Jumaat, 10 Mac 2017

Halim Othman ...angkat martabat penyiar tempatan

ARKIB : 17/08/2000
 
DANNY OOI (kiri), Halim, Kudsia dan Dr. K Jeyalingam di konti Radio Era malam kelmarin.

Kejayaan Halim yang juga pengacara rancangan Roda Impian di Astro Ria itu sekali gus mengatasi rekod yang disandang oleh juruhebah Simon Mayo dari BBC One yang mencatatkan rekod tanpa henti selama 37 jam.

Dia telah memulakan Cabaran Halim 2000 itu pada pukul 6 pagi 14 Ogos lalu dan berakhir pada pukul 12 tengah malam kelmarin.

Turut menunggu Halim menamatkan masa 42 jam itu ialah Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Danny Ooi, rakan-rakan juruhebah dan Pengurus Era Network, Kudsia Kahar.

Peristiwa bersejarah ini juga dapat disaksikan secara langsung di seluruh dunia menerusi laman web dvtplayer.com yang dihasilkan oleh AMP Radio Networks.

Semasa menamatkan catatan masa 42 jam di konti Radio Era itu, Halim kelihatan begitu terharu sekalipun kelihatan agak keletihan.

Tahun lalu juga dia telah melakukan perkara yang sama untuk tempoh 18 jam sahaja dan mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records.

Sepanjang mengendalikan siaran di konti Radio Era, Halim ditemani oleh ramai artis antaranya Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Noraniza Idris, Amy Mastura dan rakan-rakan juruhebah yang lain.

Mengikut syarat Malaysia Book of Records, Halim boleh mengundang tetamu di konti tapi dia mesti menjadi hos keseluruhan rancangan dalam tempoh tersebut.

Malahan sepanjang cabaran itu pegawai-pegawai dari Malaysia Book of Records sering datang melawat dan pihak Radio Era pula sentiasa merakamkan setiap pergerakan Halim.

Ketika ditemui, Halim berkata, kejayaan itu bukanlah untuk dirinya tapi seluruh warga Radio Era yang sentiasa memberi sokongan kepadanya. Dia berharap rekod yang diciptanya itu akan mengangkat martabat bidang penyiaran tempatan di mata dunia.

"Hasrat saya untuk mencatatkan rekod sudah terlaksana dan saya gembira kerana berjaya melaksanakan amanah yang diserahkan oleh pihak Radio Era,'' ujar Halim.

Mengenai pengalaman untuk memulakan cabaran 42 jam di konti itu, Halim mengakui pada awalnya dia tidak begitu yakin memikirkan tanggungjawab yang diserahkan itu sangat besar.

Bagaimanapun kerana kesabaran dan sokongan rakan-rakan serta pengawasan rapi oleh Dr. K. Jeyalingam dari Hospital Universiti yang memeriksanya setiap dua jam, azamnya kembali kental.

Sepanjang cabaran itu bukan Halim sahaja yang terpaksa bersengkang mata, Kudsia Kahar juga turut terbabit.

Menurut Kudsia, dia terpaksa menapis segala makanan dan minuman yang disediakan untuk Halim. Malahan makanan yang dimakan juga direkodkan untuk penelitian doktor.

"Pada tempoh 30 jam pertama, Halim dilarang minum kopi dan dia juga tidak boleh makan nasi kerana bimbang dia akan mengantuk. Tetapi digantikan dengan pil vitamin C dan dia juga digalakkan minum banyak air kosong,'' kata Kudsia yang memberi cuti selama dua hari kepada Halim.

Selama tempoh Halim ke udara, pihak Radio Era juga banyak menerima e-mel daripada peminat di seluruh dunia dan laman web itu mencatatkan lebih dua juta pelawat.

Halim juga mendapat panggilan telefon daripada Datuk Leo Moggie dan Datuk Hishamuddin Hussein yang memberi kata-kata perangsang untuknya.

Manakala Skuad Perodua Era yang mengelilingi sekitar Lembah Klang berjaya mengumpul 1,000 tandatangan orang ramai yang menyokong cabaran Halim itu

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm#ixzz4auECNBQW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan