Selasa, 14 Mac 2017

Sultan Salehuddin sempurnakan nama bubur lambuk Agong Kampung Baru

ARKIB : 07/01/2001
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Bubur lambuk Kampung Baru yang terkenal dengan rasa dan resipinya yang tersendiri kini diberi nama baru iaitu bubur lambuk Agong Kampung Baru.

Pemberian nama baru itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada majlis Rumah Terbuka Malaysia 2001 yang diadakan di Istana Budaya di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Aziz Jamaludin Mohd. Tahir berkata, Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk memberikan nama baru itu ketika lawatannya ke Masjid Jamek pada 22 Disember lalu untuk menyampaikan bubur lambuk kepada orang ramai.

Bubur lambuk Kampung Baru sejak 50 tahun lalu diedarkan secara percuma kepada orang ramai pada bulan Ramadan dan ia terkenal kerana rasanya yang cukup enak.

''Baginda hendak masak sama tetapi kebetulan bubur semua sudah masak, Baginda telah bertitah sebanyak empat kali hendak menamakan bubur lambuk itu dengan nama bubur lambuk Agong Kampung Baru.

''Hari ini secara rasminya Baginda telah berkenan menamakan bubur lambuk itu,'' katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Malaysia 2001 yang diadakan di Istana Budaya di sini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pada majlis rumah terbuka itu juga baginda telah mengambil kesempatan untuk mengacau bubur lambuk yang sedang dimasak.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Endon Mahmood serta rakyat dan pelancong asing.

Mengulas lanjut menurut Aziz walaupun bubur lambuk Kampung Baru itu telah bertukar nama, resipinya tidak berubah apabila bahan-bahan yang sama digunakan untuk menyediakannya.

Beliau berkata, pada masa depan Jawatan kuasa Masjid Jamek bercadang untuk mengekalkan rekodnya dalam Malaysia Book Of Records yang telah menghasilkan 100 kawah bubur lambuk.

Pada 30 November lalu, Jawatankuasa Masjid Jamek dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan telah berjaya memasak 100 kawah bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai.

Acara memasak bubur paling banyak yang pernah tercatat dalam buku itu sebelum ini ialah sebanyak 36 periuk besar.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_08.htm#ixzz4bJV1S2aO

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan