BERNAMA
PUTRAJAYA: Penulis dan penyair
wanita tanah air, Datuk Dr Zurinah Hassan atau lebih dikenali dengan nama pena
Haniruz malam tadi menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-13.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri
Mahdzir Khalid menyampaikan anugerah tersebut kepada Zurinah - wanita pertama
menerima penghormatan itu.
Beliau menerima wang tunai
RM60,000, Warkah Penghormatan Negara dan tajaan RM500,000 bagi menerbitkan
50,000 naskah karya beliau yang akan dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan ke
sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
Pada 13 Oktober lalu, Mahdzir
mengumumkan Zurinah sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan dan
sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pengiktirafan yang diterima.
Mula dikenali dengan sajak
"Sesayup Jalan" yang dihasilkan pada 1974, Zurinah, 67, mengembangkan
bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi sehingga terhasilnya kumpulan
puisi "Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour", 2010 terbitan
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Antara kejayaan lain beliau
dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah
Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2004 serta Anugerah Puisi
Negara-negara ASEAN (Sunthorn Phu Poet Laureate) 2013 serta Hadiah Sastera
Perdana.
Zurinah juga menghasilkan
Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi pada 2003, dan antara hasil tulisan
ilmiah beliau ialah mengenai Sasterawan Negara Usman Awang (1990).
Beliau juga menghasilkan
sebanyak 19 buku antologi sajak, puisi, kajian sastera, autobiographi, memoir,
antologi cerpen dan novel sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak
1963.
Beberapa karya puisi dan sajak
beliau juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun, Perancis, Sepanyol dan Rusia.
Anugerah Sastera Negara
merupakan anugerah tertinggi negara kepada sasterawan. - Bernama
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Rabu, 27 April 2016 @ 12:45 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan