Jumaat, 10 Mac 2017

Merdeka dan Perkara 153

ARKIB : 29/08/2000
Oleh: DR. RAIS YATIM
HARI jadi negara sudah tiba sekali lagi. Teriakan 'Merdeka' Tunku kedengaran berulang-ulang di radio dan TV. Lagu Allahyarham Sudirman turut berkumandang di udara lantas menusuk jiwa cintakan negara.

Majlis-majlis rasmi memperingati kemerdekaan tanah air berlangsung dan diatur. Warga Malaysia lantas didayung perasaan oleh suasana menjelangnya Hari Kebangsaan kita yang ke-43.

Tanah air sudah merdeka 43 tahun. Jika dibanding dengan seorang insan, usia itu sudah mulai menjangkau ke alam separuh umur. Tetapi bagi sesebuah negara usia itu berada di tahap muda. Amerika Syarikat dalam tempoh 100 tahun sejarah mencapai kemerdekaan dari Britain masih bergelumang dengan keabdian, politik ras dan kepincangan yang sesungguhnya membeliakkan mata jika diperincikan dari sudut nilai hidup hari ini. Tetapi Malaysia yang merdeka hanya selama 43 tahun sudah melepasi belenggu hidup jauh lebih bermanfaat dan membanggakan.

Kacamata hak asasi tuangan Barat memang kebanyakannya mencemik Malaysia tetapi dari segi pencapaian sebenar negara kita sudah lulus ujian-ujian asas ke arah taraf negara maju.

Tinggal lagi memang terdapat segolongan yang mudah lupa akan pencapaian negara kita lalu memuja sistem luaran yang bersandar kepada nilai-nilai dan amalan-amalan tanpa had dan batasan. Kepada mereka menjadi satu larangan atau tabu untuk mengiktiraf kemenangan dan kejayaan yang dicapai setakat ini.

Kemerdekaan yang dicapai dan dinikmati semenjak 43 tahun lalu banyak terdedah kepada fiil ambil mudah, satu-satunya pendirian yang mudah pula didalangi ketidakfahaman tentang beberapa asas kenegaraan. Dalam konteks inilah kontroversi yang sengaja ditimbulkan tentang hak-hak keistimewaan orang Melayu baru-baru ini perlu dijelaskan sekali gus buat selama-lamanya supaya perjuangan kenegaraan boleh diteruskan atas landasan yang teguh yang telah tersedia dan diterima selama ini. Memang diakui, sebelum ini telah dipetuakan supaya isu hak keistimewaan ini jangan lagi dibangkitkan. Tetapi ulasan ini bukan membangkit perkara yang dicegah undang-undang. Ianya adalah bangkitan perkara implimentasi yang dibenarkan undang-undang di bawah Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Malaysia yang lebih dikenal dengan nama Perlembagaan Persekutuan berasal daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Perlembagaan 1957 itu pula berasal daripada dokumen yang dikenal dengan nama Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sebelum termaktubnya Perlembagaan Tanah Melayu 1957 sebuah badan bernama Suruhanjaya Reid telah dibentuk bagi mengkaji dan mengesyorkan asas-asas perlembagaan yang hendak ditubuhkan. Persetujuan asas-asas ini melibatkan pelbagai pihak, termasuk kerajaan British, Raja-Raja Melayu dan UMNO yang kemudiannya membawa masuk parti-parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC bagi mewakili masyarakat masing-masing dalam polemik membentuk hak-hak kepentingan bersama di dalam negara Semenanjung Tanah Melayu yang merdeka. Jelas disejarahkan bahawa asas permulaan yang dihuraikan di atas adalah terbitan daripada persetujuan asal antara pelbagai pihak yang mewakili kaum-kaum di negara ini. Pengiktirafan sebelum negara merdeka khususnya, seperti yang diterjemahkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, adalah perjanjian dan ikat janji yang setia. Ikat janji setia itu berterusan setelah merdeka hinggalah ke hari ini.

Kesemua dokumen perlembagaan pra-Merdeka dan pasca-Merdeka tersebut di atas mengandungi apa yang dipanggil peruntukan-peruntukan asas. Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu (peruntukan terasas) adalah di antara pruntukan-peruntukan yang diiktiraf terasas dalam erti kata ia tidak boleh dipinda dengan kaedah dan prosedur biasa.

Misalnya hak-hak asasi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda dengan hanya berkehendakkan sokongan dua pertiga (2/3) daripada anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tetapi peruntukan-peruntukan terasas yang disebut itu tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Pindaan yang bersyarat sukar ini menunjukkan bahawa Per. 153 misalnya, tidak dibenarkan untuk dipinda secara mudah.

Sifat dan kedudukan Perkara 153 yang terasas itu bukan sahaja kerana sukar dipinda tetapi juga dicegah oleh undang-undang negara (misalnya Akta Hasutan 1948) daripada dipersoalkan dengan tujuan hendak merendah atau mengetepikan hak-hak itu. Perbuatan sedemikian boleh dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan, satu-satunya undang-undang yang telah dikekalkan semenjak tahun 1948 dan dibenarkan di bawah kuat kuasa Fasal 10(4) Perlembagaan Persekutuan. Fasal ini membenarkan Parlimen membuat undang-undang bagi menghalang perbuatan mempersoalkan, antara lain hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Soal sama ada Peguam Negara hendak mendakwa atau tidak seseorang yang mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu adalah soal lain yang perlu diselesaikan olehnya selaku pendakwa raya berasaskan bukti. Namun Perkara 153 dalam perhitungan ini tetap utuh dan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu. Tidak semua persoalan yang dibangkitkan dari hal hak-hak istimewa orang Melayu itu (Per.153) layak dianggap salah di sisi undang-undang jika persoalan yang ditimbulkan hanyalah bersandar kepada soal-soal penjalanan atau implimentasi peruntukan itu. Perkara 153 yang mengandungi 12 klausa atau pecahan besar perlu difahami dengan teliti bukan sahaja oleh orang Melayu sendiri tetapi juga oleh bukan Melayu. Ini adalah kerana peruntukan keramat ini juga memberi perlindungan kepada anggota masyarakat Malaysia bukan Melayu. Perkara 153 sebenarnya tidak menyebut hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ia menyebut istilah kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak (special position of the Malays and the natives of Sabah and Sarawak). Kedudukan istimewa orang Melayu ini adalah di bawah tanggungjawab Yang diPertuan Agong yang juga pada masa yang sama menjaga di bawah klausa (1) Per. 153 kepentingan setimpal kaum-kaum lain (the legitimate interests of other communities).

Di bawah 12 ceraian utama Per.153 itu disenaraikan perkara-perkara pokok yang perlu dijaga atau dilaksanakan. Perkara-perkara pokok itu ialah kedudukan di dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan latihan, pameran, kemudahan-kemudahan khas, permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa perniagaan. Baginda, dengan nasihat Kabinet bolehlah mengeluarkan arahan-arahan yang sesuai bagi merealisasikan perkara-perkara pokok itu seperti menentukan kuota pengajian di institusi pengajian tinggi, kolej, dan universiti. Juga ditegaskan di bawah Per.153 bahawa tiada hak yang harus diketepikan sebelum atau selepas arahan itu dibuat. Dalam aspek inilah dikatakan pihak-pihak lain tidak perlu bimbang terhadap pemakaian dan kuat kuasa Per. 153 kerana kedudukan bukan Melayu tetap terjamin.

Per.153 tidak kacau orang lain. Ia hanya berfungsi menjaga dan menangani keciciran yang dialami orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang rata-rata masih ketinggalan dalam pelbagai aspek dan jurusan. Tiada apa-apa alasan yang boleh diterima untuk mengkaji semula atau meminda peruntukan terasas ini jika tujuan itu hanya semata-mata hendak menghapuskan atau mengurangkan kedudukan yang sedia ada. Sebaliknya, jika Per. 153 hendak diperhebat atau diperbaiki implikasi dan pemakaiannya untuk orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak maka cadangan itu wajar diterima.

Sesungguhnya debat Per. 153 selesai sudah. Cuma erti merdeka kepada orang Melayu sebaik-baiknya ialah bahawa perlindungan yang diberi oleh Perlembagaan itu tidak harus sampai melemahkan mereka. Yang bukan Melayu pula perlu menerima hakikat bahawa Per 153 tidak merampas mana-mana hak mereka sama ada yang sedia ada mahupun yang akan wujud di masa akan datang.

Salah satu ciri inti kepada konsep merdeka ialah minda mesti bebas daripada prasangka yang bukan-bukan. Menyangka bahawa Per.153 akan melumatkan hak-hak lain adalah satu contoh prasangka yang berbahaya.

Semoga Merdeka kali ke-43 mencuci dan membersihkan diri kita daripada prasangka itu.

DATUK DR. RAIS YATIM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4avPRSGqN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan