Ahad, 14 Mei 2017 | 7:42am
Oleh Datuk Wan Mohd Mahyiddin
ZAABA atau nama asalnya Zainal
Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat
sanjungan sebagai seorang pendeta.
Usahanya yang gigih meletakkan
bahasa Melayu sebagai bahasa terulung di negara kita tatkala penjajahan British
cuba menghalang pelaksanaannya. Beliau menulis buku karang-mengarang Melayu
untuk diketengahkan kepada masyarakat dan menjadi rujukan pelajar dan pendidik.
Beliau bukan sahaja tokoh
sarjana tetapi seorang penganalisis mengenai peradaban orang Melayu dalam semua
aspek iaitu perkembangan agama, kemiskinan ekonomi, ancaman politik dan unsur
yang menyebabkan kemunduran. Beliau adalah penterjemah buku bahasa Inggeris
kepada bahasa Melayu di samping menulis rencana dalam akhbar.
Dalam keadaan negara berada di
bawah penjajahan, beliau seorang nasionalis yang mendedahkan tindakan penjajah
yang bakal melemahkan orang Melayu. Beliau seorang tokoh bangsa Melayu yang
berusaha menjadi bangsanya lebih baik. Zaaba adalah keturunan Bugis-Minangkabau
yang lahir pada 1895 di Batu Kikir, berhampiran Jempol, Negeri Sembilan.
Selain Kesatuan Melayu Muda
(KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang bercorak
nasional, persatuan Melayu yang lain adalah bersifat negeri. Zaaba menyertai
Pergerakan Melayu Selangor pada 1935 dan memegang jawatan Yang Dipertua selepas
Tengku Ismail Tengku Muhammad Yassin meninggal.
Buka fikiran Melayu
Zaaba didapati amat radikal
dengan kefahaman kebangsaan dan fahaman agama seperti tersiar dalam Hadiah
Kebangsaan yang diterbitkan oleh Syed Sheikh Al-Hadi. Ia memperkenalkan
kemiskinan dalam masyarakat Melayu disebabkan adat lama seperti fahaman tahyul
yang mereka warisi. Beliau mahu membuka fikiran orang Melayu untuk mencari
kemajuan, yakni mengubah nilai budaya ke arah lebih baik.
Tujuan Zaaba adalah untuk
memperbaiki keadaan orang Melayu selepas mendedahkan kekurangan mereka. Beliau
sendiri tidak menyenangi tulisan Abdullah Munshi, yang terlalu mengagungkan
orang Inggeris seolah-olah tiada cacat-cela mereka itu. Beliau adalah pelopor
dalam bahasa dan persuratan Melayu, teori karang mengarang, tata bahasa serta
kae-dah ejaan Jawi dan Rumi. Sekiranya tiada Zaaba, kita tidak akan bersua
dengan ejaan moden dalam tulisan Jawi dan Rumi.
Selepas tamat Perang Jepun,
Harold MacMichael datang untuk mengambil tandatangan Raja-Raja Melayu bagi
menyerahkan negeri mereka di bawah rancangan Malayan Union. Orang bukan Melayu
akan diberi kerakyatan melalui dasar yang liberal. Kepada orang Melayu, ini
adalah 'pukulan maut' yang dibawa British. Malah ada bekas pentadbir British di
Tanah Melayu yang bangun menentang rancangan ini. Ini adalah satu volte-face
(keterbalikkan sepenuhnya) yang akan menguburkan orang Melayu sebagai satu
bangsa.
Daripada sifat kenegerian
masing-masing, orang Melayu mula bersatu. Zaaba menghubungi Yang Dipertua
Pergerakan Melayu Semenanjung, Datuk Onn Jaafar dan Yang Dipertua Ikatan
Melayu, Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang, bagi memulakan penentangan
terhadap Malayan Union. Tetapi usaha beliau tidak mendapat sambutan, kata Tan
Sri Abdul Samad Idris, dalam bukunya 25 Tahun Merdeka.
Zaaba melalui pergerakannya
menghantar telegram kepada Setiausaha Tanah Jajahan British menyatakan bantahan
terhadap Malayan Union. Zaaba berjaya mendapatkan kedua-dua tokoh berkenaan
untuk bangun menentang gagasan ini. Dalam jiwa raganya Zaaba sudah berfikir
akan membuat sesuatu bagi menggagalkan Malayan Union. Pergerakan dan kesatuan
orang Melayu berhimpun di Kongres di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada
1 hingga 4 Mac 1946. Di hadapan wakil, Datuk Onn dipilih sebagai pengerusi,
manakala Zaaba menjadi setiausahanya tetapi tiada nama Zaaba tercatat walaupun
beliau mewakili Pergerakan Melayu Selangor.
Penubuhan UMNO
Di hadapan wakil, Datuk Onn
mencadangkan penubuhan United Malay Organization (UMO) tetapi Zaaba membuat
pindaan dengan menambah perkataan 'kebangsaan' untuk menjadi pertubuhan ini
'United Malays National Organisation' (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu untuk menunjukkan ia bersifat nasional (bukan negeri). Dalam kongres
ini, ia mengambil ketetapan untuk memulaukan istiadat melantik Gabenor Malayan
Union dan memohon Raja-Raja Melayu supaya tidak menghadirinya.
Dengan pelaksanaan Malayan
Union, hak Raja-Raja Melayu akan hilang dan taraf bangsa Melayu dikurangkan.
Sebagai anak watan, Zaaba dalam ucapannya meminta kuasa lebih diberikan kepada
orang Melayu. Jika perundingan gagal, kata Zaaba alamat berperanglah. Ini satu
bayangan ancaman akan berlaku di antara kedua-dua pihak.
Kongres mengambil ketetapan
satu badan menggubal undang-undang tubuh UMNO terdiri daripada Datuk Onn, Datuk
Panglima Bukit Gantang dan Datuk Nik Ahmed Kamil. Bagi meneruskan perjuangan,
satu mesyuarat diadakan di Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946 dan UMNO
tertubuh dengan rasminya dengan mesyuarat menerima piagam atau undang-undang
tubuh UMNO.
Datuk Onn dipilih sebagai Yang
Dipertua dan Datuk Panglima Bukit Gantang sebagai setiausaha agung yang pertama
dalam parti ini. Berikutnya satu jawatankuasa terdiri daripada pemimpin UMNO,
wakil Raja Melayu dan British berbincang bagi menukarkan Malayan Union dengan
Persekutuan Tanah Melayu. Raja-Raja Melayu akan kembali ke kedudukan asal
mereka dan hak istimewa orang Melayu dikekalkan.
Tanah Melayu tidak menjadi
koloni British dan digantikan dengan nama 'Persekutuan'. Sebuah jawatankuasa
mengenai kerakyatan untuk penduduk Tanah Melayu, ditubuhkan. Sebagai pejuang
nasionalisme, tugas Zaaba menentang Malayan Union selesai dan tidak perlu lagi
berada di hadapan. Sebenarnya Zaaba lebih minat menulis mengenai pelbagai aspek
kehidupan dan peradaban orang Melayu. Ia lebih sebagai penulis daripada seorang
pemimpin. Mungkin tidak ada karya besar jika beliau menumpukan masa sebagai
pemimpin.
Lagipun Zaaba bukan seorang pemidato,
beliau akui dan kesihatannya tidak berapa baik. Pada 1947 beliau dihantar ke
London sebagai pensyarah bahasa Melayu di Pusat Pengajian Bahasa Timur dan
Afrika. Zaaba selaku orang yang gigih mencari ilmu ketika di London, belajar
dan mendalami bahasa Arab, Belanda dan Sejarah. Beliau mengambil peperiksaan
akhir dalam ilmu ini selepas kembali ke tanah air pada 1950.
Zaaba dilantik menjadi
pensyarah kanan di Jabatan Universiti Malaya di Singapura pada November 1952
(sebelum mendapat Ijazah dari Universiti London). Atas usahanya dalam bahasa
dan persuratan, Zaaba digelar Raja Bahasa Melayu Moden. Dalam Kongres Bahasa
Persuratan Melayu Ketiga pada 1956 di Johor Bahru, beliau diberi gelaran
'Pendeta' dan kemudiannya Doktor Kehormat dianugerahkan oleh Universiti Malaya.
Zaaba sangat merendah diri dan
tidak mahu gelaran seperti ini tetapi masyarakat Melayu mengiktiraf seorang
sarjana yang wujud dalam kalangan mereka.
Profil: Zainal Abidin Ahmad
Lahir pada 16 September 1895
Anugerah diterima
- 1956: Gelaran Pendeta Bahasa
Melayu pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
- 1959: Doktor Persuratan dari
Universiti Malaya
-1962: Panglima Mangku Negara
membawa gelaran Tan Sri
-1973: Ijazah Doktor Kehormat
Persuratan dari Universiti
Kebangsaan Malaysia
*Penulis adalah Bekas Ketua
Pegawai Penyelidik UMNO
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
14 Mei 2017 | 7:42am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan