Sabtu, 11 Mac 2017

Jasa ATM di Congo dihargai

ARKIB : 02/11/2000
Sumbangan dan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di arena antarabangsa memang tidak dapat dinafikan dan kerap mendapat pengiktirafan masyarakat dunia.

Penglibatan ATM di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah bermula sejak tahun 1960 melalui penghantaran Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja ke Congo.

Peranan yang diamanahkan kepada pasukan tentera negara ialah membantu meningkatkan bantuan ketenteraan kepada kerajaan Congo bagi menjamin keselamatan negara berkenaan.

Hasilnya, para perajurit negara yang berkhidmat dari 4 Oktober 1960 hinggalah 1961 menyempurnakan misi itu dengan jayanya tanpa bertempur dengan puak-puak yang berkrisis.

Bagi memperingati jasa dan menghargai perjuangan mereka, kerajaan baru-baru ini menganugerahkan Pingat Negara Bangsa-Bangsa Bersatu kepada 81 kumpulan terakhir anggota tentera yang berkhidmat di Congo.

Salah seorang penerima, Abdul Aziz Abdul Moin, 66, berkata, beliau yang berkhidmat dalam 2 Melayu menyertai misi ke Congo pada tahun 1960.

Katanya, selepas kembali ke tanah air pada tahun berikutnya beliau menamatkan perkhidmatan dalam tentera untuk menyertai sektor swasta.

"Saya berasa terharu dan gembira kerana jasa semasa berkhidmat di Congo dihargai oleh kerajaan.

"Bagaimanapun, tidak ramai rakan seperjuangan yang ditemui pada majlis ini mungkin ada di kalangan mereka telah meninggal dunia,'' katanya kepada Utusan, baru-baru ini.

Abdul Aziz yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan berkata, tayangan video yang mengimbas kembali perjuangan tentera di Congo telah mengembalikan semangat perwiranya.

"Salah seorang anak saya Mejar Aznan juga berkhidmat dalam Kor Artileri di Sungai Petani, Kedah,'' tambahnya yang kini menetap di Seremban.

Bagi anak kepada mendiang Cheong You Choy, Mejar Cheong Seow Foong, 36, anugerah itu amat bermakna baginya yang juga memilih bidang ketenteraan sebagai kerjaya.

Katanya,pingat itu akan diberi kepada ibunya untuk dijadikan kenangan dan khazanah sejarah keluarganya.

"Bapa saya selalu menunjukkan gambar-gambar dan menceritakan pengalamannya ketika saya masih kecil.

"Dan pada tahun 1981, saya memasuki Maktab Tentera Diraja Kem Sungai Besi sehinggalah sekarang,'' katanya yang berkhidmat dalam Rejimen Semboyan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4b5w2onqZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan