Ahad, 3 Julai 2016

DATUK JAAFAR HAJI MUHAMAD MENTERI BESAR JOHOR PERTAMA MENINGGAL DUNIA

Pada hari ini 3.7.1919 Datuk Jaafar Haji Muhammad telah meninggal dunia. Datuk Jaafar adalah Menteri Besar Johor yang pertama. Beliau dilahirkan dalam tahun 1838 di Teluk Belanga Singapura, dan mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau adalah berketurunan Bendahara Paduka Raja Johor dan Bendahara Kerajaan Melaka. Beliau mulai berkhidmat dengan kerajaan negeri Johor ketika berumur 16 tahun, sebagai Pelatih Kerani di Pejabat Menteri kepada Temenggung Ibrahim. Dalam tahun 1856 beliau telah dilantik sebagai Kerani Besar di Pejabat Menteri, dan kemudiannya beliau terus memangku jawatan Dato' Menteri sehingga tahun 1882, dan kemudian terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor oleh Maharaja Abu Bakar. Perlantikan Datuk Jaafar bin haji Muhammad sebagai Menteri Besar ini adalah merupakan peristiwa bersejarah bagi negeri Johor, kerana inilah julung-julung kalinya seorang Menteri Besar dilantik dalam pentadbiran kerajaan Johor. Beliau adalah pengiring Maharaja Abu Bakar dalam lawatan pertamanya ke Eropah pada tahun 1866. Ketika memegang tugas sebagai Menteri Besar, beliau pernah memangku tugas Sultan Johor  untuk menjalankan pentadbiran negeri, ketika baginda keluar negeri. Pada tahun 1904 beliau telah dilantik oleh Sultan sebagai Pemangku Raja. Di samping terkenal sebagai seorang Pegawai kerajaan yang setia, cekap, bijak, amanah dan berterus terang beliau juga adalah salah seorang tokoh pentadbir Negeri Johor yang menentang cubaan campur tangan Inggeris di Johor pada tahun 1910. Bagi mengenang jasa dan bakti beliau kepada kemajuan negeri Johor, baginda Sultan telah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) kepada beliau. Beliau juga dikurniakan Darjah Ketiga Bintang St. Michael dan St. George oleh Queen Victoria England.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan