ARKIB : 31/08/2000
KEMERDEKAAN selama 43 tahun
turut membawa perubahan kepada peranan dan sumbangan wanita dalam membangunkan
negara. Peluang mendapat pendidikan yang sama membawa wanita keluar daripada
tugas tradisi kepada kerjaya yang lebih mencabar lagi.
Penghayatan dan persepsi
generasi wanita baru tentang kemerdekaan mungkin samar-samar kerana selama
lebih empat dekad mereka telah menikmati banyak kemudahan seiring dengan
kemajuan negara.
Mereka mungkin tidak merasa
kepayahan membebaskan negara daripada belenggu penjajah. Kewajaran memperingati
perjuangan tokoh-tokoh lama wanita seperti Ibu Zain, Tan Sri Fatimah Hashim,
Khatijah Sidek dan lain-lain perlu disematkan dalam pemikiran generasi muda.
Perjuangan kaum wanita dahulu
tanpa mengharapkan balasan tidak terbatas kepada tenaga tetapi turut
mengorbankan wang ringgit. Adalah menjadi tanggungjawab wanita kini mengisi
kemerdekaan dengan sama-sama menyumbang untuk membangunkan negara tercinta.
Dalam mengejar kemajuan wanita
juga tidak dapat lari daripada merasai kesan sosial yang dibawa oleh
pembangunan itu sendiri. Oleh itu wanita harus kuat dari segi mental dan
spiritual untuk menangani masalah ini. Sebagai ibu yang melahirkan dan pendidik
sejati mereka jugalah yang mencorak generasi Malaysia akan datang.
Seperti kata tokoh veteran
UMNO, Tan Sri Aishah Ghani, 76, wanita hari ini telah berjaya mengecapi
kesenangan hasil perjuangan wanita dahulu terutama dalam bidang pendidikan,
sosial, ekonomi dan politik.
Kesan perjuangan wanita dahulu
dapat dilihat hari ini berdasarkan tahap pencapaian wanita dalam pelbagai
bidang.
Peluang pendidikan sama rata
kepada kaum wanita membolehkan mereka terus ke hadapan untuk sama-sama
berganding bahu dengan kaum lelaki dalam membantu menjana proses pembangunan
negara.
Cabaran wanita pada hari ini
adalah lebih besar berbanding wanita dahulu.
''Jika dahulu golongan wanita
bekerja keras bagi memperjuangkan hak mereka, tetapi wanita hari ini perlu
lebih peka terhadap isu-isu dan perkembangan semasa terutama perkara berkaitan
dengan institusi kekeluargaan,'' jelasnya.
Tambahnya lagi, wanita hari ini
tidak lagi berfungsi sebagai seorang ibu dan isteri tetapi peranan mereka lebih
luas iaitu sebagai pekerja, majikan dan sebahagian daripada ahli masyarakat.
Dalam dunia yang serba
mencabar, peranan yang dimainkan oleh kaum wanita amat besar kerana masa depan
anak-anak terletak di atas bahu mereka.
Sementara itu Ketua Wanita
UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz mengakui pencapaian wanita masa kini begitu
memberangsangkan dan setanding dengan golongan lelaki berikutan banyak jawatan
penting disandang oleh mereka.
''Kita boleh berbangga kerana
mempunyai pengusaha wanita yang berjaya dalam pelbagai sektor khususnya sektor
pengeluaran seperti sektor elektronik, pembuatan plastik dan sektor lain yang
berkaitan dengan eksport dan import.
''Malah, kerana kecemerlangan
mengendalikan perniagaan, tidak hairanlah syarikat-syarikat mereka ada yang
telah dianugerahkan dengan ISO 9000,'' katanya.
Mengulas mengenai pengusaha
wanita yang masih mengendalikan perniagaan kecil-kecilan, Rafidah memberitahu,
walaupun mereka menjual kerepek tetapi ia dibuat dalam jumlah yang besar dan
dipasarkan di rangkaian yang lebih luas hinggakan sesetengahnya berjaya membuka
kedai runcit.
Sepanjang negara mencapai
kemerdekaan, beliau akui suara wanita tidak pernah dipinggirkan malah
keharmonian negara yang dikecapi selama 43 tahun memberi peluang yang luas
untuk wanita membuat keputusan dan dasar dalam organisasi yang disertai.
Mengenai hala tuju wanita pada
zaman yang serba mencabar ini, Rafidah yang merupakan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri berkata, wanita masa kini perlu berusaha mempelajari
Teknologi Maklumat (IT) untuk memudahkan mereka berinteraksi.
''Jika mereka lambat berbuat
demikian, dibimbangi orang lain akan menguasai kemahiran itu dan mereka akan
ketinggalan di belakang,'' katanya lagi.
Walau sehebat mana pencapaian
mereka, tetapi jika gagal membimbing anak-anak menjadi insan berhemah, kejayaan
itu tidak bermakna.
Tokoh muda Azalina Othman yang
baru-baru-baru ini telah dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO menyorot
tentang penglibatan generasi muda dalam pembangunan politik tanah air
mengatakan, generasi muda masih berminat terhadap politik dan mereka juga sayangkan
bangsa tetapi ada yang masih mencari saluran yang sesuai dengan aspirasi diri
kerana golongan ini mempunyai persepsi yang salah dan menganggap memasuki
politik hanya membuang masa.
Pelantikannya baru-baru ini
membuktikan UMNO telah membuka pintu kepada generasi muda dan mendengar apa
yang disuarakan oleh mereka. Terdapat 62 peratus wanita dewasa di negara ini
dan lebih sejuta berusia antara 18 hingga 39 tahun. Soalnya apakah mereka sudah
berdaftar untuk mengundi?
''Adalah menjadi tugas setiap
golongan muda ini menyertai perjuangan hidup mati bangsa Melayu. Pada hemat
saya wanita Melayu mampu memainkan peranan membangunkan masyarakat dan sebagai
pemangkin atau ejen perubahan. Keupayaan mereka perlu digunakan secara
meluas,'' ujar Azalina.
Penghibur terkenal, Siti
Nurhaliza Tarudin, 21, pula berpandangan sejak dahulu lagi negara telah
melahirkan ramai tokoh-tokoh wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk
seni.
Menurutnya, penglibatan wanita
dalam bidang seni sama ada dalam lakonan atau nyanyian dilihat sebagai satu
perkembangan yang baik apabila semakin ramai kalangan remaja wanita terutamanya
berkecimpung dalam bidang ini.
''Alhamdulillah, setakat ini
banyak pencapaian artis wanita di negara ini mendapat pengiktirafan di dalam
mahupun peringkat antarabangsa,'' katanya.
Menyentuh mengenai matlamat
perjuangan wanita dahulu dan sekarang, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini
mengakui tidak banyak bezanya kerana setiap perjuangan mempunyai matlamat yang
tersendiri.
Pengerusi Majlis Penasihat
Kebangsaan Mengenai Intergerasi Wanita Dalam Pembangunan (Naciwid), Datuk Nik
Safiah Karim menjelaskan kaum ibu zaman sebelum merdeka sanggup mengorbankan
banyak masa tenaga dan wang ringgit demi perjuangan parti UMNO ketika itu.
Sekiranya tiada wang sebagai
derma bakti semasa pilihan raya mereka sanggup melucutkan barang kemas untuk
dijual demi menampung keperluan parti.
Mereka sanggup memasak sendiri
untuk dinikmati bersama dalam mesyuarat parti.
Peranan kaum ibu dalam
berkempen memang terkenal, kini kalau dilihat daripada tindak-tanduk generasi
muda khususnya yang berkaitan dengan soal-soal kenegaraan, perpaduan dan
mendaulatkan seni budaya terlihat satu aliran perubahan sikap yang berbeza
dengan generasi dahulu.
Baginya kemampuan
mempertahankan ciri-ciri kebangsaan itulah teras kejayaan dan bukan bermegah
dengan kehebatan budaya dan ketinggian susila orang lain. Beliau tidak mahu
bahasa Melayu ditukar ganti menjadi bahasa kedua dalam negara yang merdeka dan
berdaulat.
Kesinambungan perjuangan
mengisi kemerdekaan masih tetap mengetengahkan jati diri insan Melayu yang kaya
dengan sopan santun dan berbudaya Melayu iaitu menghormati orang tua berbudi
pekerti mulia walaupun sudah berjaya mencapai kedudukan yang tinggi. Andai
pengisian kemerdekaan mesti berkiblatkan teknologi moden dan sejagat boleh saja
diterima asal tidak menggadaikan maruah nusa serta bangsa.
Pada alaf baru ini masyarakat
Malaysia, orang Melayu khususnya diajak melihat dalam diri dan mencari jalan mengukuhkan
perpaduan umat agar tidak ditelan zaman.
Nik Safiah percaya perjuangan
generasi kini relevan dengan aspirasi semasa tanpa mengorbankan perjuangan
generasi terdahulu.
Generasi muda negara perlu
digilap dengan jalinan kasih sayang memahami aspirasi kebangsaan sambil
mengatur barisan hadapan menyambung perjuangan silam yang semakin pudar.
Peluang wanita mendapat
pendidikan sama dengan kaum lelaki punca kejayaan mereka hari ini. Malah
peluang menyertai bidang pekerjaan dan ekonomi dalam Rancangan Malaysia
pertama, kedua, ketiga dan seterusnya menyemarakkan lagi peranan mereka. Beliau
berharap usaha menyeimbang kemajuan kerohanian dilaksanakan dengan segera.
''Kita tidak mahu melahirkan
generasi muda yang bijak dan kaya raya tetapi miskin kerohanian,'' katanya.
Golongan korporat juga harus
membuat sumbangan yang berharga sebagai amal jariah mengikut amalan agama
masing-masing.
Ketua Komunikasi dan Pemasaran
Jobs DB. Com Malaysia, Khairul Nisa Ismail berkata, selama 43 tahun merdeka
wanita seharusnya membuka mata kepada pembaharuan terutama pendedahan kepada
bidang teknologi maklumat (IT). Cabaran wanita di alaf baru lebih sengit dalam
bidang ini.
''Seruan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya negara bergerak ke arah masyarakat berpengetahuan
mendesak wanita mengambil inisiatif untuk turut menceburkan diri dalam e-dagang
dan seterusnya mengambil bahagian dalam koridor raya multimedia. Sekiranya
mereka peka dan berpengetahuan IT, ia adalah satu aset yang paling berharga
dalam menjalani tugas seharian,'' jelas Khairul.
Naib Pengerusi Naciwid Puan
Seri Datuk Dr. Fatimah Hamidon pula berpendapat pencapaian wanita hari ini
telah melangkah jauh dari segi statistik dan mutu pencapaian. Mereka kini
berada dalam semua bidang pekerjaan termasuk keusahawanan.
Tetapi dalam bidang tertentu
penyertaan wanita masih kekurangan walaupun memiliki kelulusan hampir sama.
Soalnya sekarang bagaimana mereka patut diberi peluang untuk menyumbang secara
optimum kepada negara?
Wanita sebagai ejen perubahan tidak
berlaku dengan pantas tetapi perlahan. Mereka mesti lebih proaktif dalam
badan-badan membuat keputusan atau dasar.
''Wakil-wakil wanita perlu
mempunyai idea dan kepekaan tentang isu semasa serta menginsafi masih ramai
wanita belum mengecapi 'kemerdekaan' dari segi sosial, ekonomi atau terlepas
daripada cengkaman tradisi,'' katanya.
Di sinilah perubahan perlu
dilakukan, caranya termasuklah membasmi diskriminasi wanita, melindungi wanita
daripada keganasan rumah tangga serta masyarakat, membasmi kemiskinan,
mendapatkan keadilan dan pelindungan dari segi agama, undang-undang juga budaya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_03.htm#ixzz4avW4cAoa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan