Sabtu, 9 September 2017

Pelantikan Harun sebagai nabi



ARKIB : 10/11/2006
Kisah Al-Quran - Kisah 15 
Pelantikan Harun sebagai nabi
DAN jadikanlah bagiku, seorang penyokong daripada keluargaku, iaitu Harun, saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya akan pendirianku, dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, supaya kami sentiasa beribadat dan memujimu dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatinya. (Thaaha: 29-34)

NABI Harun adalah saudara Nabi Musa yang diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi penolong dan pendamping kepada Nabi Musa. Pelantikan Harun menjadi nabi adalah atas permohonan Nabi Musa kepada Allah s.w.t.

Allah telah memperkenankan permohonan Nabi Musa itu dan diberikan Nabi Harun kepadanya sebagai suatu rahmat. Kemudian diberikan pula kenabian kepada Nabi Harun.

Sebelum Harun dilantik menjadi Nabi, Allah telah memerintahkan Nabi Musa untuk menyampaikan risalah Illahi kepada Firaun kerana dia sangat sombong dan kejam. Untuk memudahkan urusannya, Nabi Musa memohon kepada Allah memperkenankan Nabi Harun, saudaranya sebagai penolong untuk menyampaikan risalah Allah yang berat itu. Lalu, Allah mengabulkan doa Nabi Musa dan memperkenankan segala permohonannya.

Allah mempersiapkan Nabi Musa untuk menyampaikan risalah-Nya. Kemudian Allah mengutus dan memerintahkan Nabi Harun bersama Nabi Musa dengan diperkuatkan oleh Allah akan ayat-ayat dan mukjizat-mukjizat untuk menghadapi Firaun.

Allah juga berpesan kepada baginda berdua supaya sentiasa menyebut nama-Nya dalam menyampaikan risalah dan memerintahkan supaya mereka berdua bersikap berani ketika berhadapan dengan Firaun. Allah s.w.t. juga mewasiatkan kepada mereka supaya bersikap lemah lembut ketika berbicara dengan Firaun. Mudah-mudahan sikap yang demikian itu dapat menghilangkan sifat Firaun yang sombong dan besar diri sehingga dia berasa takut kepada Allah.

Nabi Musa dan Nabi Harun berkata, “Sesungguhnya kami sangat takut kepada kekejaman dan kekerasan Firaun. Sekiranya kami menyampaikan risalah tersebut, sudah tentu kami akan diseksa dan dibunuh.”

Lalu Allah pun berfirman kepada mereka supaya jangan merasa takut kerana Allah sentiasa bersama mereka. Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Dia akan memelihara mereka daripada sebarang penganiayaan.

Seterusnya Allah menyuruh mereka memberitahu Firaun bahawa mereka adalah utusan Allah dan Firaun adalah hamba-Nya, bukanlah Tuhan seperti yang didakwanya. Nabi Musa dan Nabi Harun menerima perintah Allah itu dan berangkatlah mereka untuk menemui Firaun.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com

PENGAJARAN

*Kita sebagai umat Islam patut bersyukur kerana dilahirkan dalam Islam, cuma tinggal diri kita sendiri untuk menghayati Islam itu dan menjadi orang yang beriman dan bertakwa.

*Kita hendaklah berani berkata benar atau menegur mereka yang zalim.

PERBENDAHARAAN KATA

*pendamping: peneman

*rahmat: hikmah

*risalah: utusan

*penganiayaan: kezaliman, perbuatan menindas atau penyeksaan

INFORMASI

Nabi Harun diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada kaum Bani Israel supaya menyembah Allah, membayar zakat, berpuasa dan berlaku jujur.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4sCaY82pj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan