ARKIB : 21/03/2007
Oleh Dr. Zulkifli Mohamad
Albakri
SYEIKH al-Maghari berkata: Umat
Islam bersama Nabi s.a.w. keluar ke Mekah untuk melakukan ibadat umrah pada
tahun Hudaibiah, 6 Hijrah. Tetapi dihalang oleh musyrikin Mekah, kemudian
mereka memerangi dengan melemparkan panah dan batu-batu pada bulan Zulkaedah
tahun 6 Hijrah.
Kemudian mereka mengadakan
perdamaian yang dikenali dengan Perjanjian (suluh) Hudaibiah dengan syarat
orang Islam hendaklah pulang ke Madinah tetapi boleh pulang ke Mekah pada tahun
akan datang.
Apabila mereka kembali pada
tahun tersebut untuk umrah qadhaie, maka mereka benci untuk memerangi orang
musyrikin sekalipun mereka menceroboh perjanjian pada bulan haram. Lantas Allah
menerangkan hakikat larangan pada bulan-bulan haram ialah pencerobohan dengan
memerangi bulan kerana mempertahankan diri.
Firman Allah: (Mencabuli) bulan
yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang
dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada
balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap
kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang
dilakukannya kepada kamu; dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah:
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah: 194)
Sayid Qutub berkata: Orang yang
mencabul kehormatan bulan haram, maka balasannya ia diharamkan daripada segala
jaminan keamanan yang dijaminkan oleh bulan Haram. Allah telah menjadikan
Baitul Haram sebagai kawasan aman dan damai sebagaimana ia jadikan bulan haram
itu sebagai masa aman dan damai. Di mana keselamatan darah, segala perkara suci
dan harta benda dipelihara dan dilindungi dan tiada siapa pun yang boleh menyentuh
dan bertindak jahat terhadapnya.
Sesiapa yang enggan berteduh di
kawasan yang aman damai dan mahu menafikan orang-orang Islam daripada
menikmatinya, maka balasannya ia dinafikan daripadanya dan sesiapa yang
mencabul perkara-perkara yang suci.
Maka tidak lagi dipelihara
segala perkara yang suci pihaknya, kerana pencerobohan terhadap perkara-perkara
suci dibalas dengan pencerobohan yang setimpal, walaupun mereka harus membalas
pencerobohan itu.
Namun keharusan itu diletakkan
di dalam batas-batas tertentu yang tidak boleh dilampauinya. Ia tidak harus
mencabul perkara-perkara yang suci melainkan kerana darurat dan ia hanya
diharuskan berbuat begitu sekadar darurat sahaja.
Adapun kehormatan itu hendaklah
juga dibalas dengan maksud kehormatan bulan, iaitu kehormatan haji, kehormatan
tanah Mekah dan kehormatan Masjid al-Haram jika dicerobohi, hendaklah dibalas
dengan yang setimpal dengannya.
Barang siapa yang menceroboh
kepadamu maka hendaklah kamu membalas mereka dengan pencerobohan yang serupa.
Takutlah kamu kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Dia berserta orang-orang yang
bertakwa.
Firman Allah: Oleh itu sesiapa
yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu
seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu. Ayat ini menjadi
dalil bagi mazhab al-Syafie bahawa wajib bunuh pembunuh dengan qisas mengikut
cara dia membunuh, disembelih jika dia sembelih, dicekik jika dia mencekik,
dilemaskan jika dia melemaskan begitulah seterusnya.
Memerangi musuh
Ayat ini juga, seperti kata
Syeikh al-Maghari bahawa menjadi dalil memerangi musuh seperti penjenayah
mengikut cara penggunaan mereka sama ada dengan meriam, gas beracun dan
sebagainya sehingga ditegah daripada kezaliman dan permusuhan satu fitnah dapat
dipadamkan. Seterusnya jadilah keamanan dan ketenangan bertapak dalam suasana
harmoni dalam masyarakat.
Ibn Kathir berkata: Ayat ini
menunjukkan bahawa diperintahkan untuk berlaku adil hatta sekalipun bersama
dengan orang musyrikin.
Sayid Qutub berkata: Tanpa
melampaui batas dan tanpa keterlaluan. Perkara ini adalah terserah kepada
kepekaan takwa kaum muslimin, kerana mereka sendiri sedar sebagaimana yang
telah dijelaskan sebelum ini bahawa mereka sebenarnya telah mendapat kemenangan
semata-mata kerana pertolongan Allah.
Di sini al-Quran mengingatkan
mereka bahawa Allah bersama orang-orang yang bertakwa selepas ia menyuruh
mereka bertakwa. Dan sudah tentu taqwa itu merupakan sebaik-baik jaminan.
Di samping jihad memerlukan
kekuatan kaum lelaki, maka ia juga memerlukan kekuatan kewangan. Di masa dahulu
seseorang pejuang Islam berusaha menyediakan sendiri kelengkapan perang,
kenderaan perang dan bekalan perang. Di sana tidak ada gaji tertentu yang diterima
oleh pemimpin-pemimpin tentera dan para perajuritnya.
Yang ada hanya semangat
sukarela untuk mengorbankan nyawa dan harta. Inilah semangat yang diwujudkan
oleh akidah Islam apabila segala peraturan ditegakkan di atasnya. Akidah ini
tidak perlu mengeluarkan belanja untuk melindungi dirinya dan
penganut-penganutnya dan dari musuh-musuhnya, malah para perajurit dan para
panglima sendiri akan tampil dengan sukarela mengeluarkan belanja untuknya.
Firman Allah s.w.t: Dan
bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta
orang-orang yang bertakwa. Ayat di atas Allah berfirman tentang taat, takut
kemudian menyebut berkenaan dengan taqwa. Takwa selain mengandungi erti taat
dan takut, juga bererti membersihkan diri dari perbuatan maksiat, sebagaimana
yang disebutkan di atas.
Sebahagian ulama membahagikan
tingkatan kepada tiga:
i. Membersihkan diri dari
perbuatan musyrik.
ii. Membersihkan diri dari
perbuatan bidaah.
iii. Membersihkan diri dari
segala perbuatan maksiat.
Semua itu terkandung dalam
al-Quran, surah al-Maidah, ayat 93 yang bermaksud: Tidak ada dosa bagi
orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah
mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal
yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka tetap
bertakwa dan berbuat kebajikan.
Takwa yang pertama mengandungi
erti membersihkan diri dari perbuatan musyrik dan iman yang disertai tauhid.
Sedangkan erti takwa yang kedua membawa erti menjauhi perbuatan bidaah dan
keimanan yang disertai ikrar atas akidah ahlus sunah wal-jamaah. Demikianlah
penjelasan para ulama mengenai takwa.
Awasilah daripada melampau
berkenaan dengan apa yang tidak diizinkan untukmu. Sebaliknya ketahuilah bahawa
Allah s.w.t. bersama-sama dengan orang yang bertakwa dengan pertolongan dan
penetapan seperti dapat mengalahkan musuh-musuh mereka.
Iktibar dan pengajaran ayat:
* Sentiasa menghormati bulan
haram dan tempat yang mulia. Tidak melakukan dosa kerana dosanya lebih besar
berbanding dengan masa dan tempat yang lain.
* Boleh membawa kejahatan atau
pencerobohan orang kepada kita mengikut keadaan dan perbuatan, tetapi memaafkan
jauh lebih baik.
* Kelebihan takwa sehingga
sentiasa mendapat pertolongan Allah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4tPZi2Vyg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan