ARKIB : 24/11/2006
Kisah Al-Quran - Siri 7
Kerajaan Nabi Sulaiman
DAN Kami kuatkan kerajaannya
dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan
perselisihan. (Shaad: 20)
SELEPAS kewafatan nabi Daud,
Nabi Sulaiman menjadi raja. Baginda sangat meminati kuda. Pada suatu hari, Nabi
Sulaiman pergi ke satu pameran kuda. Di sana baginda melihat sekawan kuda
sedang berlari pantas. Kemudian baginda mendapatkan kuda tersebut dengan
memilih-milih dengan menggosok-gosok kaki dan lehernya. Baginda begitu asyik
sekali, sambil membilang kuda-kuda itu. Apabila sampai ke bilangan sembilan
ratus, barulah Nabi Sulaiman menyedari bahawa matahari sudah terbenam. Itu
menandakan waktu Asar telah habis. Baginda sangat menyesal lalu berkata:
Sesungguhnya aku sangat
tertarik melihat barang yang baik lebih daripada mengingati Tuhanku.
Baginda mengulangi kata-kata
itu beberapa kali kerana terlalu menyesal.
Sebenarnya kelalaiannya itu
bukan disebabkan baginda mementingkan diri sendiri, tetapi baginda tertarik dan
leka memilih kuda yang baik untuk digunakan ketika berperang di jalan Allah.
Pada masa yang lain pula, Nabi
Sulaiman telah berdoa kepada Allah:
Wahai Tuhan, ampunilah aku dan
anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh sesiapapun selepasku.
Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.
Allah memakbulkan doa baginda.
Allah menghembuskan angin yang akan mengikut ke mana sahaja yang diarahkan oleh
Nabi Sulaiman. Baginda juga dikurniakan sebuah kerajaan dengan penduduknya
terdiri daripada manusia, jin dan haiwan-haiwan. Baginda berkuasa mengarahkan
jin melakukan apa sahaja yang dimintanya.
Contohnya, jika ada peperangan,
Nabi Sulaiman mengarahkan jin menjadi bala tenteranya. Pada waktu lain pula,
jin-jin akan disuruh melakukan kerja-kerja seperti membina istana. Mereka tidak
pernah membantah arahan Nabi Sulaiman.
Begitu juga dengan
haiwan-haiwan. Mereka sangat taat kepada Nabi Sulaiman. Apa yang mengagumkan
ialah Nabi Sulaiman boleh bertutur dan memahami bahasa haiwan. Semasa
peperangan, Nabi Sulaiman dan haiwan-haiwannya akan bergerak ke medan dengan
tiupan angin.
Begitulah hebatnya kerajaan
Nabi Sulaiman. Tiada sesiapapun yang dapat menandingi kerajaannya itu. Namun
begitu, baginda tidak pernah angkuh dan sombong. Malah, baginda menggunakan
keajaiban kerajaannya itu untuk berdakwah kepada manusia di seluruh dunia.
*Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx.com.
PENGAJARAN
*Doa yang dipohon dengan ikhlas
pasti akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
*Kita janganlah terlalu leka
dengan sesuatu perkara sehingga sanggup melupakan kewajipan kita terhadap Allah
s.w.t.
INFORMASI
Nabi Sulaiman merupakan anak
kepada Nabi Daud. Pada waktu itu, Nabi Daud menjadi raja bagi kaum Bani Israel.
Nabi Sulaiman diberi keistimewaan oleh Allah s.w.t. berbanding manusia yang
lain iaitu kebolehan memahami bahasa haiwan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sEQarSrv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan