ARKIB : 24/05/2002
Wacana Islam
Oleh Mohd Shauki Abd. Majid
Mengingati Rabiulawal, bulan
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun ini seharusnya benar-benar menjadi
titik tolak kesedaran umat Islam di negara ini bagi memperkukuhkan perpaduan
serta meningkatkan iman, takwa dan amal soleh. Kita imbas dan gali kembali
perjuangan Rasulullah s.a.w. dengan niat mencontohinya dan mempraktikkannya
dalam kehidupan sehari-hari.
Kita harus ingat bahawa Nabi
s.a.w. tidak pernah menyatakan dirinya memiliki sifat-sifat manusiawi yang
terhebat. Mendapat wahyu itulah yang membezakan manusia ini dengan manusia yang
lain. Akan tetapi, perlu diingat bahawa Muhammad s.a.w. mendapat wahyu kerana
baginda adalah manusia agung dan berbudi pekerti yang luhur.
Kecenderungan untuk memperingati
hari kelahiran Muhammad s.a.w. secara lebih besar-besaran muncul pertama kali
di Mesir semasa era Fatimiyah (H969-H1171). Ini kerana orang Fatimiyah
menganggap mereka sebagai keturunan Nabi melalui puterinya Fatimah.
Seorang sarjana Jerman, Annemarie
Schimmel dalam bukunya And Muhammad is His Messenger (Dan Muhammad adalah
Utusan Allah) menyatakan dalam keadaan darurat, seseorang Muslim mungkin
menyangkal keyakinannya kepada Allah, tetapi sekali-kali ia tidak akan bersedia
mengutarakan kata-kata yang tidak baik apalagi penghinaan terhadap Nabinya. (Lihat
al-Quran surah 49 ayat 2-3).
Muhammad s.a.w. adalah utusan
Allah yang terakhir. Dengan amanat yang dibawanya, ia merupakan pewujudan nyata
daripada sifat Rahman dan Rahim Allah terhadap hamba-Nya, bahkan merupakan
penyempurna daripada semua kenikmatan yang telah diberikan-Nya kepada sekalian
penghuni alam.
Muhammad s.a.w. dengan syariat
yang dibawa telah membuktikan dirinya sebagai potret teladan yang mampu
menyatukan umat manusia bangsa Arab, khususnya pada waktu itu dalam satu wadah
dan panji kebenaran Islam.
Ketampanan lahiriah terserlah
pada wajah Muhammad s.a.w. Tetapi ketampanan lahiriahnya tidak lain adalah
cermin keindahan dan kemuliaan batinnya, sebab Allah telah menciptakannya
sempurna dalam akhlak dan moral. Ketika Aisyah, isteri kesayangannya yang masih
muda, ditanya tentang akhlak Nabi, dia hanya berkata: Akhlaknya adalah
al-Quran; dia menyukai apa yang disukai al-Quran, dan menjadi marah bila
al-Quran marah.
Pembaca Barat, yang dibesarkan
dalam tradisi yang telah tertanam berabad-abad untuk membenci Muhammad,
barangkali akan terkejut apabila mengetahui bahawa dalam semua catatan, akhlak
yang terutama ditekan dalam diri Nabi adalah kerendahan hati dan kebaikannya.
Semua catatan membicarakan
tentang sikap Muhammad yang ramah, baik hati, tetapi serius, dan menunjukkan
bahawa baginda tidak sering ketawa. Sebuah hadis Nabi yang terkenal menyatakan:
Jika kamu tahu apa yang aku ketahui, maka kamu akan banyak menangis dan sedikit
ketawa. Tetapi baginda juga dikatakan mempunyai senyuman yang paling memikat
yang sentiasa menarik hati para pengikutnya. Malah Al-Ghazali menyebutkan
tentang kecenderungan Nabi untuk ketawa. Humornya yang lembut terlihat daripada
beberapa kisah Islam awal. Contohnya seperti berikut:
Suatu hari seorang wanita tua
bertubuh kecil datang kepadanya dan menanyakan apakah wanita tua yang
menyedihkan seperti dirinya itu juga akan masuk syurga. Tidak, kata Nabi, Tidak
akan ada wanita tua di syurga! Dan kemudian, melihat kesedihan di wajahnya,
Nabi meneruskan sambil tersenyum: Mereka akan diubah semuanya di syurga, sebab
di sana hanya akan ada usia muda untuk semua penghuninya!
Sikap Muhammad terhadap kaum yang
lemah dan kebaikannya itu selalu ditonjolkan. Mengikut sebuah hadis, baginda
tidak pernah memukul pelayan, apa lagi pelayan wanita, atau salah seorang
isterinya. Tirmidzi menggambarkannya sebagai berikut: Baginda akrab dengan
kesedihan, banyak berfikir, sedikit beristirahat, tidak berkata-kata untuk
waktu yang lama, dan tidak berbicara tanpa sebab. Baginda memulai dengan mengakhiri
pembicaraannya dengan kata-kata; Dengan nama Allah. Pembicaraannya ringkas,
tidak terlalu panjang dan juga tidak terlalu pendek, tidak kasar tetapi juga
tidak main-main. Dia menghormati setiap tanda kurnia Allah, meskipun hanya
kecil, dan tidak pernah menyalahkan apa pun.
Nasihat kepada umatnya terlalu
banyak. Ketika seorang Badwi menanyakan kepadanya, apakah kerana percaya kepada
Allah dan perlindungan-Nya, dia boleh membiarkan untanya memakan rumput dengan
bebas, Nabi menjawab ringkas, Iqilha wa tawakkal. Pertama-tama tambatkanlah
unta itu dulu, lalu percayakan kepada Allah.
Dunia ini adalah ladang
persemaian bagi kehidupan di akhirat; setiap tindakan yang dilakukan oleh
manusia di muka bumi ini akan menghasilkan buah - entah baik entah buruk - di
akhirat kelak. Lebih jauh lagi, setiap Muslim yang taat hendaknya selalu ingat
akan doa pendek yang tepat daripada Nabi, ``Ya Allah, tambahlah
pengetahuanku!''
Orang yang beriman hendaknya juga
meniru caranya bergaul dengan orang sezamannya dan caranya berperilaku di
tengah-tengah masyarakat. Bukankah dia tidak pernah disalahkan dalam al-Quran
kerana bersungut-sungut kepada seorang tamu yang buta.
Jika seseorang datang dengan
suatu permintaan, dia tidak akan disuruh pergi sebelum permintaannya
dikabulkan, atau sebelum dia setidak-tidaknya menerima jawapan yang ramah.
Keramahan dan pemberian Nabi tertuju kepada semua orang; dia bagaikan seorang
ayah bagi para sahabatnya.
Membicara dan memperkatakan
tentang Nabi Muhammad s.a.w. sudah tentu tidak akan menambah keagungannya, jika
sifat-sifat terpuji baginda tidak sedikit pun diraih oleh umat manusia.
- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah
Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Sumber-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cCPIW43L©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan