Sabtu, 11 Mac 2017

PM: Tiada bonus sebab kenaikan gaji 10 peratus


 

ARKIB : 28/10/2000
DR. MAHATHIR Mohamad sempat bergurau dengan Menteri Kewangan, Daim Zainuddin sambil berjabat tangan dengannya selepas pembentangan Belanjawan 2001 di Dewan Rakyat semalam. - Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak memberikan bonus kepada kakitangan awam dalam Belanjawan 2001, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kerana mereka baru sahaja diberikan kenaikan gaji sebanyak 10 peratus.

Perdana Menteri berkata, jumlah pendapatan yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan daripada kenaikan gaji sebanyak 10 peratus itu sebenarnya sudah melebihi jumlah bonus daripada sebulan gaji.

''Kita dah naikkan gaji kakitangan awam 10 peratus. 10 peratus ini lebih daripada 1 bulan gaji,'' katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2001 oleh Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Ketika diminta mengulas harapan kakitangan awam untuk mendapatkan bonus dalam Belanjawan 2001 seperti yang dinikmati beberapa tahun sebelum ini, beliau berkata, walaupun tiada bonus diumumkan tetapi kerajaan juga telah mengurangkan cukai.

''Ini bermakna ramai daripada pekerja mungkin tidak perlu membayar cukai,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, langkah pengurangan cukai itu secara tidak langsung juga menyumbang kepada pendapatan pekerja selain daripada beberapa elaun yang diberikan kepada pekerja tertentu iaitu polis, tentera, bomba, kastam, UPP, doktor dan guru besar.

Dalam Belanjawan 2001, sebagai langkah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dan selanjutnya merangsang penggunaan, kerajaan mencadangkan supaya kadar rebat dinaikkan kepada RM350 bagi pembayar cukai dan RM350 bagi isteri.

Kumpulan berpendapatan bercukai yang layak mendapat rebat itu juga diperluaskan meliputi kumpulan pendapatan bercukai RM35,000.

''(Sebelum ini) kerajaan membayar bonus kepada kakitangan awam kalau ia memperoleh pendapatan yang lebih,'' kata Perdana Menteri.

Tidak ada sebarang gambaran positif pada sidang media itu tentang kemungkinan kerajaan mengumumkan bonus kepada kakitangan awam kemudian atau pada tarikh lain.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ketika mengulas mengenai ketiadaan bonus untuk kakitangan awam mengesahkan bahawa ia disebabkan kakitangan awam baru sahaja mendapat kenaikan gaji.

Daim berkata kenaikan gaji 10 peratus itu lebih memadai daripada bonus satu bulan.

"...lagipun kenaikan gaji itu baru dapat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas membentangkan Belanjawan 2001.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau tidak menyebut mengenai bonus kepada kakitangan awam dalam teks ucapannya yang setebal 81 muka itu yang beliau mengambil masa kira-kira satu setengah jam untuk membacakannya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan beliau mengumumkannya kemudian, Daim berkata, "Kalau saya tidak menyatakan dalam ucapan, maknanya bonus tidak adalah." - Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4b5sKrWIF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan