ARKIB : 17/09/2001
MALAYSIA mengesahkan kedudukan
selaku juara keseluruhan Sukan SEA, sekali pun masih ada lima acara yang
menjanjikan pingat emas dipertandingkan hari ini, selepas penyandang juara,
Thailand tidak lagi mampu memintas pencapaian paling cemerlang kontinjen
negara.
Semalam, Malaysia mengumpul 108
emas keseluruhan, mengatasi Thailand yang hanya mampu memperoleh 101 emas, di
depan Indonesia yang meraih 72 emas.
Kejayaan itu adalah yang paling
cemerlang dalam sejarah penyertaan kontinjen negara pada temasya dwitahunan itu
sejak tahun 1959.
Pencapaian terbaik itu bermula
pada hari pertama temasya di mana kontinjen negara berkongsi dua pingat emas
untuk menghuni tempat kedua di belakang Indonesia berdasarkan perbezaan pingat
gangsa.
Sehari selepas itu, Malaysia
mula meninggalkan negara lain dengan 30 emas, diikuti Thailand 13 dan Indonesia
12, sebelum persembahan mantap hari ketiga dengan 40 emas, diikuti Thailand
(26) dan Indonesia (24).
Pada hari keempat temasya,
Malaysia terus di depan dengan 56 emas, diekori Thailand dengan 31 dan
Indonesia 37.
Hari keenam menyaksikan atlet
negara mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengumpul 64 emas, Thailand (54)
dan Indonesia (53).
Kejayaan menambah sembilan lagi
emas pada hari ketujuh, memastikan kontinjen negara terus mengungguli carta
dengan 73 emas, disaingi Thailand yang meraih 69, manakala Indonesia 50 emas.
Namun kelmarin, negara jiran
itu yang memenangi acara bola sepak lelaki hasil mengalahkan Malaysia 1-0,
berjaya memintas kedudukan pingat sekali pun berkongsi 88 emas dengan Malaysia
berdasarkan kelebihan perak.
Namun begitu, sekalung tahniah
diucapkan kepada pasukan boling padang lelaki dan wanita negara yang berjaya
mengungguli acara masing-masing lewat malam kelmarin untuk menyamakan pungutan
pingat emas.
Semalam, berbekalkan semangat
`Malaysia Boleh', kontinjen negara memastikan lagu Negaraku dimainkan 20 kali
lagi sebagai mengesahkan jumlah emas menjadi milik negara pada hari kesembilan,
sekali gus merampas semula kedudukan teratas.
Malaysia menguasai saingan
gimrama dan pencak silat yang masing-masing menghasilkan empat emas, boling
padang (tiga emas), tinju dan terjun (dua emas), golf, lumba basikal, renang
berirama, hoki lelaki, bola keranjang wanita ( satu emas).
Thailand juara di Brunei 1999
pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 101 emas, diikuti
Indonesia yang pernah menjadi juara keseluruhan temasya Jakarta 1997.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bkbxkI00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan