Ahad, 3 September 2017

Perang untuk pertahankan Islam



ARKIB : 26/09/2006

DR. ABDUL HALIM MAT DIAH.

ISLAM, sesuai dengan namanya, merupakan agama yang sejahtera. Ia bukanlah agama yang mengajak umatnya melakukan keganasan walaupun berjihad memang dituntut oleh agama.

Tuntutan berjihad ini dijelaskan dalam firman Allah, Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah di jalan-Nya supaya kamu beroleh kejayaan. (Al-Maidah: 35)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ASWAD YAHAYA menemu bual pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdul Halim Mat Diah bagi mengupas persoalan jihad.

Apakah maksud jihad menurut pandangan Islam?

DR. ABDUL HALIM: Menurut Islam, jihad adalah memperjuangkan Islam secara bersungguh-sungguh dengan cara damai. Kebenaran mengangkat senjata atau berperang hanya apabila umat Islam diganggu atau diperangi oleh golongan bukan Islam. Ini bermakna kebenaran berperang adalah bagi mempertahankan diri.

Menurut ulama sejarah, peperangan dalam Islam berlaku dalam rangka perdamaian sebab golongan kafir musyrikin tidak mengenali erti damai sebelum berperang.

Perdamaian dengan Israel tidak akan berlaku kalau bukan kerana serangan mengejut pihak Arab ke atas benteng terkuat Yahudi di Benteng Barlev, Semenanjung Sinai pada 10 Oktober 1973. Konflik itu seterusnya membawa kepada Perjanjian Oslo pada 1993 yang ditandatangani di Kem David, Amerika Syarikat (AS).

Jihad pada umumnya bermaksud melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Ini termasuk dalam menuntut ilmu dan dari segi ekonomi seperti membantu membangunkan umat. Contohnya, menolong orang yang susah.

Bagaimanakah penyebaran Islam dilakukan pada zaman Rasulullah dan para sahabat?

Islam diturunkan oleh Allah sebagai rahmat kepada sekalian alam. Justeru, kita diperintah menyebarkan agama suci ini kepada seluruh umat melalui cara dakwah.

Pada awal kedatangan Islam di Mekah, umat Islam masih lemah dan berada di bawah kekuasaan pemerintah yang bersifat primitif atau ganas. Islam pada ketika itu disebarkan secara sembunyi-sembunyi. Selepas tiga tahun, barulah kegiatan dakwahnya dijalankan secara terang-terangan.

Keadaan ini membawa kepada penentangan yang keras terhadap Rasulullah dan para sahabat termasuklah pemulauan oleh kaum Quraisy serta usaha membunuh Nabi tetapi Allah menyelamatkan baginda.

Inilah juga antara sebab yang mendorong baginda berhijrah ke Madinah selepas menerima wahyu Allah.

Pada prinsipnya, penyebaran Islam adalah secara damai tetapi kadang-kadang berlaku juga peperangan. Cuma tujuannya bukan memerangi orang lain tetapi untuk mempertahankan hak umat Islam.

Baru-baru ini Pope Benedict XVI menimbulkan kemarahan umat Islam akibat ucapannya yang mengecam Nabi Muhammad s.a.w. termasuk mengaitkan penyebaran Islam melalui pedang. Adakah terdapat muslihat di sebalik dakwaan tersebut?

Saya berpendapat Pope mempunyai motif provokasi agar umat Islam melatah. Apabila melatah dengan melakukan kekerasan, misalnya merosakkan gereja, ia menjadi alasan untuk mereka ‘melibas’ umat Islam. Ini kerana kekuasaan dunia berada pada tangan mereka di mana satu-satunya kuasa besar yang boleh mengatasi kuasa lain ialah AS. Mereka ini sedang memburu umat Islam di seluruh dunia atas dakwaan melakukan keganasan.

Pendapat Pope itu pastinya tidak benar. Orang Arab Quraisy memeluk Islam kerana terpikat melihat keindahan agama tersebut yang tidak ada tolok bandingnya. Malah, ada antara mereka yang mempersoalkan mengapa mahu memusuhi Muhammad sedangkan Islam mengajar hidup bersaudara, jangan bunuh-membunuh sebagaimana yang menjadi amalan masyarakat itu, jangan menipu dan jangan mengkhianati jiran tetangga.

Apakah kaedah Islam dalam hal peperangan terhadap golongan kafir?

Islam menetapkan peraturan tertentu termasuk dalam bab perang, antaranya jangan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan orang awam yang tidak terlibat dalam perang.

Saidina Umar al-Khattab, misalnya, berpesan kepada bala tentera Islam yang memasuki Palestin supaya mematuhi perintah Allah yang disebutkan di atas. Ditambah dengan arahan jangan merosakkan gereja.

Hasilnya, di mana sahaja daerah, negeri atau negara yang dipimpin oleh Islam tidak wujud penindasan ke atas penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing.

Ini berlawanan dengan serangan golongan kafir Moghul ke atas Baghdad pada 1492. Mereka menghancurkan tamadun dari segi binaan dan juga buku-buku sehingga diberitakan Sungai Furat berwarna kebiru-biruan akibat tinta yang keluar selepas ia dibakar dan dibuang ke sungai tersebut.

Malah, mereka turut menjadikan masjid sebagai kandang kuda. Namun, akhirnya mereka ini memeluk Islam dan ada antara keturunan tersebut yang menjadi penguasa seperti Raja Moghul yang membina Taj Mahal. Tinggalan pemerintah Islam Moghul menjadi tarikan pelancong sehingga kini.

Pada masa yang sama Islam menegaskan jika musuh cenderung untuk berdamai, maka hendaklah kita berbuat demikian. Ini bertepatan dengan firman Allah, Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui. (Al-Anfaal: 61)

Adakah kemungkinan usaha-usaha memburukkan Islam ini dibuat kerana ada pihak bimbang melihat Islam semakin berkembang sekarang?

Menurut kajian, agama Islam ialah pesaing kuat kepada Kristian di Eropah dan AS. Kepesatan penyebaran Islam membawa kepada ramai penduduk Eropah memeluk Islam akhir-akhir ini. Malah kajian di AS mendapati penduduk Islam adalah lebih ramai berbanding orang Yahudi.

Pada masa yang sama, kedudukan umat Islam dari segi akademik, ekonomi dan kemajuan sains dan teknologi kini semakin mapan. Malah, ada pihak mendakwa kemajuan sains di AS adalah hasil sumbangan orang Islam di sana.

Jadi, ada rasa cemburu Kristian dan Barat bahawa mungkin suatu hari kelak Islam akan mengatasi Kristian di Eropah.

Apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk mengatasi tohmahan-tohmahan golongan terbabit terhadap Islam?

Pertama, umat Islam mesti menunjukkan bahawa kita ialah umat yang cintakan kedamaian dan berusaha menjauhi tindakan yang boleh ditafsir sebagai keganasan. Namun, perlu juga diingat bahawa keganasan itu ialah senjata orang yang ditindas.

Mereka tidak mungkin dapat melawan tentera musuh secara bersemuka disebabkan ketidakseimbangan dari segi kelengkapan ketenteraan dan sebagainya. Sebab itu, mereka menyerang secara tersembunyi.

Kita juga perlu membuat kajian punca berlakunya keganasan dan adakah benar ia dilakukan oleh umat Islam. Atau ia dilakukan oleh mereka yang ingin menjatuhkan Islam atau ejen-ejen pihak tertentu bagi mencari alasan menghancurkan Islam. Ini ditegaskan dalam firman Allah, Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. (Al-Baqarah: 120)

Orang Kristian termasuk Pope sebagai pemimpin tertinggi katolik perlu mempelajari Islam melalui al-Quran dan hadis. Ia perlu menjadi metod dalam mengenali Islam supaya perselisihan antara umat dapat dikurangkan. Adalah penting Pope mengenali agama lain berdasarkan agama itu dan bukannya sikap prejudis.

Ulama Islam juga perlu meningkatkan kefahaman tentang Kristian supaya wujud toleransi antara penganut pelbagai agama. Ini dijelaskan dalam al-Quran, Untukmu agamamu dan untukku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Perbincangan atau forum menjelaskan Islam sebenar perlu diperhebatkan. Kalau ada pun orang Islam yang ekstrem, ia bukan kerana ajaran agamanya begitu. Sebaliknya, ia disebabkan mereka tidak mengenali Islam secara syumul.

Seperkara lagi yang boleh diusahakan adalah mengadakan dialog peradaban dalam kalangan para ulama dan cendekiawan di peringkat kelas tinggi untuk memahami antara satu sama lain.

Islam menerima kenabian Nabi Musa dan Isa sebagaimana Yahudi dan Nasrani tetapi mereka tidak dapat menerima hakikat Muhammad sebagai Nabi hanya kerana baginda bukan berasal daripada keturunan mereka

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4rceUS1f6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan