ARKIB : 11/05/2007
Kisah Al-Quran - Siri 40
DAN (ingatlah wahai Maryam)
yang telah menjaga kehormatannya lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuhnya) roh dari
Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kekuasaan) yang besar bagi alam
semesta. (al-Anbiyaa: 91)
MARYAM seorang perempuan yang
suci. Beliau menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah. Pada suatu
hari, beliau didatangi malaikat Jibrail. Malaikat tersebut memberitahu Maryam
bahawa beliau bakal mengandungkan seorang anak yang kemudiannya akan menjadi
rasul.
Apabila tiba masa untuk
melahirkan anak, Maryam pun keluar dari rumahnya dengan senyap-senyap. Beliau
telah pergi ke tempat yang terpencil dan tiada orang. Akhirnya, Maryam terpaksa
berhenti di bawah sebatang pokok kurma. Beliau sudah tidak dapat menahan
kesakitan lagi. Tidak lama kemudian, Maryam pun melahirkan bayinya dan bayi itu
diberi nama Isa.
Maryam menatap wajah anaknya
dengan linangan air mata. Beliau berkata: Alangkah baiknya kalau aku
ditakdirkan mati sebelum melahirkan anak tanpa sebarang suami.
Maryam berasa amat lapar dan dahaga.
Beliau tidak menemui apa-apa yang boleh dimakan atau diminum. Keadaan padang
pasir itu kontang dan tandus. Tiba-tiba Maryam terdengar satu suara.
Wahai Maryam, janganlah engkau
bersedih. Minumlah air yang mengalir dari bawah tapak kakimu. Goyangkan pokok
kurma di belakangmu dan makanlah buahnya.
Kemudian pulanglah engkau ke
kampung. Jika engkau menemui sesiapa, katakan kepada mereka engkau bernazar
puasa dan tidak akan bercakap dengan sesiapapun.
Maryam pun makan dan minum
sehingga beliau benar-benar sihat. Tibalah masa untuk beliau pulang ke kampung
halamannya. Maryam mundar-mandir di tempatnya berdiri. Beliau risaukan
keselamatannya. Beliau tahu kaumnya nanti akan menghinanya kerana melahirkan
anak tanpa suami.
Maryam kemudiannya berdoa kepada
Allah agar ditabahkan hatinya apabila menghadapi hinaan daripada kaumnya.
Beliau juga meminta agar dirinya dan anaknya dipelihara.
Setelah itu, Maryam mengendong
bayinya pulang. Seperti yang diduga, ramai yang terkejut apabila melihat
perempuan yang belum berkahwin itu mempunyai anak. Kaum keluarga Maryam
bergegas datang. Semua yang ada mengerumuni Maryam dan anaknya, Isa.
Wahai Maryam! Engkau telah
mencemarkan nama baik keluargamu. Keluargamu adalah daripada golongan orang
yang beriman. Kamu telah membuatkan kami malu dan terhina, kata keluarga
Maryam.
Maryam memberitahu dengan
isyarat bahawa beliau sedang bernazar puasa dan tidak akan bercakap dengan
sesiapa pun. Beliau menuding ke arah Isa yang sedang berada di dalam buaian.
Tiba-tiba Isa berkata: Aku
adalah hamba Allah. Dia memberiku kitab Injil dan menjadikan aku seorang nabi.
Aku sentiasa diberkati. Aku diperintahkan mendirikan solat dan menunaikan zakat
selagi aku masih hidup. Aku akan berbakti kepada ibuku dan tidaklah aku
dijadikan sebagai orang yang sombong. Moga aku sejahtera pada hari aku
dilahirkan, ketika meninggal dunia dan ketika dibangkitkan semula.
Maka tersebarlah cerita
mengenai Isa yang masih bayi tetapi sudah boleh bercakap. Isa telah
membersihkan fitnah yang dilontarkan kepada ibunya. Maryam adalah perempuan
yang suci. Beliau telah melahirkan seorang anak yang akan menjadi nabi dan
rasul.
Kaum keluarga Maryam tidak lagi
menuduh yang bukan-bukan terhadap Maryam. Mereka kembali menghormati Maryam dan
anaknya yang bernama Isa.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada Al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
*Menabur fitnah adalah perkara
yang dibenci oleh Allah. Fitnah mampu memecah-belahkan umat. Oleh itu,
janganlah kita sesekali membuat fitnah.
*Apabila kita menghadapi
kesusahan, ingatlah ia sekadar ujian daripada Allah. Jika kita sabar menghadapinya,
maka kita akan beroleh pahala.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4taJFU2rg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan