu untuk melawannya secara fizikal.

Beliau memberitahu, Amin telah membuat tuntutan yang mustahil untuk dipenuhi oleh pihak berkuasa iaitu supaya kumpulan itu dibebaskan dan dibiarkan berada di dalam hutan tersebut.

''Tuntutan mereka mustahil untuk dilayan. Setelah puas dipujuk, dia pun tahu saya cuba 'menjatuhkan' dia, jadi dia sentiasa bersedia hendak tembak saya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya tidak membawa senjata,'' ujarnya.

Menurut Zaini lagi, keadaan ketika itu bertambah tegang setelah beliau cuba mengalihkan perhatian Amin dengan memarahinya sambil mengatakan perjuangan mereka adalah sia-sia.

''Sekali lagi dia mengacukan senjata ke arah dada saya dan saya tahu masanya hampir tiba apabila dia mula mencekak leher baju saya dan menarik badan saya ke arah senjatanya untuk menembak saya.

''Saya menepis hujung senjata itu dan tembakan yang dilepaskan oleh Amin terkena salah seorang daripada 16 ahli kumpulan yang ada di situ yang ketika itu memegang senjata beserta dengan parang,'' jelasnya.

Katanya, beliau kemudiannya berjaya menjatuhkan Amin ke tanah menyebabkan ahli-ahli kumpulan lain tidak berani berbuat apa-apa untuk bertindak.

Beliau berkata, ketika itu kira-kira 16 orang anggota kumpulan terbabit sedang bersiap sedia dengan senjata dan parang kecil untuk bertempur dengan beberapa anggota keselamatan yang berada tidak jauh di belakangnya.

''Amin adalah ketua perancang kumpulan itu. Anggota kumpulannya yang lain tidak mahu turun selagi dia tidak mengarahkan.

''Oleh kerana itu saya grab down (menjatuhkan) dia dan anggota tentera saya yang lain dengan cepat menghalang anggota kumpulan itu daripada bertindak,'' jelasnya.

Zaini yang luka di tangannya ketika menangkis senjata yang diajukan kepadanya menambah, akhirnya kesemua mereka menyerah diri setelah ketua kumpulan itu ditumpaskan dengan mudah.

Keberanian Leftenan Jeneral itu telah menerima pujian daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, panglima tentera itu telah mempertaruhkan nyawanya demi memastikan kes itu dapat diselesaikan dengan cepat tanpa pertumpahan darah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4aO3sUVb7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan