Sabtu, 2 Julai 2016

Paris 1900 yang tidak teratur

02 Julai 2016 12:21 AM
SUASANA trek sepanjang 500 meter di atas padang rumput dalam Sukan
SUASANA trek sepanjang 500 meter di atas padang rumput dalam Sukan Olimpik Paris 1900.
BERIKUTAN kejayaan ­Olimpik Athens 1896, Raja Greece menuntut supaya semua temasya Olimpik berlangsung di Athens.
Namun hasrat itu terhalang selepas pe­perangan sengit dengan Turki pada 1897 yang menyebabkan kerajaannya terus dihimpit masalah kewa­ngan.
Sehubungan itu, Pierre de Coubertin meneruskan rancangannya untuk menggabungkan temasya seterusnya dengan Paris Universal Exposition pada 1900, namun bukanlah semudah yang dijangka kerana kegagalan mencapai ke­sepakatan dalam beberapa isu.
Penganjur ekspo umpamanya, keberatan menggabungkannya dengan acara sukan, manakala Union des Societes Francaise de Sports Athletiques (USFSA) di mana Coubertin adalah salah seorang pegawainya tidak menyokong jawatankuasa penganjur Olimpik sehingga menyebabkan Coubertin meletak jawatan.
Pada saat akhir, perancangan berkenaan diberi perhatian se­mula dan Olimpik Paris 1900 dimulakan pada 20 Mei.
Jika edisi 1896 merupakan satu kejayaan, sambutan di Paris pula tidak terurus sehinggakan Coubertin sendiri tertanya-tanya sama ada temasya itu boleh dite­ruskan pada masa depan.
Perjalanan Olimpik Paris yang berlangsung selama beberapa bulan adalah yang paling tidak memuaskan dalam era moden selain gagal menarik perhatian sebagaimana yang diraih oleh Paris Universal Exposition secara keseluruhannya.
Tanpa upacara pembukaan dan penutup, temasya berkenaan berlangsung antara 20 Mei dan 28 Oktober dalam suasana perselisihan dan kekeliruan empat gelanggang di ibu negara Pe­rancis itu.
Malah, adalah tidak jelas pada masa itu sama ada Sukan Olimpik berlangsung kerana program dan kebanyakan laporan akhbar menyifatkannya sebagai kejohanan antarabangsa sempena Paris Universal Exposition.
Sebagaimana empat tahun sebelumnya, Amerika Syarikat (AS) memberi tumpuan yang lebih serius berbanding kebanyakan negara dan mereka juga menghantar pasukan yang kuat daripada Universiti Pennsylvania, Michigan, Georgetown, Syracuse, Princeton dan Chicago serta Kelab Olahraga New York.
Atlet olahraga mereka juga mempunyai gaya tersendiri sewaktu bersedia di garisan permulaan acara larian pecut dan perkara itu menarik perhatian banyak pihak sehingga teknik tersebut digunakan hingga hari ini.
Secara umum, kecemerlangan pasukan AS yang menguasai acara olahraga dengan menang dalam 17 daripada 24 acara berjaya menyelamatkan kejohanan berkenaan daripada menjadi satu bencana.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/paris-1900-yang-tidak-teratur-1.349031#sthash.eA7SsljJ.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan