Jumaat, 24 Mac 2017

Menerap patriotisme melalui penulisan sejarah



ARKIB : 30/08/2002
Oleh NIK ANUAR NIK MAHMUD
PATRIOTISME sering kali dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri. Seseorang itu dianggap patriot apabila tindakan dan amalannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara. Dalam dunia globalisasi dan ledakan era teknologi maklumat, semangat patriotisme amat penting sekali. Seperti yang sering disebut `kasihkan watan itu sebahagian daripada iman'.

Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, seorang ulama besar Patani pernah mengingatkan bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing (khususnya kafir harbi) adalah fardu ain. Tanpa semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan, ``kita dapat kekalkan hak kita... kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama dalam sejarah saja''.

Justeru itulah `pelajaran daripada sejarah' amat penting sekali. Seperti kata George Santayana, seorang ahli fikir Barat, ``Mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali.'' Dari segi itu sumbangan ahli-ahli sejarah dalam menerapkan semangat patriotisme amat besar sekali.

Kepentingan sejarah kepada manusia memang tidak dapat dinafikan. Al-Quran sendiri mengingatkan tentang peri pentingnya membuat kajian serta mengambil teladan daripada kisah masa lampau.

Sebagai satu ilmu yang menyajikan himpunan pengalaman manusia yang amat berharga, maka ia perlu dipelajari dan dihayati. Pengalaman lalu perlu dipetik dan dijadikan bekal menghadapi masa depan yang terbentang di hadapan kita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengingatkan rakyat negara ini, khususnya orang Melayu, supaya belajar daripada sejarah terutama sejarah 450 tahun mereka dijajah; lebih tepat lagi sejarah mereka dijajah oleh British. Beliau bimbang sekiranya orang Melayu tidak banyak belajar daripada sejarah, mereka mungkin akan kembali menjadi hina seperti di zaman penjajahan British dahulu.

Tulisan-tulisan berbentuk patriotisme telah wujud di kalangan orang Melayu sejak abad ke-16 lagi. Setelah kejatuhan Melaka ke tangan Peringgi pada 15 Ogos 1511 penulis-penulis menyubur dan meniupkan semangat patriotisme melalui penulisan sejarah mereka.

Tun Seri Lanang, umpamanya, menulis buku Sulatus Salatin untuk mengisahkan keagungan dan kehebatan kerajaan Melayu Melaka serta raja-rajanya.

Kewujudan unsur patriotisme turut terserlah dalam Hikayat Hang Tuah, sebuah epik Melayu mengenai kehebatan Hang Tuah. Zaaba menganggap Hikayat Hang Tuah sebagai lambang kesastriaan dan kepahlawanan bangsa Melayu, dan Hang Tuah adalah satu contoh yang tinggi dan mulia dalam mengabdikan diri kepada sultan dan negara.

Sepanjang abad ke-19 dan ke-20 banyak lagi tulisan-tulisan sejarah yang dihasilkan. Dalam tahun-tahun 20-an dan 30-an, dua orang pensyarah di Sultan Idris Training College, iaitu Abdul Hadi Hassan dan Buyong Adil telah menghasilkan siri Sejarah Alam Melayu. Inilah kali pertamanya, sebuah sejarah bersifat kebangsaan diterbitkan. Pengarangnya cuba dan berjaya menjelmakan perasaan kebangsaan di paras `alam Melayu', iaitu dengan menembusi perasaan kedaerahan yang masih tebal di kalangan masyarakat Melayu waktu itu. Siri buku ini menjadi teks di sekolah-sekolah aliran Melayu sehingga 1950-an.

Buku hasil karya Abdul Hadi dan Buyong Adil telah membangkitkan semangat patriotisme di kalangan pelajar-pelajar maktab tersebut seperti Ibrahim Yaacob. Atas kesedaran ini muncul semangat untuk menyatukan negeri-negeri di alam Melayu dalam sebuah kesatuan yang dinamakan sebagai `Melayu Raya' seperti yang diperkenalkan oleh Abdul Hadi dan Buyong Adil.

Dapat dikatakan menjelang Perang Dunia Kedua aliran penulisan sejarah telah mulai menuju haluan yang baru. Peperangan Dunia Kedua dan zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu tidak menghalang proses penyerapan unsur-unsur patriotisme dalam penulisan sejarah. Akhbar tempatan memainkan peranan utama dalam menyebarkan penulisan patriotisme.

Bagaimanapun kemerdekaan telah mengubah mood penduduk negara ini terhadap penulisan sejarah. Minat generasi yang membesar atau dilahirkan selepas merdeka terhadap sejarah tidak sehebat generasi pramerdeka.

Sejarah tidak lagi dianggap sebagai suatu ilmu yang penting. Keputusan kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek pilihan di peringkat pengajian menengah pada awal 1980-an memburukkan lagi keadaan itu. Kesilapan ini telah memberi kesan buruk kepada negara. Bagi mereka, Sejarah merupakan mata pelajaran yang membosankan, penuh dengan tarikh, nama dan perang yang mengelirukan.

Keghairahan kepada ilmu sains dan teknologi juga telah meminggirkan sejarah kerana dikatakan tidak mempunyai nilai komersial. Akibatnya ramai daripada penuntut generasi tersebut `tidak banyak belajar daripada sejarah' malah `sudah lupa perjuangan'.

Mereka sudah lupa bagaimana dahulu mereka dijajah dan dihina kerana mereka berpecah, tidak bersatu padu. Tercetusnya isu-isu lama, seperti kedudukan hak keistimewaan Melayu, yang dianggap telah diselesaikan lama dahulu, menggambarkan betapa jahilnya pihak-pihak tertentu terhadap sejarah `tolak ansur' menjelang kemerdekaan.

Kejahilan ini kiranya dibiarkan berlarutan pasti akan menjejaskan perpaduan dan keselamatan negara.

Masalah ini perlu ditangani dengan serta-merta. Generasi baru hendaklah digalakkan mempelajari sejarah. Dalam erti kata lain, sejarah boleh mengelakkan sikap melampau.

Murid-murid sekolah perlu diasuh dan dididik dengan sejarah yang diasaskan pada kebenaran. Sesuatu yang benar itu memang kadangkala pahit untuk diterima. Namun demikian, ia mustahak diketahui.

- PROF. DR. NIK ANUAR NIK MAHMUD ialah Pengerusi Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm#ixzz4cGL5o69R© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan