Jumaat, 1 Julai 2016

KERAJAAN INGGERIS MENGAMBILALIH PENTADBIRAN SARAWAK SECARA RASMI

Pada hari ini 01.07.1946, Kerajaan Inggeris secara rasminya telah mengambil alih pentadbiran Sarawak daripada Raja Sarawak iaitu Raja Charles Vyner Brooke. Majlis penyerahan tersebut yang berlangsung di Dewan Persembahan, Kuching, Sarawak telah dihadiri oleh Sir Malcolm Mac Donald, Gabenor Jeneral Inggeris; pegawai-pegawai kanan serta wakil-wakil Kerajaan Inggeris. Di majlis tersebut, E.C.W. Dawson telah mengangkat sumpah sebagai Gabenor Sarawak yang pertama. Rancangan untuk mengambil alih pentadbiran Sarawak daripada Vyner Brooke sesungguhnya bermula sebelum perang Dunia Kedua lagi apabila Vyner Brooke membuat satu perubahan dalam perlembagaan, yang memansuhkan kekuasaan mutlaknya. Perbincangan telah diadakan di London antara beliau dan Kerajaan Inggeris mengenai rancangan tersebut. Akhirnya pada 20 Mei 1946, Vyner Brooke telah menandatangani dokumen penyerahan pentadbiran Sarawak kepada Kerajaan Inggeris. Rancangan tersebut sesungguhnya telah mendapat tentangan daripada rakyat, ketua-ketua Melayu, ketua-ketua suku bumiputera, ahli-ahli Dewan Negeri Sarawak yang dipelopori oleh Pertubuhan Melayu Sarawak. Penentangan dapat dilihat apabila Dato' Patinggi dan Tuan Ong Ting Sui (Ketua Puak Cina) tidak hadir dalam majlis penyerahan tersebut. Penduduk-penduduk tempatan juga tidak langsung mengambil berat untuk meraikan majlis tersebut. Penyerahan pentadbiran Sarawak kepada Kerajaan Inggeris pada hari ini dalam tahun 1946, telah menamatkan pemerintahan Raja-raja Brooke selama kira-kira seratus tahun di Sarawak. Sarawak daripada dikuasai oleh orang perseorangan telah bertukar manjadi sebuah Tanah Jajahan Inggeris. Sesungguhnya penyerahan tersebut tidak direstui oleh penduduk-penduduk tempatan dan kemuncak penentangan tersebut ialah apabila Gabenor Kedua En. Duncan George Stewart ditikam oleh Rosli Dhoby.
Sumber-http://www2.arkib.gov.my/hids/sejarah.php



Tiada ulasan:

Catat Ulasan