ARKIB : 30/11/2002
BORHAN Muslim menceritakan
pengalamannya menyaksikan mayat-mayat Askar Melayu yang mati dibunuh tentera
Jepun kepada bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail
(kanan) dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Md. Hashim Hussein (kiri)
yang melawat Bukit Chandu baru-baru ini.
Oleh AKMAR HISHAM MOKHLES
``Apabila terkenangkan kejadian
menyayat hati yang berlaku 60 tahun lalu, hati saya benar-benar sedih. Ada
kalanya saya merasa takut apabila terbayang mayat-mayat yang tergantung di atas
pokok.
``Biarpun mayat-mayat tersebut
diperlakukan sedemikian rupa, mereka tetap wira saya serta seluruh rakyat
Singapura dan Malaysia,'' cerita Borhan Muslim yang suatu ketika dahulu pernah
tinggal di Kampung Chandu di kaki Bukit Chandu, benteng pertahanan terakhir
British di Singapura sebelum menyerah kalah kepada Jepun pada 15 Februari 1942.
Lelaki tersebut yang kini berusia
82 tahun merupakan rakyat Singapura yang sempat menyaksikan kekejaman tentera
Jepun terhadap anggota Rejimen Askar Melayu yang berjuang mempertahankan tanah
air mereka di bukit berkenaan pada 13 dan 14 Februari 1942.
Di bukit itu jugalah Leftenan
Datuk Adnan Saidi bersama anggota platunnya gugur selepas terlibat dalam
pertempuran sengit dengan tentera Jepun.
Mengimbau lanjut kejadian yang
disaksikan dengan mata kepalanya, Borhan berkata, beliau melihatnya secara
tidak sengaja.
``Asalnya sebaik British menyerah
kalah, saya dan adik sepupu saya mahu naik ke Bukit Chandu semata-mata untuk
mencari makanan kerana sedang kelaparan. Sebaik berada di sebuah banglo di atas
bukit tersebut yang menjadi kubu tentera British kami lihat ada tujuh mayat
yang bergelimpangan di tingkat bawah.
``Kemudian kami nampak seorang
pegawai tentera berpangkat tinggi mati tersandar di katil tepi tangga.
``Tetapi kami buat tidak tahu
sahaja dan lekas-lekas mencari makanan.
``Sebaik naik ke tingkat atas
pula, alangkah terkejutnya saya apabila terpandang dari tingkap banyak mayat
yang berlumuran darah tergantung di atas pokok yang saya pasti itu adalah mayat
Askar Melayu,'' katanya sambil menitiskan air mata.
Menurutnya, pada waktu itu
terdapat kira-kira 10 batang pokok yang tergantung mayat atau terdapat mayat
yang diikat pada batangnya.
Pada salah satu pokok itu beliau
melihat terdapat 13 mayat yang tergantung di situ dengan kebanyakannya kaki ke
atas. Tangan mayat-mayat itu turut diikat ke belakang.
Dari celah tingkap itu juga
Borhan melihat kesemua pakaian mayat tersebut berlumuran darah serta mempunyai
banyak lubang.
``Saya tidak tahu pakaian mereka
berlubang kerana ditembak atau ditikam dengan benet tentera Jepun yang geram
terhadap mereka. Apa yang pasti memang banyak kesan lubang pada setiap mayat,''
terangnya.
Melihat keadaan itu, hati mereka
berdua mula diselubungi rasa takut, lantas bergegas meninggalkan banglo
tersebut untuk pulang ke rumah.
Malah beliau tidak berani untuk
naik semula ke Bukit Chandu bagi mencari makanan apatah lagi untuk menguruskan
mayat-mayat tersebut kerana takut di samping bimbang terserempak dengan tentera
Jepun.
Beliau yang ketika itu baru
berusia 22 tahun turut bimbang akan timbul fitnah yang mengaitkannya dengan
kematian perajurit berkenaan.
``Kerana itu saya tidak tahu apa
yang terjadi kepada mayat-mayat berkenaan sama ada dikebumikan oleh orang atau
tidak. Tambahan pula terlalu banyak mayat di situ,'' katanya.
Sebelum menyaksikan peristiwa
tragis tersebut, ketika dalam perjalanan untuk mendaki Bukit Chandu, Borhan
sempat menyelamatkan seorang anggota Askar Melayu yang dikenalinya sebagai
Koperal Husin kira-kira 300 meter dari rumahnya.
Anggota tentera dari Batalion
Pertama Rejimen Askar Melayu itu mengalami kecederaan parah dan kurang bermaya
ketika ditemui.
Melihat keadaannya itu, beliau
lantas membawanya pulang ke rumah. Di rumah, Husin memintanya naik ke bukit
tersebut untuk melihat keadaan di situ selepas berakhirnya pertempuran.
Husin turut memaklumkan bahawa
setakat yang diketahuinya hanya beliau sahaja yang terselamat manakala yang
lain-lain termasuk Adnan telah meninggal dunia.
Sepanjang berada di rumah Borhan,
Husin dirawat oleh ibunya dengan diberi ubat berupa nasi yang dicampur daun
dedap. Demi keselamatan perajurit itu juga, Borhan meminta Husin menanggalkan
semua pakaiannya untuk ditanam bagi mengelakkan tentera Jepun mudah
mengesannya.
Selain itu, beliau turut melarang
Husin keluar dari rumah atau menyahut apa-apa panggilan dari luar rumah.
``Selepas merawatnya lebih 40
hari Husin sembuh sepenuhnya.
``Kemudian beliau meminta diri
untuk pulang ke kampungnya di Pahang dan selepas itu sehingga sekarang saya
tidak pernah lagi berjumpanya,'' kata Borhan sambil memberitahu beliau teringin
untuk berjumpa Husin yang menurutnya mungkin telah berusia sekitar 85 tahun
jika masih hidup.
Menceritakan keadaan Bukit Chandu
semasa pemerintahan Jepun pula, Borhan berkata, penduduk kampung dan tentera
Jepun sendiri amat jarang naik ke atas bukit berkenaan.
Namun terdapat ramai penduduk
kampung yang menanam ubi kayu di sekitar kaki dan lereng bukit itu sebagai
sumber makanan utama. Ada juga yang memungut rumput tapak itik yang banyak
tumbuh meliar di situ untuk dimakan.
``Lama-kelamaan kawasan tersebut
semakin terbiar. Jika dulu ia hanya dikelilingi pokok-pokok kecil seperti
senduduk tetapi lama kelamaan pokok-pokok yang lebih besar mengambil alih
sehinggalah sekarang,'' katanya.
Semasa pemerintahan Jepun di
Singapura, Borhan turut melihat pelbagai kekejaman yang dilakukan oleh tentera
negara matahari terbit itu.
Malah beliau sendiri nyaris di
bunuh gara-gara cuba memberi makanan kepada seorang tahanan perang.
``Waktu itu saya dilantik Jepun
sebagai mekanik dan penjaga gudang makanan dengan pangkat mejar.
``Disebabkan kasihan melihat
tahanan perang yang kelaparan saya cuba nak hulur makanan secara senyap-senyap
tetapi ternampak oleh seorang tentera Jepun. Akibatnya, tahanan tersebut
dipukul dengan penyodok sehingga mati di depan mata saya,'' katanya yang masih
merasa ngeri jika teringat kejadian tersebut
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4cPFI8GKB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan