ARKIB : 05/06/2003
Oleh TEON EG
Ahmad Dahalal Hashim (duduk
paling kanan) bergambar beramai-ramai dengan kawan-kawannya dari Komando 69.
OPS Bamboo di Banjaran Titiwangsa
pada tahun 3 September 1976 tidak dapat dilupakan oleh Ahmad Dahalal Hashim,
55, walaupun beliau akan bersara pada bulan Mac tahun hadapan.
Tragedi pada petang itu sungguh
menyayat hatinya kerana seorang pegawai Komando 69, Asisten Supritendan Mohd.
Zabri Abdul Hamid gugur di depan matanya.
``Saat-saat melihat kaki kiri
Mohd. Zabri berkecai dari paras lutut terkena jerangkap samar tidak boleh
dilupakan apatah lagi ia turut diiringi dengan suaranya yang menjerit
kesakitan,'' jelasnya yang masih menyimpan perasaan marah terhadap kekejaman
pengganas komunis ketika itu.
Ahmad Dahalal ataupun lebih
dikenali sebagai Ustaz ketika itu berada di kedudukan paling hampir dengan
Mohd. Zabri.
Nasibnya amat baik kerana tidak
turut menjadi mangsa jerangkap samar.
Melihat kejadian yang mencemaskan
itu, Ahmad Dahalal yang merupakan seorang anggota Unit Semboyan tidak hilang
punca malah bertindak menghubungi markas untuk meminta bantuan helikopter.
Selepas itu, beliau bersama
anggota operasi Ops Bamboo cuba membantu Mohd. Zabri, tetapi beliau meninggal
dunia di tengah-tengah hutan belantara itu.
Mohd. Zabri telah masuk ke lokasi
Ops Bamboo bagi membantu mengeluarkan dua anggota pasukan itu yang cedera
selepas bertempur dengan sekumpulan kira-kira 40 pengganas komunis sehari
sebelum ini.
``Tidak sampai 10 langkah kami
bergerak untuk mencari kawasan lapang untuk menunggu bantuan, Mohd. Zabri
terkena jerangkap samar yang dipasang oleh komunis,'' katanya yang ditemui di
Ulu Kinta, Perak baru-baru ini.
Allahyarham terkorban selepas
kehilangan terlalu banyak darah.
Inilah adalah antara sembilan
pertempuran dengan pengganas komunis yang meninggalkan kesan tragedis di jiwa
Ahmad Dahalal sejak beliau menyertai Komando 25 tahun lalu.
Lapan lagi pertempuran yang
pernah dihadapinya dalam tempoh itu banyak berpihak kepada pasu-kannya kerana
mereka seringkali berjaya menembak mati pengganas komunis.
``Saya amat bersyukur kerana
dijauhi daripada kecederaan walaupun seringkali terlibat dalam operasi yang
membahayakan nyawa,'' jelasnya yang mempunyai empat orang anak hasil
perkahwinannya dengan wanita pilihannya, Siti Hajar Md. Darus.
Sebaliknya, beliau percaya pernah
mencederakan beberapa orang pengganas komunis dalam sembilan pertempuran sengit
yang pernah dihadapinya sekitar tahun 1970-an.
Semua itu akan menjadi sejarah
hidupnya yang tidak mungkin dilupakan.
Beliau yang cukup dikenali di
kalangan warga PGK Ulu Kinta, Perak merupakan antara beberapa orang komando
paling veteran yang masih berkhidmat dalam pasukan.
Sebagai `orang lama' sememangnya
Ahmad Dahalal menyimpan banyak pengalaman, terutamanya membabitkan kes-kes
pengganas komunis yang mengancam keselamatan negara ketika itu.
Bercerita mengenai latar
belakangnya, Ahmad Dahalal memberitahu, kerjayanya dalam Komando 69 bermula
pada tahun 1970 iaitu setahun selepas pasukan elit itu ditubuhkan.
Beliau yang berasal dari Kampung
Permatang Tiga Ringgit, Seberang Prai telah memilih untuk menyertai Komando 69
kerana mahu mengalami sendiri kelasakan yang diterapkan dalam pasukan itu.
Sebagai `budak kampung',
berkelulusan sehingga tingkatan lima, latihan teruk bukan menjadi masalah besar
kepadanya, malah ia amat seronok untuk dilalui.
Oleh itu, sebaik saja menamatkan
latihan konstabel di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), beliau terus
memohon untuk menyertai Komando 69.
Ketika itu usianya telah mencecah
30 tahun tetapi semangat untuk bergelar seorang komando dan menghapuskan
pengganas komunis yang sedang aktif ketika itu tidak pernah luntur.
``Saya antara 300 rekrut terpilih
menyertai unit ini, tetapi selepas menjalani pelbagai ujian hanya 60 orang
dipanggil untuk menjalani latihan di Ford Brooke, Kelantan,'' katanya.
Pengalaman berjalan memasuki
pusat latihan di Fork Brooke amat sukar untuk dilupakan kerana beliau terpaksa
berjalan selama tujuh malam, lapan hari sebelum sampai ke pusat tersebut.
``Itu saja cara untuk memasuki
pusat latihan itu dan kami seramai 60 orang yang mahu bergelar komando tidak
berani mengeluh,'' jelas beliau yang juga mempunyai kemahiran dalam payung
terjun.
Selepas empat bulan berada di
kawasan penempatan orang Asli dan tidak dibenarkan berhubung dengan saudara,
kumpulannya kemudiannya berjaya menamatkan latihan lasak itu.
Beliau terus ditempatkan di Unit
Komunikasi di Ulu Kinta sehingga tarikh persaraannya.
Kecemerlangan dalam tugasnya
telah menyebabkan beliau dilantik menjadi orang kedua penting dalam unit
tersebut dengan pangkat Sarjan Mejar.
Menyentuh mengenai tugas di unit
tersebut, Ahmad Dahalal berkata, walau pun unit itu tidak `popular' seperti
unit-unit lain, tetapi peranannya cukup besar dalam komando.
``Setiap pasukan yang ditugaskan
untuk melakukan operasi tidak boleh melakukan operasi sekiranya tidak membawa seorang
anggota komando dari Unit Komunikasi.
``Tujuannya untuk perhubungan
sama ada menghantar ataupun menerima maklumat termasuk juga arahan,'' tegasnya
yang jelas masih bersemangat untuk terus berkhidmat.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_01.htm#ixzz4cxyUTZC0
© Utusan Melayu (M) Bhd