Pada hari ini 03.07.1964,
Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah merasmikan kursus Mubaligh Islam
anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Se Malaya di Kuala Lumpur. Dalam upacara
perasmiannya, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa kemajuan sains dan teknologi
pada hari ini telah banyak merubah keadaan hidup di mana manusia terlalu
mengejar kemewahan dan kebendaan untuk kepuasan jasmani sedangkan keadaan
rohani diabaikan begitu sahaja. Faktor rohani yang lemah menyebabkan manusia
tidak berupaya melawan cabaran hidup dan tidak bersemangat untuk berjuang dan
berkorban demi agama Islam. Seterusnya beliau memuji kesungguhan para peserta
kursus yang sanggup berkorban tenaga untuk agama Islam dalam keadaan dunia
sekarang ini di mana tidak mudah untuk mencari pekerja-pekerja, pejuang-pejuang
dan mubaligh-mubaligh sukarela yang sanggup menghadapi cabaran dunia kebendaan
itu. Sebelum itu Yang DiPertua Agong Pertubuhan Kebajikan Islam Se Malaya, Tuan
Haji Mohamad Yusuf Ibrahim menyatakan bahawa pertubuhan tersebut kini kekurangan
perbelanjaan untuk mengerakkan program-program yang dirancangkan. Untuk itu
pada akhir ucapannya Tun Abdul Razak menyatakan pihak Kerajaan akan
menimbangkan untuk memberi peruntukan yang lebih lagi kepada pertubuhan
tersebut untuk kegiatan-kegiatan pengembangan agama Islam. Beliau juga telah
merayu hartawan-hartawan dan para dermawan supaya tampil menyumbangkan derma
untuk tujuan yang murni ini.
SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids
Tiada ulasan:
Catat Ulasan