Jumaat, 24 Mac 2017

Penyanyi veteran Rafeah Buang meninggal dunia



ARKIB : 24/07/2002
PEKAN 24 Julai - Penyanyi veteran Datin Rafeah Buang yang disahkan menghidap penyakit barah awal Januari lalu, meninggal dunia pagi ini, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-55.

Allahyarham Rafeah dilahirkan pada 25 Julai 1947 di Singapura dan berkongsi tarikh lahir dengan suaminya, kerabat diraja Pahang, Datuk Tengku Asmawi Tengku Hussain, 57 tahun.

Malahan esok juga adalah tarikh ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-31 selepas diijabkabulkan pada tahun 1971.

Rafeah meninggalkan dua orang anak - Tengku Ahmad Ashraf, 30-an dan Tengku Khairil Ashraf, 29, serta seorang anak angkat Nur Iman Soleha. Anak ketiganya Tengku Ameerrul Ashraf meninggal dunia pada 1996 ketika berusia 11 tahun.

Rafeah yang popular menerusi lagu-lagu seperti "Hati Ku Kau Curi", "Udang Sama Udang", "Suka Sama Suka", "Jinak Merpati", "Bila dikasihi" dan "Cinta Zaman Sekarang", mewarnai industri hiburan tanah air pada akhir tahun 60-an, 70-an dan awal tahun 80-an.

Tengku Asmawi ketika ditemui pemberita di kediamannya di Sungai Miang, Pekan di sini berkata, Rafeah meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Jenazah allahyarham akan dikebumikan di Makan Diraja Pekan, selewat-lewatnya petang ini bersebelahan pusara anakandanya Tengku Ameerrul Ashraf," kata Tengku Asmawi.

Jenazah allahyarham yang diterbangkan dari stesen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi tiba di lapangan terbang TUDM Kuantan kira-kira pukul 10 pagi.

Beliau berkata, Rafeah dimasukkan semula ke HKL pada 22 April lalu untuk menjalani rawatan kimoterapi, tetapi kemudian dimasukkan ke Hospital Pakar Selayang kerana menghadapi masalah kesukaran untuk makan.

Allahyarham meninggal dunia pagi tadi selepas tiga hari dihantar kembali ke HKL, katanya.

Tengku Asmawi berkata, penyakit isterinya itu disedari selepas Allahyarham menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 2 Januari lepas kerana sakit dada.

Semasa pemeriksaan doktor mendapati ada kanser pada saluran darah di tulang belakangnya.

Rafeah yang turut disahkan mengalami ulser di bahagian usus dan buah pinggang, kemudian menjalani rawatan kimoterapi di HTAA pada 28 Januari, sebelum diterbangkan dengan penerbangan ihsan TUDM ke HKL untuk menjalani rawatan kimoterapi kedua pada 4 Februari.

Tengku Asmawi berkata, penyakit yang dihadapi oleh isterinya itu dipercayai adalah lanjutan daripada kanser rahim yang dihidapinya dalam tahun 1996.

Beberapa orang kenamaan dan kaum kerabat Diraja termasuk Sultanah Pahang Sultanah Kalsom menziarahi jenazah Rafeah di kediamannya, di sini.

Jenazah allahyarham dijadual dikebumikan di Makan Diraja Pekan, petang ini. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz4cEnex8o4© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan