ARKIB : 31/08/2000
Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
EMPAT puluh tiga tahun negara
mencapai kemerdekaan tidak semestinya menjamin bahawa rakyat kita
keseluruhannya telah merdeka sepenuhnya dari segi pemikiran, hawa nafsu dan
gejala-gejala perhambaan lainnya yang melanda umat manusia ini.
Serangan yang dibawa oleh
ejen-ejen penjajahan bentuk baru melalui teknologi maklumat dan komunikasi
serta aliran globalisasi tajaan Barat yang mendominasikan dunia pada hari ini
banyak sekali meninggalkan kesan perhambaan di dalam pemikiran dan tindakan
rakyat di negara-negara membangun, termasuk rakyat negara kita.
Kemelut perpecahan umat, gejala
sosial di dalam masyarakat muda dan tua, kebekuan pemikiran orang-orang yang
berilmu dan profesional, sifat fanatik dan taksub melulu, pemujaan individu dan
tokoh tertentu tanpa pertimbangan adalah merupakan ciri-ciri perhambaan manusia
walaupun pada lahirnya negaranya telah merdeka daripada penjajahan.
Di negara kita sendiri ramai
orang yang memuja media asing dengan laporan-laporannya yang penuh dengan
agenda penjajahan bentuk baru, iaitu yang ingin memecahbelahkan perpaduan
rakyat dan menimbulkan ketegangan di dalam negara semata-mata kerana negara ini
ingin menegakkan identiti dan jati dirinya sendiri dan ingin bebas daripada
pergantungan melulu kepada kuasa asing.
Tindakan negara merdeka yang ingin
melepaskan dirinya daripada penjajahan bentuk baru dan mengisikan
kemerdekaannya sendiri dalam erti kata yang sebenarnya telah menimbulkan
kemarahan bekas penjajah Barat. Dengan itu penjajah Barat akan berusaha supaya
negara yang merdeka ini menjadi kacau bilau dan sentiasa berada dalam
ketegangan di antara rakyat dengan pemerintah supaya dengan itu dapatlah mereka
memuaskan jarum penjajahannya dengan baik.
Pemujaan media Barat inilah
yang mendorong para pemujanya berbicara dengan media asing itu, membenarkan
dirinya diwawancara dengan segala komen dan kritikan negatif terhadap negara
sendiri, sehingga dengan itu akan lahirlah ke mata dunia seolah-olah dialah
pejuang demokrasi dan keadilan negara yang ingin melihat perubahan. Orang-orang
begini sebenarnya tidak mendapat tempat sepenuhnya di hati rakyat umum dan di
dalam negara sendiri.
Generasi baru yang tidak
mengalami sendiri perjuangan rakyat dan negara semasa zaman penjajahan untuk
memerdekakan negara mungkin tidak dapat menghayati dan merasakan pahit getir
kehidupan pada zaman penjajahan.
Pengalaman itu hanya tertera di
dalam tulisan di sana sini yang mungkin tidak dapat dibaca dan dimengertikan
dengan baik oleh generasi selepas kemerdekaan. Bagaimanapun perjuangan itu
telah berlalu dan tanggungjawab mencapai kemerdekaan negara tidaklah tertanggung
ke atas bahu mereka lagi.
Namun yang perlu bagi generasi
baru ialah mengisikan kemerdekaan negara dengan melengkapkan diri mereka
menjadi anak-anak negara merdeka yang sebenarnya.
Kemerdekaan negara tidak
memberi sebarang erti sekiranya kita masih belum mempunyai ilmu pengetahuan
yang cukup di dalam segala bidang kehidupan kita. Demikian juga keupayaan kita
di dalam bidang ilmu pengetahuan dan profesionalisme yang tinggi masih belum
bererti sekiranya pemikiran kita masih diselubungi oleh pemikiran penjajah dan
nilai hidup mereka yang masih terbelenggu dengan hawa nafsu.
Apa ertinya berilmu pengetahuan
yang tinggi kalau kita masih terpengaruh dengan cerita-cerita palsu Internet
tentang negara kita dan masyarakat. Apa ertinya profesional sekiranya kita
masih terperangkap dengan taktik luar yang ingin mengharu-birukan masyarakat
kita.
Apa ertinya kemerdekaan negara
sekiranya kita masih belum merdeka daripada gejala keruntuhan moral dan
kehakisan nilai-nilai murni keagamaan dan kerohanian?
Kalau Islam telah berjaya
melaksanakan perancangan yang amat rapi untuk menghapuskan perhambaan sesama
manusia dalam bentuk kuno sebelum masyarakat Barat bertindak menghapuskannya,
maka kenapakah perhambaan bentuk baru ini terlalu banyak menyerang
negara-negara Islam sekarang tanpa tentangan, malah banyak sekali negara Islam
dan orang-orang Islam yang sanggup menerima perhambaan ini dengan rela hati?
Salah seorang Khalifah Islam
memberi amaran dengan kata-kata hikmatnya; Bilakah kamu memperhambakan sesama
manusia, sedangkan mereka dilahirkan ibu-ibu mereka dalam keadaan merdeka?
Islam daripada awal lagi telah menyempitkan pintu perhambaan dan membuka luas
pintu untuk membebaskan manusia daripada perhambaan, sehingga dengan itu
manusia menjadi merdeka dan bebas daripada kezaliman dan penindasan, atau
penganiayaan terhadap jiwa raga, harta benda dan maruah serta kehormatan
mereka.
Agenda inilah yang dilaksanakan
oleh Islam dalam memberikan kemerdekaan kepada manusia dan melepaskan diri
mereka dari perhambaan.
Tetapi setelah perhambaan
bentuk kuno itu telah pupus dari muka bumi ini, kenapakah ada manusia yang
sanggup diperhambakan dalam bentuk baru sehingga sanggup mengkhianati negara
dan tanah air sendiri?
Kenapakah manusia sanggup
memperhambakan dirinya kepada hawa nafsu keduniaan dengan menggadaikan agama
dan nilai-nilai murni kehidupannya?
Apakah kerana soal-soal
peribadi dan kelompok tertentu kita sanggup mempertaruhkan maruah dan
kehormatan kita sendiri kepada kuasa lain yang ingin memperhambakan kita?
Semoga negara merdeka yang
memasuki ke tahun empat puluhan ini akan mulai menampakkan kemerdekaan sebenar
dalam pemikiran sikap, tindakan dan wawasan rakyat kita keseluruhannya. Kalau
kita berpegang kepada kata-kata hikmah bahawa hidup itu bermula pada umur empat
puluh tahun, malah Nabi Muhammad s.a.w. juga dilantik menjadi Rasul kepada umat
manusia ketika berumur empat puluh tahun maka masanya telah tiba untuk melatih
negara kita sebagai negara yang matang dan maju kerana negara kita telah
merdeka lebih dari empat puluh tahun.
DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM, Ketua
Pengarah IKIM
e-mel:ismail@ikim.gov.my
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4avTmfPtV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan