Sabtu, 23 September 2017

Dakwah Nabi Ibrahim kepada ayahnya



ARKIB : 06/04/2007
Kisah Al-Quran - Siri 35 
CERITAKANLAH (hai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang nabi.

Ingatlah ketika ia berkata kepada bapanya; “Wahai bapaku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun? Wahai bapaku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutlah aku nescaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. wahai bapaku, jangan kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepda Yang Maha Pemurah. Wahai bapaku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab daripada Tuhan Yang Maha Pemurah. Maka kamu menjadi kawan bagi syaitan. (Maryam: 41-45)

MASYARAKAT pada zamana Nabi Ibrahim mengamalkan ajaran paganisme. Bapa Nabi Ibrahim merupakan salah seorang daripada penganut ajaran tersebut. Mereka menyembah patung-patung dan berhala yang dicipta oleh mereka sendiri.

Nabi Ibrahim telah diberi petunjuk oleh Allah s.w.t. untuk membimbing masyarakatnya pada ketika itu. Pada mulanya baginda menyampaikan dakwah kepada orang-orang yang berada paling hampir dengannya.

Baginda telah menyebarkan dakwah kepada bapanya sendiri. Bapanya merupakan salah seorang daripada penyembah berhala. Nabi Ibrahim tidak mahu ayahnya berada di dalam kesesatan buat selama-lamanya.

Pada suatu hari, Nabi Ibrahim mengajak ayahnya berbincang tentang anutannya selama ini. Baginda menggunakan cara seruan yang paling lembut agar ayahnya tidak terasa hati.

Walaupun pelbagai tentangan diterima daripada bapanya, Nabi Ibrahim tetap meneruskan dakwahnya. Baginda berazam untuk mengeluarkan bapanya daripada lembah kesesatan.

Penerangan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim amat terperinci. Baginda tidak mahu ayahnya membuat andaian yang salah mengenai ajaran baru yang dibawanya. Setiap persoalan yang ditanya oleh ayahnya, dijawab dengan senang hati.

Walaupun ayahnya menolak seruan dakwahnya, Nabi Ibrahim tetap tidak berputus asa. Baginda selalu berdoa agar Allah s.w.t. memberi petunjuk dan rahmat kepada ayahnya suatu hari nanti.

Sebagai seorang anak, Nabi Ibrahim amat menyayangi ayahnya. Baginda tidak sedikitpun berasa gentar atau takut apabila dimarahi oleh ayahnya. Baginda juga selalu berkata kepada ayahnya:

“Wahai ayahku, kenapalah kamu menyembah patung-patung yang tidak berguna itu. Dia tidak boleh melihat, tidak boleh mendengar dan tidak boleh memberi manfaat kepada kamu. Patung-patung itu, adalah ciptaan kamu sendiri. Bagaimana ia boleh menolong kamu? Bagaimana ia boleh memberi rezeki kepada kamu? Bagaimana ia boleh memberi kebaikan kepada kamu?”

Walaupun Nabi Ibrahim menggunakan pelbagai cara untuk berdakwah, namun ayahnya masih tetap menolak. Dia tidak mahu Nabi Ibrahim meneruskan niat untuk berdakwah kepadanya lalu berkata kepada Nabi Ibrahim:

“Hai Ibrahim! Berpalingkah engkau daripada kepercayaan dan persembahanku? Dan kepercayaan apakah yang engkau ingin ajarkan kepadaku yang menggalakkan aku untuk menganutnya? Janganlah engkau membuatkan aku marah dan jangan cuba menderhakai aku. Jika tidak keluarlah engkau dari rumahku ini.”

Nabi Ibrahim menerima kata-kata cacian daripada ayahnya dengan tenang sambil berkata:

“Wahai ayahku! Semoga engkau selamat. Aku akan tetap memohon keampunan bagimu daripada Allah dan tidak akan tinggal bersama kamu dengan bersama sembahan lain selain Allah. Mudah-mudahan aku tidak menjadi orang yang celaka dan malang dengan doaku untukmu.”

Lalu Nabi Ibrahim pun keluar dari rumah ayahnya. baginda berasa amat sedih kerana tidak berjaya menyampaikan dakwah kepada ayahnya.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

- PENGAJARAN

lJangan sesekali berputus asa dengan melakukan sesuatu perkara.

lAnak tidak boleh menderhaka kepada ibu bapa.

PERBENDAHARAAN KATA

*paganisme: penyembah berhala

*berhala: patung dewa-dewa

*dakwah: kegiatan menyeru dan menyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan

INFORMASI

* Bapa Nabi Ibrahim bernama Tarikh atau lebih dikenali dengan nama gelaran, Aazar. Dia bekerja sebagai pengukir patung untuk dijual kepada orang ramai dan dijadikan berhala untuk disembah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4tVcwlmS2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan